Menghayati Ketekunan, Ketaatan dan Ketaqwaan Sekolah dan Warga



"Di mana pun kita berada, dan walau apa pun yang berlaku, identiti kita dan jenama sekolah kita mesti kita kekalkan dan pertahankan. Tiada istilah rehat mahupun berhenti bagi ketekunan dan ketaatan yang sentiasa kita semat dalam jiwa, apatah lagi ketaqwaan yang sentiasa menunjangi kejayaan kita di sini dan di sana."

Setiap permulaan ada pengakhiran. Hari itu, saya berada di permulaan. Hari ini, saya berada di pengakhiran. Walaupun manis sebuah pengakhiran, pahit jugalah sebuah pengakhiran. Manisnya pengakhiran tugas dan tanggungjawab saya di sekolah ini dan universiti saya, apa pun jua alasannya, tetap tidak dapat mengatasi pahitnya pengakhiran cerita cita dan cinta saya di sini. 

Pertama, kerana hari ini bukan sahaja hari terakhir saya di sekolah ini, tetapi juga hari terakhir saya bersama UIAM. Hari ini genap 4 bulan saya berada di sekolah ini; genap jugalah 5 tahun dan 5 bulan kemahasiswaan dan perkhidmatan saya di universiti saya. Lewat hari ini, saya akan kembali ke pangkuan keluarga—suatu berita yang sentiasa dinantikan mereka yang berada di tanah air sebelah sana.

Kedua, kerana tiada jaminan mahupun janji bahawa saya akan kekal di lapangan keguruan. Sedangkan yang sudah berkhidmat lama tidak akan berterusan zaman perkhidmatannya, apatah lagi mereka yang belum pun – dan mungkin tidak – diberi peluang untuk menyertai Perkhidmatan Pendidikan dalam Kerajaan Negeri mahupun Persekutuan.

Hakikatnya, tiada siapa yang tahu apa yang akan berlaku pada esok hari. Sebaik mana pun kita merancang, esok hari tetap menjadi rahsia Tuhan yang sesungguhnya Sebaik-baik Perancang – dan cukuplah Dia bagi kita Sebaik-baik Perancang.

Mungkin, selepas ini, saya menjadi pegawai tadbir atau pegawai agama, jikalau bukan dengan Kerajaan Persekutuan, dengan Kerajaan Negeri. Mungkin juga, selepas ini, jikalau saya tidak membuka perniagaan atau pertubuhan sendiri, saya menyertai perkhidmatan lalu menceburi bidang yang diminati di sektor swasta mahupun badan bukan kerajaan.

Sambil memikirkan kedua-dua kemungkinan tersebut, saya menimbang untuk menyertai politik, bukanlah untuk merebut jawatan dan kedudukan, apatah lagi untuk mempertahankan parti yang diwakili mahupun apa jua prinsip yang menjadi pegangan, tetapi untuk bersama pemimpin dan penggerak masyarakat memastikan pembangunan yang seimbang dan mapan di kawasan yang dipertanggungjawabkan.

Alasannya jelas dan mudah: saya tidak dilatih mahupun diajar semata-mata untuk menjadi guru. Keberadaan saya di pelbagai tempat dan ketika mengajar saya untuk menjadi segala-galanya, bersedia dengan segala kemungkinan dan memberikan yang terbaik untuk semua—dan saya berharap agar saya sudah melaksanakan itu semua walaupun ada sahaja yang menghalang saya daripada melakukannya.

Dunia kita, mutakhir ini, penuh dengan pancaroba. Cabaran dan dugaan, sama ada bersifat individu mahupun berkelompok, datang dari pelbagai sudut dan dalam pelbagai keadaan. Kita tidak perlu pergi jauh-jauh untuk mencarinya—cukuplah kita menemuinya dalam diri kita sendiri, di tempat ini dan pada saat ini.

