Surat Cinta untuk Sungai Pusu


Tidak pernah saya bermimpi untuk ke Sungai Pusu meski letaknya hanya di belakang Taman Ilmu dan Budi, apatah lagi untuk datang ke sekolah menengahnya untuk menyertai rakan-rakan sekerja untuk seketika mendidik adik-adik di sana menjadi manusia. Memang sekolah itu jauh sedikit dari desanya, tetapi duduknya di hati daerah dan wilayah amat bermakna buat setiap yang pernah menjengahnya.

Sekolah itu, pada mata insan biasa, biasa sahaja; tetapi tidak bagi saya. Dari saat pertama saya pinjamkan diri saya ke sekolah itu sampailah pada saat saya keluar pagar sekolah buat kali terakhir, bahkan sampai pada saat surat ini saya tulis, sekolah itu, meski tak sempurna, saya rasakan sangat luar biasa.

Cukuplah surat cinta ini, selain daripada memberi keterangan dari minda dan jiwa, mengucapkan terima kasih banyak-banyak kepada Sungai Pusu, sekolah menengahnya dan warganya.

Bukan sahaja kerana Tuan Pengetua yang sudi berkongsi segalanya dengan saya, bukan juga kerana rakan-rakan sekerja yang meraikan saya dan kawan-kawan sebagai sebahagian daripada keluarga, bukanlah juga kerana murid-muridnya yang berulang alik secara harian mahupun menghuni asrama; tetapi kerana tiga belas orang sahabat yang Allah hantarkan ke dalam kehidupan saya.

Saya tidak pernah kisah siapa pun mereka. Mereka semua murid yang masih punya orang tua dan keluarga, datangnya mereka dari pelbagai latar belakang sosial dan dengan pelbagai paras rupa. Tetapi, yang saya kisahkan adalah kemurnian hati nurani dan budi pekerti mereka meski rekod yang mereka miliki biasa-biasa sahaja.

Sejak hari itu, meski saya seorang guru, saya memilih untuk menjadi abang dan sahabat setia mereka kerana hadir mereka dalam kehidupan saya secara peribadi mahupun profesional membolehkan saya ditemukan dengan erti sebenar cita dan cinta. Begitu pun, saya milik semua, bukan khusus kepada tiga belas orang sahabat itu sahaja.

Tidak pernah terlintas di fikiran untuk bertemu dengan Muhammad Yusuf bin Johari, menyemak teks doa yang dia punyai untuk sebuah acara rasmi peringkat negeri; apatah lagi untuk melihat berjayanya dia masuk semula ke kelas aliran agama setelah menunggu sekian lama.

Tidak pernah juga terfikir untuk membimbing Muhammad Syahiran berpidato; apatah lagi, berbekalkan hanya tiga hari, untuk melihat dia merangkul pencapaian terbaik dan, atas restu sekolah, diangkat menjadi Ketua Pelajar yang seterusnya tidak lama kemudian.

Jauh sekali saya bermimpi, sebelum ini, untuk mengajar Bahasa Arab di kelas yang ditugaskan. Rupanya, Muhammad Amir Hakim, yang cukup dikenali orangnya di situ, merupakan salah satu daripada 51 orang murid yang dipertanggungjawabkan kepada saya.

Begitu pun, kasih sayang Allah tidak pernah menghampakan.

Tiada saya sesali apabila pentadbiran menugaskan saya menjaga pintu masuk murid pada awal pagi. Rupanya di situlah pertemuan pertama saya dengan Muhammad Harith, orang yang mengambil peduli akan saya terutamanya di asrama; cukuplah walaupun seketika.

Di situ jugalah pertemuan pertama saya dengan Muhammad Ali Syafii—walaupun sebenarnya dia sudah terlihat saya terlebih dahulu di pejabat pentadbiran. Tidak sah rasanya menjadi warga sekolah jikalau tidak bertanya dengannya tentang sejarah sekolah pada awal kedatangan.

Tidak sah juga rasanya, apabila mendekati kumpulan silat, jika saya hanya mengenali dia sahaja. Di samping dia yang bermain caklempong bersama rakan-rakan pemain muzik yang lain, masih ada Rifqi Syazzuan yang sebenarnya bermain silat bersama rakan-rakan pesilat yang lain. Adiknya seorang pengacara majlis yang boleh dijadikan hebat sedikit masa lagi.

Tiada jua saya sesali apabila pentadbiran memberi kepercayaan kepada saya untuk menggerakkan surau bersama-sama BADAR. Pelbagai episod pertemuan, persahabatan dan persaudaraan telah saya saksikan dan alami sendiri, sama ada di waktu pagi dan petang, juga pada waktu malam. Tuan Nabil Aiman merupakan salah seorang pelajar sidang petang yang saya temui di situ.

Pertemuan saya dengan Mohamad Syazraie terlalu berharga buat saya. Meski dia dan rakan-rakannya berkali-kali lagi sibuk dari saya, masih ada beberapa ruang untuk saya bersamanya, bukan sahaja untuk melihat beliau berlatih nasyid, tetapi berunding panjang mengenai keadaan sekolah.

Sama jugalah dengan Muhammad Rahmuni Shahzani. Saya akui masa saya bersamanya tidak banyak. Tetapi, cukuplah masa berharga saya dengannya dengan gurau senda dan gelak tawa di pelbagai tempat dan ketika sambil bertanya khabar dan rupa.

