Menutup Buku 2017


2017 membuatkan saya lebih banyak menangis dari biasa, terutamanya ketika 2017 hampir tiba ke penghujungnya. Pertama, kerana sukarnya untuk beralih dari zaman pengajian tinggi ke zaman persekolahan dan kemudiannya ke zaman orang kebanyakan. Lebih menyakitkan, zaman orang kebanyakan menyaksikan saya bukan lagi guru di sebuah sekolah, mahasiswa di salah sebuah IPT mahupun pekerja di sektor kerajaan mahupun swasta.

Kedua, kerana sakitnya mengharungi usia keseorangan yang sarat dengan kehampaan, kekecewaan dan kesedihan. Walaupun ada jaminan bahawa rasa kehilangan yang mendalam akan berkurangan pada usia yang berikutnya, Heidi Priebe (2015) menerangkan bahawa usia ke-23 merupakan usia yang penuh dengan kesunyian, ketidakselesaan dan putus asa kerana kelowongan antara zaman pengajian tinggi dan zaman kerjaya.

Ketiga, kerana rindu yang terlalu mendalam pada orang-orang sekeliling yang pernah dan masih menjadi sebahagian daripada hidup diri ini. Tidak cukup dengan orang-orang dekat yang ditemukan di UIAM, KISAS dan SMESH, mahupun mereka yang pernah bersama saya di SMKAKK dan masih menjadi sahabat setia, Allah mengurniakan pula orang-orang dekat dari kalangan orang-orang baik di SMK Sungai Pusu (SEBESTARI). Kemurnian hati mereka, kejauhan saya dari mereka serta pengajaran yang mereka tinggalkan untuk saya membuatkan saya balik-balik mengalirkan air mata.

Begitu pun, 2017 menyaksikan pelbagai kisah yang terindah. Pada bulan Februari, saya melepaskan jawatan sebagai presiden kolej setelah menyandangnya selama dua tahun penuh. Hari ini, pengganti saya telah pun mendapat peluangnya dan digantikan oleh orang yang berikutnya. Saya gembira kerana telah berhasil melakukan segalanya kepada Universiti dan warganya dengan sedaya upaya saya sepanjang tempoh kepimpinan dan pengurusan saya di kolej tersebut.

Usrah Mahallah meninggalkan impak positif kepada Universiti serta Usrah Mahallah itu sendiri. Sepanjang pengurusan Usrah Mahallah terdahulu mengambil tempat, saya dan semua anggota sekretariat telah melakukan banyak pembaharuan terhadap perjalanan dan pembangunan Usrah di kolej-kolej kediaman. Sebahagiannya diteruskan oleh pengurusan Usrah Mahallah yang seterusnya.

Begitu jugalah dengan Anugerah as-Siddiq yang ditubuhkan pada akhir tahun 2015 untuk menghargai warga Universiti yang bersama kolej mahupun warganya mencipta pencapaian untuk Kolej dan Universiti. Setelah lebih dua tahun Anugerah tersebut disampaikan, Anugerah tersebut telah menjadi sebab yang membolehkan salah seorang penerimanya dinobatkan sebagai pelajar terbaik fakulti dalam istiadat konvokesyen Universiti.

2017 lebih manis apabila saya mengakhiri kemahasiswaan dan perkhidmatan saya di UIAM di SEBESTARI. Empat bulan keberadaan saya di situ saya gunakan bukan sahaja untuk memanfaatkan semula pengalaman demi pengalaman yang dirangkul sebelum-sebelum ini, tetapi juga untuk berkongsi dengan seluruh warga nilai yang ingin diterapkan dalam pendidikan dan perkhidmatan awam.

Saya akui, pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) saya belum berada di tahap yang terbaik. Saya juga akui, kejurulatihan saya belum berada di tahap yang sepatutnya. Begitu pun, saya berharap semua murid saya telah mendapat manfaat yang sebolehnya daripada PdPc dan kejurulatihan saya. Yang lebih penting bagi seorang murid (juga seorang guru) ialah ilmu yang diajarkan dan langsung dimanfaatkan dan dikongsikan dengan orang lain.

Saya bersyukur kerana nilai yang saya bawa ke SEBESTARI dapat dirasai dan diraikan oleh kebanyakan guru dan murid. Saya harap nilai tersebut tidak mati pada hari terakhir saya di sekolah, tetapi berterusan di sepanjang hari persekolahan yang berikutnya. Secara peribadi, saya menggalakkan pengganti-pengganti saya dari UIAM untuk meneruskan tradisi, mempromosikan nilai tersebut dengan cara mereka sendiri. (Saya diberitahu ada 8 orang yang akan ditugaskan ke SEBESTARI dari Februari hingga Mei depan.)