Walaupun begitu, kita jangan putus asa. “Tidak boleh takut, tidak boleh kalah,” kata Joko Widodo, Presiden Indonesia. Berbekalkan iltizam yang padu dan semangat yang jitu, kita mesti maju ke depan. Cabaran dan dugaan, mari kita tangkis dengan kesabaran dan ketabahan. Cita dan cinta, mari kita tunaikan dengan kesungguhan dan ketekalan.

This is our school. This school belongs to us all. Our school is our responsibility. We are responsible in ensuring continuous success for our school at all levels and fields—so ask not what the school can do for you; ask what you can do for your school, and ask not what the school will do for you, but what together we can do for the success of our people, our nation and our religion.

Di mana pun kita berada, dan walau apa pun yang berlaku, identiti kita dan jenama sekolah kita mesti kita kekalkan dan pertahankan. Tiada istilah rehat mahupun berhenti bagi ketekunan dan ketaatan yang sentiasa kita semat dalam jiwa, apatah lagi ketaqwaan yang sentiasa menunjangi kejayaan kita di sini dan di sana.

Siapa pun kita, di mana pun kita berada dan apa pun yang berlaku, selagi hayat dikandung badan, marilah kita terus jadikan “Tekun, Taat dan Taqwa” sebagai landasan kejayaan kita semua; terbilang di dunia, sejahtera di akhirat sana.

Walaupun selepas ini, saya tidak lagi menjadi warga sekolah ini, saya berharap agar, dengan komitmen dan kerjasama semua pihak yang berkepentingan, serta cita dan cinta yang selama ini disemai dalam diri kita semua, harapan dan cita-cita sekolah ini akan tercapai. 

Kepada universiti saya, saya berharap agar banyak lagi kecemerlangan dapat dirangkul oleh universiti saya dan warganya di pelbagai peringkat dan lapangan. Saya optimis, dengan sokongan dan dukungan seluruh warga universiti, dan dengan prinsip Triple ICE yang sentiasa menunjangi semangat dan perjuangan universiti, banyak lagi kegemilangan akan dapat dicipta oleh universiti dan warganya pada masa hadapan.

Sebagai sebahagian daripada sekolah ini dan universiti saya, saya hanya ingin memberikan yang terbaik buat diri dan semua. Malangnya, ada sahaja kekurangan, kelemahan, kesalahan dan kesilapan yang saya lakukan selama ini; apatah lagi hasrat-hasrat yang tidak tercapai. Saya memohon maaf kepada semua atas itu semua. Saya berazam untuk terus memperbaiki diri sendiri pada waktu mendatang.

Pada masa yang sama, harus saya beritahu bahawa betapa bersyukurnya saya kepada Allah SWT kerana dijadikan sebahagian daripada sekolah ini. Di SBP, akademik sentiasa diutamakan. Di SMKA mahupun SABK, sahsiah dan kerohanian sentiasa diutamakan. Di Kolej Vokasional dan Sekolah Menengah Teknik pula, kemahiran sentiasa diutamakan. Di Sekolah Sukan, sukan sentiasa diutamakan; begitulah juga halnya di Sekolah Seni yang sentiasa mengutamakan kebudayaan dan kesenian.

Di sekolah ini, kita boleh menjadi apa-apa pun, asalkan pilihan kita terbaik, diterima oleh keluarga dan masyarakat, negara dan rakyat, agama dan umat—dan saya gembira atas kebebasan itu. Alhamdulillah, kebebasan yang dinikmati membolehkan kita semua berusaha sedaya upaya kita untuk merangkul keunggulan.

Saya bersama seluruh warga sekolah dan komuniti setempat bersyukur dan berbangga dengan segala kejayaan yang dirangkul oleh sekolah dan warganya di pelbagai tempat, ketika dan lapangan. Setinggi-tinggi tahniah kita ucapkan kepada mereka semua. 

Pun begitu, perjuangan belum selesai. Oleh itu, teruskanlah usaha merangkul keunggulan, janganlah berhenti separuh jalan dan janganlah pula lupa kuasa doa yang sentiasa menjadi jambatan antara kita dan Tuhan. Sesungguhnya Tuhan sentiasa menilai segala komitmen kita dan mendengar segala isi hati kita.

