Cinta dan Pengertian


"Rahmat Allah untuk kita semua tidak pernah menghampakan. Cinta yang dahulu mempertemukan, meski akan memisahkan, akan mempertemukan semula di tempat dan ketika yang lain—saya sentiasa yakin itu kerana, pada hemat saya, sekolah mahupun asrama bukanlah semata-mata alasan untuk kita bersahabat mahupun bercinta, tetapi lebih daripada itu: kerana Allah."

Betapa beruntungnya saya menjadi sebahagian daripada asrama dan sekolah ini. Benar, saya bukanlah ahli Jawatankuasa Pengurusan Asrama Sekolah, jauh sekali daripada menjadi warden mahupun pembantu kalian semua. Saya di sini hanyalah seorang dagang yang datang menumpang.

Begitu pun, tiada apa yang harus saya sesali kerana di sini ada cinta—bukannya yang biasa, tetapi yang luar biasa. Sungguh dahsyatnya cinta itu sehingga membuatkan saya mengalirkan air mata, menangis teresak-esak beberapa kali di sekolah ini, di dalam komuter KTM mahupun di Kuala Pilah, kampung halaman bonda saya.

Keberadaan, kemesraan dan keakraban saya bersama sahabat-sahabat akrab – di sekolah ini, ada 13 orang kesemuanya, tidak dapat saya sebutkan nama mereka satu persatu sebab telah disebut nama mereka semua dalam Perhimpunan Sekolah, Isnin (30 Oktober) – hanyalah salah satu daripada pelbagai cerita cita dan cinta saya di sini.

Hakikatnya, banyak lagi cerita cita dan cinta yang telah sekolah dan asrama ini ciptakan, lebih-lebih lagi sepanjang kehadiran saya di sekolah ini dan asrama ini. Sebabnya sudah terang lagi bersuluh: Kita semua ada cinta. Saya sayang kalian semua walaupun kita tidak bersua mahupun bermesra pada setiap masa.

Sayang seribu kali sayang, ramai dalam kalangan kita di sini mahupun di luar sana memahami cinta setakat antara lelaki dan wanita. Saya tidak nafikan takrif tersebut kerana al-Quran turut mentakrifkan cinta sebegitu rupa, samalah juga keadaannya dengan Kamus Dewan yang memandu bahasa kebangsaan kita.

Namun begitu, al-Quran tidak mentakrifkan cinta setakat di situ sahaja; samalah jua keadaannya dengan as-Sunnah. Oleh hal yang demikian, janganlah kita mengehadkan erti cinta setakat di situ sahaja kerana masih banyak lagi cinta yang kita perlu lunaskan secara bersendiri mahupun secara bersama berpandukan Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya.

Pertama dan yang paling agung, cinta kepada Pencipta. Yang Dia ciptakan bukan sahaja kita semua dan sekalian makhluk yang lain, tetapi juga cinta itu sendiri yang membolehkan dunia kita berwarna-warni dan berseri-seri.

Kedua, cinta kepada Nabi SAW. Cinta Baginda kepada umat sangat luar biasa. Cinta Baginda tidak setakat menyampaikan risalah dakwah kepada seluruh manusia secara bersendiri, tetapi juga bersama-sama keluarga dan para sahabat Baginda bergadai harta, bergalang nyawa, demi menegakkan syiar Islam yang tercinta.

Ketiga, cinta kepada ibu bapa dan keluarga. Cinta mereka kepada kita luar biasa juga. Lebih separuh daripada kehidupan kita, kita habiskan bersama ibu bapa dan keluarga kita – yakni adik-beradik kita, datuk dan nenek kita, sanak saudara kita, suami atau isteri (jika sudah bernikah) dan anak-anak (jika sudah mempunyai zuriat).

Dalam keluargalah kita dijaga, diasuh, dibesarkan serta diberikan kasih sayang selayaknya. Dalam keluarga jugalah, setelah pernikahan, kita akan menjaga, mengasuh, membesarkan serta memberikan kasih sayang selayaknya kepada anak-anak (dan mungkin cucu-cucu) kita serta ibu bapa kita (andai dipanjangkan umur mereka).

