2018: Kesedaran terhadap Kemenjadian dan Kebolehpasaran Insan


Selamat datang ke tahun 2018. Semoga tahun ini lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya—dan begitulah seharusnya jikalau diimbau kata-kata hikmah Datuk Seri Panglima Dr. Hasbullah Mohd. Taha (2000), “Tahun ini lebih baik dari tahun lepas, dan tahun depan lebih baik dari tahun ini.”

Tahun 2018, meskipun diharapkan lebih baik dari tahun sebelumnya, lebih mencabar dari tahun sebelumnya. Sebagaimana banyaknya episod kejayaan yang dirangkul oleh negara dan rakyat, banyak jugalah cabaran yang diharungi oleh kedua-duanya pada tahun sudah.

Walaupun besar kejayaan yang dirangkul oleh rakyat dalam bidang sukan dan kebudayaan, dan walaupun besar pengiktirafan yang diterima negara di pentas dunia dalam bidang pengurusan perniagaan, hebat jugalah cabaran politik dan sosial yang diharungi negara sehingga memberi kesan langsung mahupun tidak langsung kepada rakyat. Masalah yang merosakkan tadbir urus baik negara, keadaan geopolitik semasa dunia yang semakin meruncing serta rupa bentuk jenayah yang semakin kompleks merupakan antara punca.

Tetapi, biarlah kita tinggalkan tahun sudah untuk dijadikan kenangan dan pengajaran untuk diri kita dan orang-orang sekeliling. Kita serahkan juga kepada ahli-ahli berkaitan untuk meneruskan tugas dan tanggungjawab mereka pada tahun semasa. Walaupun begitu, inilah masanya untuk kita perbaiki keadaan semasa dengan cara kita.

Kita memang tidak mampu mahu mengubah keadaan politik, ekonomi dan sosial negara dan rakyat dalam skala besar mahupun secara sekelip mata. Tetapi, pendidikan membolehkan kita menjanakan mahupun meneruskan perubahan dengan daya upaya kita, untuk diri kita dan orang-orang sekeliling kita.

Hal ini demikian kerana, negara tidak mahu ditinggalkan oleh orang yang geliga otaknya tetapi kosong hatinya. Negara juga tidak harus ditinggalkan oleh orang yang kaya budinya tetapi miskin ilmunya. Revolusi Perindustrian ke-4 bukan sahaja menyaksikan sebilangan besar kerja manusia diambil alih oleh teknologi, tetapi juga menyaksikan persaingan yang lebih sengit dan ketara antara rakyat dalam mengejar status kemenjadian dan kebolehpasaran.

Pada zaman ini, kemenjadian dan kebolehpasaran insan tidak boleh diukur melalui rekod akademik mahupun pencapaian kokurikulum sahaja, tetapi juga menerusi keupayaan kepimpinan dan pengurusan, penguasaan terhadap pelbagai kemahiran insaniah, kekuatan minda keusahawanan serta penghayatan terhadap nilai-nilai murni, ajaran agama dan adat resam bangsa.

Kemenjadian dan kebolehpasaran insan juga tidak dapat lagi diukur pada satu-satu masa sahaja. Walaupun merit seseorang hanya diambil kira ketika ingin melanjutkan pengajian tinggi mahupun memasuki zaman kerjaya, kemenjadian dan kebolehpasaran insan, yang sentiasa bersifat kompleks dan subjektif, sentiasa harus diukur oleh negara dan rakyat sepanjang masa seiring dengan hasrat dan kehendak Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

Atas kesedaran itu, saya meletakkan tiga perkara pada diri saya (dan orang-orang dekat) untuk terus cemerlang di pelbagai tempat dan ketiga: menjadi segalanya, bersedia dengan segala kemungkinan, dan memberikan yang terbaik untuk semua. Sebabnya amat mudah untuk difahami: kecemerlangan bukan milik seseorang mahupun sekumpulan, tetapi milik kita semua.

Bagi mereka yang tidak mampu memahami mesej ini, mari saya mudahkan menerusi pesanan berikut yang ingin disampaikan kepada diri sendiri dan semua, terutamanya mereka yang berada di sekolah mahupun di pengajian tinggi: Belajarlah untuk kehidupan, bukan lagi untuk peperiksaan walaupun ada sahaja peperiksaan.

Pertahankan identiti diri yang baik, soleh dan bertaqwa. Bawa diri sendiri (dan orang-orang dekat) berubah ke arah yang lebih baik. “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga kaum tersebut mengubah diri mereka sendiri,” mafhum Surah al-Raad, ayat 11.

Kuasai segala ilmu dan kemahiran. Amalkan nilai-nilai murni. Sentiasa jaga hubungan dengan keluarga, guru-guru, sahabat handai dan orang-orang sekeliling. Rebut sebanyak mungkin peluang di depan untuk berjaya.

Suatu hari nanti, dengan sifat dan pengalaman kita inilah, kita membawa kejayaan kepada diri sendiri dan orang-orang sekeliling. Pada masa itu jugalah, atas semangat kebersamaan, kita boleh membawa perubahan yang lebih berkesan dan bermakna kepada negara dan rakyat di pelbagai lapangan.

Selamat maju jaya dalam apa jua bidang mahupun kegiatan yang diceburi. Mudah-mudahan langkah pengajian, kerjaya mahupun masa depan kita dipermudahkan dan direstui oleh Allah SWT.

Comments