Saya juga bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana menjadikan saya warga UIAM. Walaupun banyak cabaran dan dugaan yang ditempuh, banyak jugalah kejayaan yang direkodkan oleh saya atas kapasiti peribadi, profesional mahupun institusi. Banyak jugalah orang perseorangan mahupun organisasi, dalam dan luar universiti, yang telah menyumbang kepada kesemua kejayaan tersebut.

Saya mengambil ruang dan peluang yang ada untuk menyampaikan penghargaan dan terima kasih yang setinggi-tingginya kepada mereka semua atas segala sumbangan, sokongan mahupun dukungan mereka terhadap kesemua kejayaan tersebut serta atas apa-apa jua yang mereka telah kongsikan dengan saya selama ini.

Kepada ibu bapa serta adik-beradik yang telah banyak berkorban untuk diri ini; juga kepada sanak saudara, jauh dan dekat, yang sentiasa berkongsi doa, nasihat, sokongan dan dorongan meski dibelenggu kesibukan: terima kasih banyak-banyak.

Kepada Tuan Pengetua yang sentiasa bersama saya ketika susah dan senang, dan yang sentiasa memberi peluang kepada saya untuk mengabdi kepada sekolah dan warga; para pentadbir, guru, AKP serta pekerja swasta yang sentiasa memudahkan tugas dan tanggungjawab saya; para pegawai JPN dan PPD serta para penggerak PIBG yang sentiasa mengambil berat saya dan sekolah ini; para pemimpin pelajar yang turut serta menjayakan perkhidmatan; serta para pelajar, sesi pagi mahupun petang, asrama mahupun harian, yang sentiasa berkongsi dengan saya keazaman dan kesetiaan: terima kasih banyak-banyak kesemuanya. 

Kepada Presiden dan Rektor serta para anggota pentadbiran, pegawai dan penggerak mahasiswa UIAM, khususnya mereka yang bersama saya di kolej kediaman, pasukan debat dan pengucapan awam bahasa Arab serta sekretariat Dewan Mahasiswa: atas segala kerjasama dan perkongsian, terima kasih banyak-banyak kesemuanya.

Kepada semua guru yang pernah dan masih mengajar saya; kepada semua sahabat dekat yang telah dan masih sudi berkongsi kehidupan dengan saya (13 orang daripada mereka ada di sekolah ini dan kesemua mereka berada di sidang pagi, hanya 2 daripada mereka merupakan pelajar harian); kepada semua yang pernah berkhidmat bersama saya mahupun berkongsi sekolah dan organisasi dengan saya; kepada semua yang menjadikan kehidupan saya lebih bermakna di pelbagai tempat dan ketika: terima kasih banyak-banyak kesemuanya.

Akhir kalam, terima kasih, cinta, apatah lagi Allah SWT yang menciptakannya serta Nabi SAW yang mengajarkannya. Cinta ini telah membolehkan saya menjadi seorang guru kepada pelajar-pelajarnya, seorang abang kepada adik-adiknya dan seorang sahabat kepada sahabat-sahabat lainnya. Cinta ini juga telah membolehkan kita semua bersama-sama berkongsi suka dan duka, tangis dan tawa, kesusahan dan kesenangan, kegagalan dan kejayaan. 

Cinta ini juga telah membolehkan kita semua melakukan segalanya yang terbaik untuk diri kita. Cinta ini jugalah yang dahulu mempertemukan, sebentar nanti akan memisahkan, dan pada waktu lain akan mempertemukan kita semua; paling tidak membolehkan persaudaraan kita berkekalan.

It has been – and will be always – a great honour for me to be your faithful servant, active student, caring teacher, lovely comrade and loyal friend. 

God bless you. God bless SMK Sungai Pusu. God bless the Garden of Knowledge and Virtue. God bless Negaraku.

Thank you. I rest my case.

Jumaat, 3 November 2017
Surau Nur al-Falah, SMK Sungai Pusu, Gombak, Selangor

Comments