Keempat, cinta kepada pendidik. Sebagai ibu bapa kedua kita, mereka tidak setakat menyampaikan ilmu sahaja, tetapi juga memupuk nilai-nilai murni dalam diri kita. Cinta kita kepada mereka, menyedari hakikat tersebut, bukan sahaja kerana ilmu dan budi yang mereka kongsikan dengan kita, tetapi juga kesudian mereka berkongsi kehidupan dengan kita sepanjang pengajian.

Kelima, cinta kepada sahabat dan rakan. Sebagai bahagian yang penting dalam kehidupan, mereka tidak sahaja bertemu dan bermesra dengan kita, tetapi juga berkongsi dengan kita sebahagian daripada kehidupan mereka, apatah lagi tangis dan tawa, suka dan duka, senang dan susah, ilmu dan budi.

Keenam, cinta kepada masyarakat dan tanah air. Di tanah air kita dilahirkan dan dibesarkan, dan dalam masyarakat kita diajar seni, budaya, warisan serta nilai-nilai asas ekonomi, sosial dan politik. Benar, kita sentiasa dibezakan sesama sendiri mengikut pelbagai perbezaan. Tetapi, tidak bermakna kita tidak boleh bersatu atas nama cinta kepada negara dan rakyat.

Inilah negara kita, kitalah rakyatnya. Negara kita, tanggungjawab kita—jangan kita lupa. Tanggungjawab kita kepada negara, jikalau bukan untuk berkhidmat dalam bidang yang diceburi, menuntut dan mengkaji ilmu dengan lebih mendalam tanpa sedikit pun melunturkan budi pekerti dan nilai-nilai murni.

Negara kita bertuah. Meski ada sahaja kekurangan, banyaklah kemudahan mahupun keistimewaan yang disediakan untuk kita semua, rakyatnya. Oleh hal yang demikian, janganlah ditanya apakah sumbangan negara kepada kita. Tetapi, tanyalah apakah sumbangan kita kepada negara kerana itulah lambang cinta kita kepada tanah air dan masyarakatnya.

Ketujuh, cinta kepada alam sekeliling. Hakikatnya, dunia ini bukan kita sahaja yang menduduki, tetapi juga haiwan dan tumbuhan yang sentiasa melatari setiap penjuru dunia. Mereka juga mahu dicintai seperti manusia lain. Maka, dari kitalah cinta yang seharusnya untuk tumbuhan dan haiwan.

Kelapan dan yang paling penting, cinta kepada diri sendiri, bukan sahaja dengan menjaga hak dan kewajipan terhadap diri sendiri, tetapi juga menyediakan diri sendiri dengan segala keperluan fizikal, mental dan spiritual yang seimbang dan bersesuaian. Apalah erti hidup kita jika kita gagal menjaga diri kita sekaligus gagal mencintai diri sendiri? Marilah kita berfikir seketika.

Sengaja saya tidak menerangkan cinta kepada pasangan yang berlainan jantina kerana, sebelum adanya ikatan pernikahan, orang-orang yang berkenaan sama sahaja tarafnya dengan sahabat dan rakan. Hanya setelah adanya ikatan pernikahan, orang-orang yang berkenaan ditarafkan sama dengan keluarga.

Apa pun jua yang berlaku pada pasangan tersebut sebelum pernikahan, dia tetap orang kebanyakan yang dipunyai oleh kedua orang tuanya atau wali yang terdekat. Hanya jika seorang perempuan telah bernikah, tanpa memutuskan hubungannya dengan kedua orang tuanya, dia dipunyai oleh suaminya meski dia masih punya kedua orang tua.

Saya yakin masih ada yang, sampai ke saat ini, masih mencintai pasangannya yang berlainan jantina tapi berkongsi pengajian di sekolah atau asrama ini. Saya boleh mengatakan tidak kerana banyak hubungan tersebut bersifat terlalu sementara; berapa sangatlah hubungan yang kekal dari sekolah hingga ke jinjang pelamin.

Namun, saya tidak memilih untuk mengatakan demikian kerana masih ada ruang dan peluang yang lain – yang lebih bersyariat –  untuk mencintainya tanpa menjejaskan diri sendiri dan pasangan pilihan. Pertama, berusaha bersungguh-sungguh dalam pengajian, bukan sahaja mendapat keputusan cemerlang dalam akademik, tetapi juga aktif dalam kokurikulum, bersahsiah terpuji, berketrampilan unggul dan berkarisma dalam kepimpinan.

