Selamatkan Baitulmaqdis


"Langkah mengiktiraf negara Israel atau mengadakan hubungan untuk mengiktiraf negara itu merupakan satu langkah yang tidak boleh diterima oleh mana-mana umat yang bertamadun. Sebaliknya, usaha demi usaha perlu dilakukan bagi mengembalikan hak rakyat Palestin kepada kehidupan yang aman dan adil. Apa yang penting kini adalah pembebasan Palestin daripada cengkaman Zionis-Yahudi."

Saudara sebangsa dan setanah air,
Mudah-mudahan direstui Allah SWT kesemuanya:

Saya berpesan kepada diri saya dan semua, marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita sentiasa dilimpahkan rahmat, keampunan serta keredhaan Allah SWT di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Dalam catatan sejarah, Bani Israil dikenali sebagai Ibrani atau Yahudi. Secara linguistik, perkataan Isra membawa maksud hamba, manakala El itu bermaksud Tuhan. Gabungan kedua perkataan ini membawa maksud hamba Tuhan; dalam istilah Arab, kita menyebutnya sebagai Abdullah. Sebutan Israel atau Bani Israel adalah dinisbahkan kepada nama Nabi Yaakub AS, manakala Ibrani pula dinisbahkan kepada Nabi Ibrahim AS. Adapun sebutan Yahudi muncul ketika mereka bertaubat dari menyembah anak lembu.

Disebabkan asal-usulnya datang daripada jalur keturunan Nabi Yaakub AS, tercetus rasa sombong dan angkuh dalam diri mereka terhadap kemuliaan bangsa mereka mengatasi bangsa-bangsa lain di atas muka bumi, walhal mereka lupa bahawa Allah SWT sangat murka terhadap sikap buruk mereka. Firman Allah SWT dalam Surah al-Maidah, ayat 78:

“Orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan menceroboh.”

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Konflik di Palestin antara bangsa Arab dan Israel merupakan sejarah panjang yang telah berlarutan lebih tujuh dekad lamanya. Sejak tertubuhnya secara rasmi Pertubuhan Zionis Dunia pada tahun 1897 dan tertubuhnya negara haram Israel pada 15 Mei 1948, terlalu banyak episod duka yang meragut ketenangan dan menyukarkan urusan kehidupan mereka seharian.

Kehidupan mereka terumbang-ambing dan hilang nikmat kemerdekaan. Sememangnya rasa merdeka itu sudah terlalu lama diimpikan oleh mereka. Lantaran itu, tidak hairan mengapa umat Islam Palestin tidak pernah duduk diam memperjuangkan dan mencari keadilan dalam membebaskan negara mereka dari cengkaman Yahudi. Akhirnya, rakyat Palestin telah melakukan pendekatan yang drastik serta mengejutkan seluruh pihak, terutamanya rejim Zionis, dengan melakukan Intifada, iaitu kebangkitan rakyat Palestin. Intifada ini merupakan cetusan perasaan mereka yang tertekan akibat kezaliman dan penganiayaan yang dilakukan oleh tentera Israel.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Intifada yang pertama bermula pada tahun 1987 dan memuncak sehingga tahun 1993 tetapi kembali reda apabila Perjanjian Oslo ditandatangani antara Pertubuhan Pembebasan Palestin dengan tentera Israel. Perjanjian itu bertujuan untuk mengadakan perdamaian dan meredakan kemarahan rakyat Palestin yang mahukan kehidupan mereka berfungsi seperti sedia kala.

Walau bagaimanapun, pada 29 September 2000, laungan Intifada bangkit semula selepas Ariel Sharon, Perdana Menteri Israel ketika itu, bersama 1,000 orang tenteranya mencemar kesucian Masjid al-Aqsa pada hari sebelumnya. Kebangkitan kali ini berlangsung agak lama dan menghasilkan beberapa siri perjanjian usaha damai untuk meredakan keadaan antara kedua-dua pihak. Namun, Israel mengkhianati perjanjian yang dibuat dan meneruskan keganasan mereka dengan menyerang Gaza pada akhir 2008 hingga 22 Januari 2009. Apa yang menyayat hati, serangan ini telah meranapkan sebuah daerah kecil dengan begitu dahsyat sekali.

Israel menutup kesalahan itu dengan alasan untuk mengekang keganasan yang diterajui oleh Hamas dan menganggap Hamas adalah pengganas yang perlu diperangi. Kekejaman Israel ini sama sekali tidak dapat mematahkan semangat juang rakyat Palestin bahkan menyuburkan rasa keimanan mereka sekalipun hanya bersenjatakan batu dan kayu. Thauban RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Akan tetap ada dari kalangan umatku kumpulan yang bangun menyatakan kebenaran, mereka tidak boleh dimudaratkan oleh orang-orang yang mengecewakan mereka sehingga datangnya urusan Allah.” (Hadis Riwayat Tirmidzi)

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Palestin adalah bumi Anbia yang dimuliakan Allah SWT; Baitulmaqdis pula pintu laluan untuk ke langit semasa Mikraj Rasulullah SAW ke tempat yang mulia di sisi Allah. Kenyataan ini menuntut kita untuk terus kekal bersatu dan mempertahankan kemuliaannya sebagaimana Masjid al-Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah.

