Mengenang UIAM Kampus Petaling Jaya


Semalam (16 Disember), ratusan mahasiswa, alumni dan warga kerja UIAM menyertai Program Perjumpaan Semula Terakhir UIAM Kampus Petaling Jaya (Last Reunion @ IIUM PJ Campus). Program ini dianjurkan untuk menandakan ucapan selamat tinggal warga kepada UIAM Kampus Petaling Jaya yang akan menamatkan operasinya pada 31 Disember.

Saya tidak berpeluang untuk menyertai mereka semua kerana berada di kejauhan. Tetapi, tiada apa yang saya sesali. Sejak Januari 2014, saya sudah datang ke sana sebanyak 23 kali, biasanya kalau bukan kerana perjumpaan peribadi, kerana terlibat dalam aktiviti debat bahasa Arab. Kali terakhir saya datang ke sana ialah pada 8 Ogos. Ketika itu, saya datang untuk meninjau perjalanan Usrah anjuran kolej-kolej kediaman Pusat Asasi, UIAM.

UIAM Kampus Petaling Jaya, bagi saya, bukannya kampus yang biasa. Pertama, kerana UIAM Kampus Petaling Jaya, meski terletak di tepi bandar raya Petaling Jaya, terletak berhampiran dengan Kuala Lumpur. Kedua, kedudukannya yang terlalu dekat dengan ibu negara membolehkan kampus tersebut dihubungkan dengan pelbagai jenis prasarana dan pengangkutan awam. Ketiga, kerana kampus tersebut, meski saiznya kecil, mempunyai nilai sejarah yang sangat besar dan mendalam kepada negara dan dunia Islam.

Keempat dan yang paling mustahak, kerana kampus ini telah mengajarkan saya segalanya dan menemukan saya juga dengan segalanya yang berharga. Kampus ini bukan sahaja tempat untuk saya menimba ilmu, tetapi juga tempat untuk saya menyemai budi dan membina persahabatan yang baru lagikan bermutu. Yang saya temui di sini bukan sahaja ilmu dan budi, tetapi juga sahabat sejati. Yang menjadi sahabat bukan sahaja mahasiswa, tetapi juga warga kerja.

Saya berterima kasih kepada mereka semua. Hadir mereka dalam kehidupan saya membuatkan keberadaan saya di kampus itu lebih bermakna dan berharga. Merekalah yang selama ini memudahkan pembelajaran saya di kuliah, memeriahkan kehidupan saya di kolej kediaman, membantu memudahkan tugas dan tanggungjawab saya sebagai penggerak dan pemimpin warga, serta menyokong segala inisiatif yang saya gerakkan untuk Universiti dan warga.

Walaupun banyak kenangan pahit, banyak jugalah kenangan manis yang tercipta di situ, bukan sahaja kenangan bersama rakan-rakan program Asasi Bahasa Arab, tetapi juga bersama rakan-rakan wakil kolej kediaman dan Kelab Debat Bahasa Arab, Pusat Asasi. Tidak pernah saya bermimpi, sebelum ini, untuk merealisasikan sebuah program khidmat masyarakat di Ranau, Sabah, apatah lagi untuk menganjurkan debat bahasa Arab persahabatan bertaraf antarabangsa dalam masa yang sangat singkat. Dengan doa, sokongan, dorongan serta kerjasama semua, semua rancangan menjadi kenyataan.

Atas itu semua, saya ucapkan berbanyak terima kasih. Tetapi, ucapan terima kasih sahaja tidak mencukupi. Tidak terkira rasanya sumbangan dan sokongan yang diberikan oleh Pusat Asasi UIAM kepada saya secara peribadi mahupun profesional. Menyedari hakikat tersebut, saya datang ke UIAM Kampus Petaling Jaya berulang kali untuk meneruskan sumbangan setakat yang boleh walaupun sudah menjadi milik UIAM Kampus Gombak (sehingga November lepas).

Pada 1 Januari 2018, jikalau saya datang lagi ke sana, kompleks itu bukan lagi namanya UIAM Kampus Petaling Jaya. Tetapi, kenangan dan pengajaran yang diri ini bawa mahupun yang ditinggalkan di situ tetap menjadi milik UIAM Kampus Petaling Jaya. Untuk menjadi warga kampus itu dan menjadi orang Petaling Jaya merupakan suatu tuah, penghormatan dan kenangan buat saya dan adik saya.

Comments