Bangsa Berbudi dan Penyayang


Salah satu matlamat pendidikan di Malaysia ialah untuk melahirkan insan yang berkeupayaan membawa keamanan dan kemakmuran kepada masyarakat dan negara. Gagasan ‘bangsa berbudi dan penyayang’ memang tidak disebut secara jelas dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan mahupun Rukunegara. Tetapi, cukuplah gagasan tersebut terkandung secara tersirat di dalam kedua-duanya.

Hal ini demikian kerana, bangsa berbudi dan penyayang sentiasa menjadi matlamat utama negara. Dalam erti kata yang lain, keamanan dan kemakmuran hanya dapat dinikmati oleh negara dengan kewujudan bangsa berbudi dan penyayang. Sayangnya, yang bulat tak akan datang bergolek, yang pipih tak akan datang melayang. Untuk memperkatakannya sudah terasa kesukarannya, apatah lagi untuk mewujudkan dan mengekalkannya.

Hari ini, orang kita tidak terlalu berminat untuk berfikir dan berbicara mengenai gagasan ini, apatah lagi untuk mempraktikkan nilai-nilai yang berada di dalamnya dalam kehidupan seharian. Isu-isu sempit yang berlegar di persekitaran bukan sahaja menghalang kemahiran berfikir aras tinggi, tetapi juga sedikit sebanyak menghalang mereka daripada membulatkan segala usaha yang ada untuk menghidupkan gagasan ini.

Akhirnya, institusi pendidikan, keagamaan dan kemasyarakatan mengambil alih tanggungjawab untuk mendidik kanak-kanak, remaja dan belia menjadi bangsa yang berbudi dan penyayang pada masa hadapan. Pelbagai inisiatif diambil oleh kesemua institusi tersebut bagi menzahirkan dan melestarikan gagasan murni ini.

Sekolah, sebagai contoh, mengadakan program Sekolah Penyayang untuk mendekatkan jurang antara guru dan pelajar serta mewujudkan persekitaran yang berbudi bahasa dan berakhlak mulia dalam kalangan seluruh warganya. Begitulah juga dengan universiti, seperti UIAM, yang mengadakan Kempen Budi untuk mempromosi 47 nilai murni dalam kalangan warganya.

Jangan kita lupa, sejak tahun 2005, Kerajaan menggerakkan kempen Budi Bahasa Budaya Kita (yang kemudian dinamakan semula sebagai kempen Budi Bahasa dan Nilai-nilai Murni). Objektif utamanya, menurut Ishak Sairozi (2016) dan Datuk Dr. Ismail Ibrahim (2017), adalah untuk melahirkan warganegara yang sopan santun, mempunyai ramah mesra dalam kalangan masyarakat serta memiliki etika hidup yang baik.

Jangan juga kita lupa Quran Hour anjuran oleh Yayasan Warisan Ummah Ikhlas. Tema ‘Bangsa Berbudi dan Penyayang’ bertepatan dengan aspirasi dunia untuk mengurangkan ketidakadilan, persengketaan dan keganasan dengan penghayatan terhadap al-Quran dan kandungannya yang menyentuh tentang ciri-ciri insan dan bangsa yang berbudi dan penyayang.

Hakikatnya, kesemua institusi tersebut digerakkan oleh insan-insan yang mengusahakan segala inisiatif yang berkaitan hanya setakat daya upayanya. Oleh hal yang demikian, orang kita tidak dapat memberi jangkaan luar biasa kepada mereka semua. Peranan utama mewujudkan serta mengekalkan bangsa berbudi dan penyayang terletak dalam diri kita sendiri, dan kemudiannya dalam keluarga kita dan kejiranan kita.

Bangsa berbudi dan penyayang bukanlah bangsa yang sepanjang masa berjuang mempertahankan dirinya mahupun pegangannya di papan kekunci. Bangsa berbudi dan penyayang merupakan bangsa yang sentiasa mengekalkan identiti dirinya, berpegang kuat kepada ajaran agamanya, menghidupkan budaya dan warisan bangsanya serta berusaha membawa manfaat pelbagai bentuk kepada negaranya dan rakyatnya.