Dalam konteks ini, langkah mengiktiraf negara Israel atau mengadakan hubungan untuk mengiktiraf negara itu merupakan satu langkah yang tidak boleh diterima oleh mana-mana umat yang bertamadun. Sebaliknya, usaha demi usaha perlu dilakukan bagi mengembalikan hak rakyat Palestin kepada kehidupan yang aman dan adil. Apa yang penting kini adalah pembebasan Palestin daripada cengkaman Zionis-Yahudi.

Kita terharu atas kesungguhan dan pendirian beberapa pemimpin negara Islam, termasuk Malaysia, yang berterusan memberi sokongan kepada rakyat Palestin, mempertahankan kedaulatan Baitulmaqdis bersama-sama 57 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul, baru-baru ini. Beberapa resolusi telah disepakati dalam Sidang Kemuncak Luar Biasa OIC mengenai al-Quds al-Syarif yang berlangsung pada 13 Disember lepas, termasuklah pengesahan isu Palestin dan Baitulmaqdis yang menjadi agenda penting seluruh umat Islam.

Rentetan itu, kita menegaskan bahawa rakyat Palestin perlu diberi hak untuk menubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan persempadanan sebelum 1967 dan Timur Baitulmaqdis adalah ibu negaranya. Dengan nada tegas juga, kita menolak pengiktirafan Amerika Syarikat terhadap Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel. Hakikatnya, mereka tidak berhak langsung berbuat demikian kerana pengiktirafan tersebut, walaupun sah menurut Seksyen 3(a)(2), Akta Kedutaan Baitulmaqdis 1995 (Amerika Syarikat), tetap tidak sah dan terbatal di sisi undang-undang antarabangsa, terutamanya enam buah Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), salah satunya adalah Resolusi 2334 bertarikh 23 Disember 2016.

Kita berterima kasih kepada 128 negara anggota PBB, termasuk Malaysia, yang bersatu suara dengan masyarakat antarabangsa, menyokong resolusi menentang penyelesaian sepihak Amerika Syarikat terhadap Baitulmaqdis pada Mesyuarat Plenari ke-37, Perhimpunan Agung Luar Biasa ke-10, PBB yang berlangsung awal pagi tadi waktu Malaysia.

Walaupun resolusi ini ditentang oleh 9 buah negara termasuk Amerika Syarikat dan Israel dan dinyatakan tidak berpihak oleh 35 buah negara yang lain, resolusi tersebut menggambarkan pendirian dunia bahawa penyelesaian sepihak Amerika Syarikat terhadap isu Baitulmaqdis tidak akan menyelesaikan isu Palestin-Israel bahkan akan memberi ancaman yang lebih besar kepada dunia, khususnya rantau Timur Tengah dan Baitulmaqdis itu sendiri, sekaligus menafikan hak dan kebebasan bernegara Palestin dan rakyatnya.

Walaupun begitu, suka saya mengingatkan kita semua, dalam kita bersemangat menyatakan sokongan dan solidariti terhadap nasib rakyat Palestin, kita perlu mematuhi tatacara yang direstui dalam agama sesuai dengan konsep Wasatiyyah yang dianjurkan oleh Islam.

Sidang Jumaat yang budiman,

Ingatlah, bangsa Yahudi tidak akan pernah berhenti dan puas melakukan kerosakan di muka bumi ini. Firman Allah dalam Surah al-Israk, ayat 4:

“—dan Kami nyatakan kepada Bani Israil dalam Kitab itu: Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi dua kali, dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan melampau.”

Ya, walaupun pelbagai janji dan deklarasi dimeterai, namun mereka tetap tidak menepati janji. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 83:

“—dan (ingatlah), ketika Kami mengikat perjanjian setia dengan Bani Israil (dengan berfirman): Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, dan berbuat baiklah kepada kedua ibu-bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, serta orang miskin dan katakanlah kepada sesama perkataan yang baik; dan dirikanlah sembahyang serta berilah zakat. Kemudian kamu berpaling (perjanjian setia kamu itu) kecuali sebahagian kecil dari kamu; dan sememangnya kamu orang yang tidak menghiraukan perjanjian setianya.”

Kini, tiada lagi alasan buat kita untuk tidak menghiraukan saudara seakidah kita ini dalam mempertahankan Kota Suci Baitulmaqdis. Oleh itu, marilah kita mengetepikan apa jua perbezaan yang mengganggu kesepaduan dan kesatuan sesama kita. Inilah masanya kita berganding bahu, berdoa dan bermunajat, serta membantu sedaya mungkin setiap umat Islam yang ditindas walau di mana jua.

“Jika Allah menolong kamu maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika ia mengecewakan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman itu berserah diri.” (Surah Ali Imran, ayat 160)

Jumaat, 22 Disember 2017.
Masjid al-A'laa, Kampung Lokub, Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah.
Khutbah terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dengan suntingan.

Comments