Kedua, yakinkan diri dan warga sekitaran bahawa kita mampu untuk hidup selesa dan mencipta bahagia untuk diri dan pasangan serta keluarga pada masa depan. Untuk mencipta kemakmuran, kita bukan sahaja memerlukan pendidikan, tetapi juga kerjaya, kewangan serta kekuatan-kekuatan lain yang bersifat intelek, emosi, rohani dan jasmani.

Ketiga, mohon restu ibu bapa untuk setiap hubungan yang berlainan jantina dan istimewa. Keempat, mohon panduan daripada guru-guru yang muktabar serta alim ulama mengenai cara untuk mencipta, mengekalkan serta menambahbaik hubungan yang dicipta.

Kelima, dampingi orang-orang yang baik dan soleh. Keenam dan yang paling mustahak, janganlah bersandar pada dinding—bersandarlah pada Yang Maha Kuasa. Dialah yang sentiasa mencipta takdir walau macamana pun kita mentadbir.

Tuntasnya, cinta yang kita nampak, mutakhir ini, semakin lama, semakin sempit. Hakikatnya, cinta yang berada di sekeliling kita sangat luas untuk kita terokai secara bersendiri mahupun secara bersama.

Di mana pun kita berada, dan walau apa pun yang terjadi, mari kita terokai lagi cinta yang berbaki. Kekalkan cinta yang sedia ada tanpa sedikit pun mencemarkan diri sendiri dengan kejahatan. Jangan sudahkan cinta yang tercipta tanpa alasan yang nyata. Kalau pun ia tidak harus kekal, biarkan ia berlalu dengan masa dan bukan dengan tadbir buruk kita. Suatu hari ini, cinta itu pasti kembali dengan rasanya yang sedia ada.

Rahmat Allah untuk kita semua tidak pernah menghampakan. Cinta yang dahulu mempertemukan, meski akan memisahkan, akan mempertemukan semula di tempat dan ketika yang lain—saya sentiasa yakin itu kerana, pada hemat saya, sekolah mahupun asrama bukanlah semata-mata alasan untuk kita bersahabat mahupun bercinta, tetapi lebih daripada itu: kerana Allah.

Saya mengambil ruang dan peluang yang ada untuk berterima kasih kepada universiti saya dan sekolah ini kerana mengizinkan saya untuk mencintai sekolah dan warganya, apatah lagi untuk berkongsi kehidupan dengan warga asrama. Saya khususkan ucapan terima kasih saya kepada semua ahli Jawatankuasa Pengurusan Asrama Sekolah, Ketua dan semua Pengawas Asrama, serta Ketua dan semua Anggota BADAR atas apa jua yang dikongsikan dengan saya selama ini.

Saya mengerti, tidak semua senang dengan kehadiran saya di asrama. Ramai dalam kalangan kita mahu nikmati lebih banyak lagi kebebasan. Pun begitu, hadirnya saya di sini tanpa apa-apa kepentingan; hanya sekadar berkongsi suka dan duka, tangis dan tawa, susah dan senang dengan semua penghuninya.

Mohon maaf yang setulus-tulusnya kepada semua kerana sentiasa sahaja menyusahkan, juga atas segala kesalahan dan kesilapan saya kepada kalian semua sepanjang kehadiran saya di asrama ini. Saya cuba untuk memperbaiki diri saya pada masa yang akan datang.

Sambil saya berharap agar saya dapat kembali lagi ke sini pada waktu lain yang terdekat, sambil itu jugalah saya menjemput semua untuk berdoa untuk seisi sekolah dan asrama ini dan ibu bapa serta penjaga masing-masing, terutamanya untuk Muhammad Yusuf bin Abd. Rahman dan 12 orang lagi murid yang selama ini mensahabati diri ini, semoga Allah merestui kita semua dengan rahmat, keampunan dan kasih sayang-Nya.

Terima kasih, semua. Terima kasih, cinta. 

Program Akhir Tahun Asrama SEBESTARI 2017
Khamis, 2 November 2017
Dewan Makan Asrama, SMK Sungai Pusu, Gombak, Selangor

Comments