Bangsa berbudi dan penyayang tidak setakat mengetahui dan memahami 47 nilai murni, tetapi juga mempraktikkannya di pelbagai tempat dan ketika serta menyebarkannya kepada orang-orang yang terdekat dan komuniti sekitaran dengan pelbagai cara. Bangsa berbudi dan penyayang tidak setakat menjaga dirinya sahaja, tetapi juga keluarganya, kejiranannya serta mereka yang terdekat dengannya.

Bangsa tidak akan jadi berbudi dan penyayang jikalau terlalu mementingkan diri sendiri. Pada saat susah mahupun senang, gembira mahupun duka, kegagalan mahupun kejayaan, bangsa berbudi dan penyayang sentiasa bersama. Pada saat susah, mereka akan membantu. Pada saat duka, merekalah yang akan mengubatinya. Pada saat kegagalan, merekalah yang memberi motivasi yang berguna.

Pada hari kegembiraan, mereka akan menjenguk sesama sendiri, mengucapkan salam, bertanya khabar, menghulur kemaafan, mengulangi ikrar untuk meneruskan kebersamaan walaupun menganut agama yang berbeza, datang daripada kaum mahupun keturunan yang berbeza, bertutur bahasa dan dialek yang berbeza, memiliki ciri zahir yang juga berbeza.

Begitulah juga keadaannya pada hari kejayaan, mereka mengucapkan selamat dan tahniah sesama sendiri, bertukar-tukar juadah dan hadiah, memperbaiki silaturrahim yang sedia ada. Tidak banyak bezanya ketika waktu senang. Selagi senggang, selagi itulah mereka duduk di kedai kopi, menikmati minuman panas dan kuih-muih lazat, bercerita pelbagai perkara, menguruskan perbezaan dengan hemat dan semangat waja.

Anak-anak negeri Sabah dan Sarawak boleh dijadikan teladan dalam membentuk bangsa berbudi dan penyayang. Gaya hidup bermasyarakat mereka, pada suatu tahap, lebih daripada apa yang disangkakan oleh mereka yang mengunjungi negeri-negeri tersebut. Hubungan kekeluargaan yang terjalin oleh anak-anak negeri yang berbeza agama, kedudukan masjid dan gereja yang bersebelahan serta amalan berziarah dalam pelbagai perayaan bukanlah halangan bagi mereka.

Semangat perpaduan dan muhibah yang terjalin sesama mereka bukan sahaja menjadikan perkara-perkara yang dilihat luar biasa oleh orang luar sebagai biasa, tetapi juga menyebabkan Kerajaan mengiktiraf kedua-dua negeri tersebut sebagai wajah sebenar Malaysia. Anak-anak negeri Sabah dan Sarawak, dalam erti kata yang lain, merupakan gambaran sebenar kepada bangsa berbudi dan penyayang yang kita impikan bersama.

Tidak salah juga rasanya kita belajar dari Kanada. Kanada, sejak tahun 2015, bukan sahaja terkenal dengan kemurahan hati rakyatnya, tetapi juga keterbukaan mereka untuk menerima ribuan pelarian dari pelbagai tempat dunia sebagai keluarga. Mereka bukan sahaja disediakan tempat tinggal, makanan dan pekerjaan, tetapi juga identiti Kanada yang membolehkan mereka, dalam masa yang singkat, memperoleh kewarganegaraan.

Pendek kata, bangsa berbudi dan penyayang bukan sahaja impian negara, tetapi juga suatu seruan yang datang dari agama. Kejayaan rakyat dalam apa jua bidang tidak akan ada maknya melainkan dengan wujudnya budi dan rasa sayang dalam kalangan mereka semua. Walaupun zaman ini sarat dengan permasalahan, sekarang bukan lagi zaman kebencian.

Yang sentiasa bertempat di hati masyarakat hanyalah nilai-nilai murni dan budi bahasa. Yang akan menakluk dunia, suatu hari nanti, adalah bangsa berbudi dan penyayang yang akan sentiasa membawa keamanan, kemakmuran dan kestabilan ke seluruh dunia.

Comments