Begitulah juga dengan ahli-ahli kumpulan An-Nusra seperti Muhammad Ashyraff. Kesibukannya tidak terbatas kepada nasyid semata-mata, tetapi juga penggambaran dan pembikinan majalah sekolah, terutamanya ketika menghampiri penghujung sesi persekolahan.

Walaupun begitu, tiada apa yang saya sesali. Banyak perkara saya belajar daripadanya, banyak jugalah yang saya pelajari daripada An-Nusra, terutamanya ketika meninjau latihan dan persiapan sebelum pertandingan.

Muhammad Wildan Ashraff telah saksikannya bersama saya. Dia pernah bermimpi untuk bersama An-Nusra, tetapi rezekinya berada di pasukan bola sepak dan hoki sekolah—dan dia memang selayaknya berada di sana.

Mohamad Asyraf juga telah saksikannya bersama saya, bukan pada sesi latihan mahupun persediaan, tetapi dalam pertandingan yang sebenar di peringkat daerah. Kebetulan sekolah menjadi tuan rumah.

Entah bagaimana saya boleh rapat dengannya. Mungkin kerana saya memilih untuk saling bertegur sapa, menjenguk bilik, bertanya khabar berita, berkongsi apa adanya; “mengutamakan mereka (orang lain) melebihi diri sendiri,” maksud Surah al-Hasyr, ayat 9.

Muhammad Danial hanya terlihat di gambar sahaja, itu pun milik guru meja sebelah. Rupanya hampir sama tinggi dengan saya. Agak lama masa diambil sebelum dapat bertemu dengan orangnya yang sebenar-benarnya dan mengenalinya dengan sebenar-benarnya juga.

Saya rasa lebih terlewat ketika dipertemukan dengan Muhammad Azizul Hakim. Masa saya bersamanya cukup singkat, tetapi terasa sangat berguna, terutamanya ketika peperiksaan bertulis Pentaksiran Tingkatan 3 hanya beberapa hari ke hadapan dan setelah itu. Banyak perkara dia ajarkan saya.

Entah bagaimana saya harus ungkapkan lagi betapa mahalnya sekolah itu dan seisinya, apatah lagi orang-orang yang saya panggil sahabat rapat walaupun, hakikatnya, mereka semua murid saya meski saya tidak mengajar mereka secara langsung.

Mungkin cukup seratus rangkap puisi moden untuk menceritakan betapa hebatnya mereka meski tampak biasa sahaja; mungkin juga seratus buah cerpen untuk menceritakan betapa berharganya sekolah kerana adanya mereka; mungkin juga seratus buah lagu untuk menceritakan betapa saya sayang mereka semua—kerana Allah.

Sayang seribu kali sayang, saya terbatas. Hanya gambar, air mata dan doa yang mampu bercerita. Kerana hayat saya di situ sudah selesai, cinta dan kasih sayang yang ingin saya berikan lagi di situ juga sudah selesai.

Tidak semua dapat menerimanya—saya menerimanya. Tetapi, biarlah, kerana itulah cara saya mencintai. Hakikatnya, cinta tidak semestinya indah pada sepanjang masa. Bukan kasih sayang namanya jika tidak dilalui kegetiran dan kepayahan.

Terima kasih saya kepada mereka semua, kepada sekolah, dan kepada setiap insan yang berada di dalamnya, sesungguhnya tidak pernah mencukupi. Biarlah Allah mencukupkannya bagi pihak saya.

Yang saya boleh tinggalkan, meski sudah habis, hanya kasih sayang dari kejauhan. Biarlah cinta tetap tinggal di situ, terbang mengelilingi sekolah dan seisinya sehingga bertemu lagi di tempat dan pada ketika yang lain.

Muhammad Yusuf bin Abdul Rahman, yang rumahnya hanya dipisahkan dengan padang, masih ada berdekatan meski hayatnya di situ juga sudah selesai. Apakah dia terlihat cinta itu kekal di sana, berterbangan mengelilinginya, saya tidak mengerti.

Beberapa malam di kebelakangan, saya terlihat dia dan sahabat-sahabat rapatnya datang bertemu saya lagi, bersalaman dan berdakapan, entah di mana—sesuatu yang saya masih impikan sampai ke saat ini.

Dahulu, tidak pernah terlintas dalam hati untuk bertemu dengannya di dataran kejat buat pertama kali, jauh sekali untuk mengenalinya dan mengerti kehidupannya. Tidak pernah juga terfikir melihatnya bergabung tenaga bersama An-Nusra dalam pentas-pentas nasyid.

Sekarang, barulah saya faham kenapa Allah hantarkan dirinya kepada saya. Dia memang selayaknya menjadi sahabat saya yang paling rapat di situ dan untuk sepanjang hayat saya. Saya sangat terasa kehilangannya apabila tempoh penugasan saya di situ habis, selesai.

Sebabnya hanya satu dan saya sudah sebutkannya, “Saya sayang kamu lebih daripada apa yang hati saya mampu.”

“Aku pernah berfikir tentang hidupku tanpa ada dirimu. Dapatkah lebih indah dari yang aku jalani sampai kini?” (Virgoun, Surat Cinta untuk Starla, 2016)

Kampung Dungun Timbok, Tuaran, Sabah.
3-5 Disember 2017.

Comments

Post a Comment