Fenomena Alam Bukti Kebesaran Allah


"Walaupun situasi bencana memberi kesan buruk kepada mangsa, sisi positifnya ia menyerlahkan kebersamaan semua pihak yang bersolidariti menghulurkan tangan membantu tanpa prejudis. Inilah masa terbaik untuk kita bersatu hati dibawah satu lambang perpaduan, menyemai sikap kasih sayang dan bermuafakat untuk kemajuan agama, bangsa dan negara."

Saudara sebangsa dan setanah air,
Mudah-mudahan dikasihi Allah SWT semuanya:

Saya menyeru diri saya dan semua, marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kehidupan ini mendapat keberkatan di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mutakhir ini, kita sering mendengar berita mengenai pelbagai bencana dan kerosakan alam sekitar yang berlaku di seluruh dunia termasuk di Malaysia. Dalam minggu ini sahaja, kita dikejutkan dengan banjir yang menimpa negeri Pulau Pinang dan beberapa negeri lain. Mulai dari hujan lebat dan angin kuat, ia kemudiannya menyebabkan berlakunya banjir dan tanah runtuh hingga mengorbankan nyawa dan merosakkan harta benda.

Jika dilihat dari perspektif sains, bencana alam sebegini adalah suatu fenomena alam yang terjadi akibat ketidakseimbangan ekosistem yang ada di bumi ini sama ada disebabkan oleh perubahan alam secara semulajadi atau pun disebabkan oleh kecuaian manusia sendiri. Akibatnya, bencana yang semakin besar terjadi sehingga menjejaskan kehidupan manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Sebaliknya, jika dilihat dalam perspektif Islam, bencana tersebut merupakan suatu peringatan daripada Allah SWT. Justeru, kita meyakini bahawa musibah ini adalah suatu ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT yang wajib kita imani dan bertawakal kepada-Nya. Firman Allah dalam Surah at-Taubah, ayat 51:

“Katakanlah: Tidak sekali-kali akan menimpa Kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman bertawakal.”

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Bencana alam merupakan fitrah alam yang tidak dapat di halang oleh manusia. Peristiwa Tsunami yang melanda Aceh dan Sumatera Utara, Indonesia (2004) dan Jepun (2011), misalnya, telah menggemparkan dunia. Negara kita, ketika Tsunami 2004, turut terkena tempiasnya. Jangan kita lupa, di mana pun letaknya tanah air kita, macamana selamat pun kita daripada bencana yang lebih dahsyat, kita tidak terlepas daripada bencana besar. Cukuplah tragedi runtuhan Highland Towers (1993), banjir lumpur Pos Dipang (1996), banjir besar di Pantai Timur (2014) dan gempa bumi Gunung Kinabalu (2015) sebagai ingatan dan pengajaran.

Kita bukan sahaja mengalami kerosakan dan kerugian harta benda, tetapi juga kehilangan nyawa yang cukup berharga kepada negara. Lebih memilukan, masih ada di kalangan mangsa tragedi berkenaan mengalami trauma dari peristiwa tersebut. Sebagai masyarakat yang punya nilai sifat kemanusiaan, kita turut bersimpati dan perlu sedia menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan. Persoalannya, apakah bentuk bantuan yang dapat kita hulurkan kepada mereka yang terlibat dalam bencana ini? Ya, dengan rentetan dan siri bencana yang tidak disangka, pihak kerajaan khususnya dan masyarakat umumnya perlu bertindak menggembleng sumber secara ekstensif.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Menyoroti hikmah di sebalik bencana yang menimpa, terdapat sekurang-kurangnya tiga pengajaran penting yang boleh kita ambil sebagai pedoman. PERTAMA, bencana yang berlaku adalah salah satu ujian daripada Allah SWT bagi mengetahui kualiti keimanan hamba-Nya. Melalui bencana, kita menyedari kelemahan diri kita dan mengakui kekuasaan Allah SWT. Firman Allah SWT dalam Surah al-Ankabut, ayat 2 dan 3:

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?. Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka nyata apa yang diketahui Allah tentang orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang yang berdusta.”

KEDUA, tujuan bencana adalah untuk menguji kesabaran manusia. Kesusahan dan kepayahan menghadapi bencana mampu melatih kesabaran kita untuk memperteguhkan keimanan dalam melaksanakan banyak lagi perintah dan larangan Allah SWT. Sesungguhnya, pahala kesabaran adalah bekalan yang dapat menambahkan nikmat untuk kita di syurga kelak. Firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 155-156:

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, dan kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar. Orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: Sesungguhnya kami kepunyaan Allah dan kepada-Nyalah kami kembali.”

...dan KETIGA, bencana menjadi medan ujian kasih sayang kita kepada saudara kita yang ditimpa penderitaan. Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Barang siapa yang meringankan satu kesusahan seorang mukmin, Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Barang siapa yang memudahkan urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkan untuknya di dunia dan di akhirat. Barangsiapa menutupi (aib) saudaranya sesama muslim, Allah menutupi (aib) nya di dunia dan di akhirat. Allah sentiasa menolong hamba-Nya selama hamba-Nya itu suka menolong saudaranya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Sudah terang lagi bersuluh, kasih sayang harus disuburkan secara tulus dan suci kerana ia adalah sebahagian daripada integriti moral yang menjadi petunjuk kemuliaan manusia.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Walaupun situasi bencana memberi kesan buruk kepada mangsa, sisi positifnya ia menyerlahkan kebersamaan semua pihak yang bersolidariti menghulurkan tangan membantu tanpa prejudis. Inilah masa terbaik untuk kita bersatu hati dibawah satu lambang perpaduan, menyemai sikap kasih sayang dan bermuafakat untuk kemajuan agama, bangsa dan negara.

Kepada saudara-saudara kita yang ditimpa bencana, usahlah kita bertindak seperti hilang pedoman beragama. Jauhi diri kita daripada mencela nasib, memaki hamun pada hujan dan banjir seolah-olah mempertikai perkara yang telah ditetapkan kepada kita di atas kekuasaan Allah SWT. Sebagai seorang Muslim yang beriman kepada Qada' dan Qadar, yakinlah bahawa setiap perkara yang terjadi sama ada baik atau buruk, suka atau duka, kesenangan atau kesusahan, semuanya ada hikmah yang tersembunyi, bukti kebesaran Allah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah, atas nama seluruh jemaah, saya ingin merakamkan dukacita atas tragedi banjir yang melanda Pulau Pinang dan negeri-negeri lain di utara Semenanjung Malaysia. Marilah sama-sama kita berdoa, semoga Allah SWT memberi ketabahan dan mempermudahkan segala urusan saudara kita serta memberkati setiap usaha yang dijalankan.

Pada masa yang sama, saya mengajak diri saya dan semua agar menghayati intipati khutbah sebagai pedoman di dalam kehidupan kita.

PERTAMA: Bencana adalah ujian untuk meningkatkan kualiti keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT.

KEDUA: Musibah boleh merintis jalan muhasabah dalam menghadapi sebarang kemungkinan terhadap ancaman bencana.

KETIGA: Nilai kasih sayang wajar disuburkan sepanjang masa dan zaman bagi membina masyarakat penyayang dan berakhlak mulia.

“Tidak ada kesusahan yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.” (Surah al-Hadid, ayat 22)

Jumaat, 10 November 2017.
Masjid at-Taubah, Kampung Lok Batik, Tuaran, Sabah.
Khutbah terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dengan suntingan.

Comments

  1. Terimkasih infonya nih sangat bermanfaat sekali. http://bit.ly/2wbyDdn

    ReplyDelete

Post a Comment