Saya lebih bersyukur apabila SEBESTARI mengajar saya banyak perkara mengenai kehidupan dan lapangan pendidikan. Sumbangan saya kepada sekolah sesungguhnya tidak dapat mengatasi sumbangan sekolah kepada saya. Sampai ke saat ini saya terhutang budi kepada sekolah.

Dari sana, saya disedarkan untuk tidak melihat kepada mereka yang berada di atas sahaja, tetapi juga untuk melihat mereka yang berada di bawah. Sejak datangnya kesedaran itu, saya mengerti bahawa yang memiliki keistimewaan bukan sahaja mereka yang berada di atas, tetapi juga mereka yang berada di bawah. Jikalau keistimewaan mereka bukan pada zahir, keistimewaan mereka pasti ada pada batin yang tidak semua mata hati mampu melihatnya.

Dari sana juga, saya diajar untuk tidak mengukur kejayaan warga dengan rekod akademik mahupun pencapaian kokurikulum semata-mata, tetapi juga untuk mengukurnya menerusi keupayaan kepimpinan dan pengurusan, penguasaan terhadap pelbagai kemahiran insaniah serta penghayatan terhadap nilai-nilai murni. Hakikatnya, kebolehpasaran dan kemenjadian seseorang ahli masyarakat tidak boleh diukur melainkan dengan penilaian yang menyeluruh dan berterusan.

Seseorang hanya dianggap berhasil dan boleh dipasarkan sekiranya memenuhi kesemua kriteria yang disebutkan. Hal ini demikian kerana, negara tidak mahu ditinggalkan oleh orang yang geliga otaknya tetapi kosong hatinya. Negara juga tidak harus ditinggalkan oleh orang yang kaya budinya tetapi miskin ilmunya. Revolusi Perindustrian ke-4 memerlukan negara dan rakyat untuk sentiasa lengkap dengan ilmu dan budi kerana yang harus maju bukan sahaja negara, tetapi yang lebih penting, rakyat itu sendiri.

Atas kesedaran itu, saya meletakkan tiga perkara pada diri saya (dan orang-orang dekat) untuk terus cemerlang di pelbagai tempat dan ketiga: menjadi segalanya, bersedia dengan segala kemungkinan, dan memberikan yang terbaik untuk semua. Sebabnya amat mudah untuk difahami: kecemerlangan bukan milik seseorang mahupun sekumpulan, tetapi milik kita semua.

Walaupun, masuk sahaja 2018, saya bukan lagi milik universiti mahupun sekolah itu, saya sentiasa berharap kepada diri saya dan semua agar budaya kecemerlangan tidak terhad mahupun terhenti di sesuatu tempat mahupun pada sesuatu ketika sahaja, tetapi juga berterusan di mana pun berada dan walau apa pun menimpa.

Sempena berakhirnya 2017, saya ingin menyampaikan penghargaan dan ucapan terima kasih saya yang setinggi-tingginya kepada emak ayah dan adik-beradik, sanak saudara, para pendidik, para sahabat dan rakan sekerja dan sepengajian, serta sesiapa jua yang telah menjadikan 2017 penuh bermakna buat diri saya di pelbagai sudut dan di pelbagai ketika.

Kepada orang-orang dekat di UIAM Gombak dan Kuantan: Ammar Daniali, Muhammad Ikmal Hakim, Bukhari, Afiq Haikal, Syed Ahmad Fawwaz Wafa, Mohd. Danial Aiman, Abdullah Izzat, Abdullah Izzuddin, Husni, Muhammad Nur Amir, Muhammad Najib, Afif Afnan dan Luqman; terima kasih banyak-banyak.

Kepada Tuan Pengetua dan seisi warga SEBESTARI, terutamanya orang-orang dekat, sekarang sudah ada 15 orang kesemuanya, nama mereka sudah saya sebutkan terlebih dahulu: terima kasih banyak-banyak. Begitu jugalah kepada orang-orang dekat yang lain, terutamanya mereka yang berada di SMESH: terima kasih banyak-banyak.

Selamat Tahun Baru. Saya mohon maaf setulusnya kepada semua atas salah dan silap yang saya lakukan sepanjang 2017 mahupun sepanjang perkenalan kita. Semoga Allah SWT merestui kita semua dengan rahmat, keampunan dan kasih sayang-Nya.

Comments