Memperingati Iltizam untuk Mencapai Kecemerlangan


"Cabaran dan dugaan, mari kita tangkis dengan kesabaran dan ketabahan. Cita dan cinta, mari kita tunaikan dengan kesungguhan dan ketekalan."

Yang Berusaha Puan Penolong Kanan Petang, guru-guru yang saya muliakan, murid-murid sidang petang yang saya banggakan: Setiap permulaan ada pengakhiran. Seolah-olah baru bulan sudah saya bersama guru-guru dan murid-murid sidang petang sekolah ini buat pertama kali. Rupanya, saya sudah hampir ke hujung.

Seperti yang semua tahu, saya akan pulang ke tanah air pada petang Jumaat (3 November), petang yang sama (Cik) Nurul Najihah akan menamatkan tugasnya di sini. Malangnya, saya akan beredar terlebih dahulu; petang Khamis (2 November) merupakan petang terakhir saya bersama guru-guru dan murid-murid sidang petang sekolah ini.

Sedangkan yang sudah berkhidmat lama tidak akan dapat bersama lama-lama, apatah lagi mereka yang belum pun – dan mungkin tidak – diberi peluang untuk menjadi guru sama ada di tempat baru mahupun di tempat lama.

Hakikatnya, tiada siapa yang tahu apa yang akan berlaku pada esok hari. Sebaik mana pun kita merancang, esok hari tetap menjadi rahsia Tuhan yang sesungguhnya Sebaik-baik Perancang – dan cukuplah Dia bagi kita Sebaik-baik Perancang.

Saya boleh menjadi apa pun, selepas ini, jikalau tidak lagi menjadi seorang guru—sebabnya saya tidak dilatih mahupun diajar semata-mata untuk menjadi guru. Keberadaan saya di mana-mana pun, selama ini, mengajar saya untuk menjadi segala-galanya, bersedia dengan segala kemungkinan dan memberikan yang terbaik untuk semua—dan saya berharap agar saya sudah melaksanakan itu semua walaupun ada sahaja yang menghalang saya daripada melakukannya.

Apa pun halangan yang menimpa kita semua, kita jangan putus asa. “Tidak boleh takut, tidak boleh kalah,” kata Joko Widodo, Presiden Indonesia. Berbekalkan iltizam yang padu dan semangat yang jitu, kita mesti maju ke depan. Cabaran dan dugaan, mari kita tangkis dengan kesabaran dan ketabahan. Cita dan cinta, mari kita tunaikan dengan kesungguhan dan ketekalan.

Kerana inilah sekolah kita. Sekolah ini milik kita semua. Sekolah kita, tanggungjawab kita. Kitalah yang bertanggungjawab memastikan kejayaan berterusan buat diri kita dan sekolah kita, di pelbagai tempat dan ketika.

Di mana pun kita berada, dan walau apa pun yang berlaku, identiti kita dan jenama sekolah kita mesti kita kekalkan dan pertahankan. Tiada istilah rehat mahupun berhenti bagi ketekunan dan ketaatan yang sentiasa kita semat dalam jiwa, apatah lagi ketaqwaan yang sentiasa menunjangi kejayaan kita di sini dan di sana.

Siapa pun kita, di mana pun kita berada dan apa pun yang berlaku, selagi hayat dikandung badan, marilah kita terus jadikan “Tekun, Taat dan Taqwa” sebagai landasan kejayaan kita semua; terbilang di dunia, sejahtera di akhirat sana.

Walaupun selepas ini, saya tidak lagi menjadi warga sekolah ini, saya berharap agar, dengan komitmen dan kerjasama semua pihak yang berkepentingan, serta cita dan cinta yang selama ini disemai dalam diri kita semua, harapan dan cita-cita sekolah ini akan tercapai.

Walaupun masih ada waktu untuk saya bersama guru-guru dan murid-murid sidang petang, saya ambil ruang dan peluang yang ada untuk memohon berbanyak kemaafan daripada semua atas kesalahan, kesilapan, kekurangan dan kelemahan yang saya punyai selama ini.

Pada masa yang sama, harus saya beritahu bahawa betapa bersyukurnya saya kepada Allah SWT dan betapa beruntungnya saya menjadi warga sekolah ini. Di SBP, akademik sentiasa diutamakan. Di SMKA mahupun SABK, sahsiah dan kerohanian sentiasa diutamakan. Di KV dan SMT pula, kemahiran sentiasa diutamakan.

Di sekolah ini, kita boleh menjadi apa-apa pun, asalkan pilihan kita terbaik dan diterima oleh keluarga dan masyarakat, negara dan rakyat, agama dan umat. Teruskanlah usaha merangkul keunggulan, jangan berhenti separuh jalan dan janganlah lupa kuasa doa yang sentiasa menjadi jambatan antara kita dan Tuhan. Sesungguhnya Tuhan sentiasa mendengar segala isi hati kita.

Terima kasih banyak-banyak kepada semua atas apa pun jua jasa dan budi yang dikongsikan dengan saya secara peribadi mahupun profesional, terutamanya kepada Penolong Kanan Petang yang sentiasa memberi ruang dan peluang yang luas untuk saya meneruskan tugas saya di sidang petang.

Kepada para pentadbir, guru, anggota kakitangan pelaksana serta pekerja swasta yang sentiasa memudahkan tugas dan tanggungjawab saya; para pengawas yang turut serta menjayakan perkhidmatan; serta para pelajar, sesi pagi mahupun petang, asrama mahupun harian, yang sentiasa berkongsi dengan saya keazaman dan kesetiaan: terima kasih banyak-banyak kesemuanya.

Akhir kalam, terima kasih Allah kerana menciptakan cinta, juga kepada Nabi SAW yang mengajarkannya. Cinta ini telah membolehkan saya menjadi seorang guru kepada pelajar-pelajarnya, seorang abang kepada adik-adiknya dan seorang sahabat kepada sahabat-sahabat lainnya. Cinta ini juga telah membolehkan kita semua bersama-sama berkongsi suka dan duka, tangis dan tawa, kesusahan dan kesenangan, kegagalan dan kejayaan. Cinta ini juga telah membolehkan kita semua melakukan segalanya yang terbaik untuk diri kita.

May God bless you, SMK Sungai Pusu and the Garden of Knowledge and Virtue.

Perhimpunan Rasmi Sidang Petang, SMK Sungai Pusu
Isnin, 30 Oktober 2017
Dewan Mutiara Bestari, SMK Sungai Pusu, Gombak, Selangor

Comments

  1. Tahniah Muiz & t.kasih kerana telah berada di SMK Sg Pusu. Muiz telah menjadi insan contoh yang terbaik utk melaksanakan tanggungjawab sebagai pendidik. Moga Muiz mendapat sekelumit pengetahuan & pengalaman di sini untuk dijadikan sedikit bekalan dan panduan dalam menjalankan amanah sebagai hamba Allah di atas muka bumi ini. Teruskan perjuangan mendidik anak bangsa dan tabahlah dengan segala cabaran yang dikurniakan oleh Allah kepada kita kerana itu adalah nikmah & guru untuk kita melangkah ke hadapan.Jazakallahu kathiran. (Mohd Amin Abd Rahman)

    ReplyDelete

Post a Comment