Setelah Tidak Lagi Dipertuakan


Pada suatu malam, sebelum saya pulang ke tanah air, Afiq Haikal datang menjenguk saya di bilik, di kolej kediaman. Menariknya, kedatangan beliau ke mari membawa bersama kenangan yang kami cipta ketika sama-sama menganggotai kepimpinan Mahallah (Kolej Kediaman) as-Siddiq pada tahun sudah dan tahun sebelumnya.

Diringkaskan cerita, saya beritahu beliau, “Hari-hari kita dahulu indah.” Kehadiran Afiq Haikal dalam barisan kepimpinan kolej mahupun dalam hidup saya menambahkan lagi erti keindahan hari-hari tersebut. Sampai ke saat ini, saya amat berterima kasih kepada beliau, bukan sahaja kerana kejayaan Pentadbiran Muizz di Kolej as-Siddiq, UIAM selama 2 tahun berakhir 1 Februari 2017, tetapi juga kerana segalanya yang beliau kongsikan dengan diri ini selama ini.

Begitu jugalah terima kasih saya kepada para penasihat, Naib Presiden, Setiausaha kepada Presiden, ahli dan penjawat Pentadbiran Muizz. Bukan sahaja kerana terciptanya kejayaan-kejayaan baru untuk Kolej dan Universiti dalam pelbagai bidang kebitaraan dan di pelbagai peringkat, tetapi juga kerana kehadiran mereka yang menjadikan kehidupan saya secara peribadi mahupun secara profesional lebih bererti.

Sejujurnya saya ingin katakan, hari-hari Pentadbiran Muizz yang berlalu amatlah mencabar. Bermulanya Pentadbiran Muizz tanpa apa-apa dan sentiasa mengharapkan kesempurnaan. Begitu pun, Allah Maha Sempurna; hamba-hamba-Nya yang sentiasa memohon agar segalanya dimudahkan dan disempurnakan. Kudrat dan iradat yang dikurniakan kepada saya dan ahli-ahli pasukan digunakan untuk memberikan yang terbaik kepada diri sendiri, Kolej dan Universiti.

Alhamdulillah. Pada hari-hari terakhir saya sebagai Presiden Kolej, barulah saya sedar betapa banyaknya kejayaan yang dilakar oleh saya dan pasukan saya. Berkat tunjuk ajar para penasihat, serta sokongan dan dukungan para ahli dan penjawat Pentadbiran Muizz serta seluruh masyarakat Universiti, Kolej berjaya mencatatkan kecemerlangan dalam lima bidang keberhasilan utama.

Pertama, bidang pembangunan Islam. Sejurus Pengetua Kolej saya dipilih memimpin program Usrah Mahallah (Usrah Kolej Kediaman) peringkat Universiti, saya dan ahli-ahli pasukan yang terlibat terus membincangkan dan mencadangkan pembaharuan kepada Usrah Mahallah. Hasilnya, Deklarasi Usrah Mahallah dikeluarkan pada 25 September 2016 dan disahkan oleh Pentadbiran Universiti pada 6 Februari 2017. Terdahulu, empat buah badan Usrah Mahallah di peringkat Universiti mahupun kolej-kolej kediaman diperkenalkan sebagai mengukuhkan kerangka Usrah Mahallah yang sedia ada.

Penubuhan badan-badan tersebut membolehkan banyak lagi pembaharuan dibawa, bukan sahaja dengan membawa masuk Masjid Universiti dan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti (MPP) ke dalam Majlis Nuqaba’ Usrah Mahallah, tetapi juga penganjuran dua kali Iftar Perdana, Usrah Perdana dan Solat Hajat Perdana, masing-masing pada 15 Disember 2016 dan 11 Mei 2017, hasil kerjasama semua Kolej Kediaman, Masjid Universiti dan MPP.

Kedua, bidang diplomasi dan hubungan luar. Saya kagum dengan usaha kolej-kolej kediaman menganjurkan program pertukaran antarabangsa ke negara-negara ASEAN termasuk Thailand dan Indonesia. Tidak setakat bertukar pandangan dan saranan mengenai pendidikan dan kemanusiaan, tetapi juga persefahaman antara negara dan Semangat ASEAN.

Walaupun begitu, Kolej saya tidak sama dengan kolej-kolej kediaman yang lain sepanjang Pentadbiran Muizz berlangsung. Kami tidak menjadi tetamu di luar negara, bahkan kami yang menerima tetamu dari luar negara. Tahun lepas, Kolej as-Siddiq mengalu-alukan serta menerima tetamu kehormat dari Bangladesh dan Tanzania, bukan sahaja untuk mengekalkan hubungan sosial dan diplomatik antara Malaysia dan negara-negara berkenaan, tetapi juga untuk memperkenalkan Kolej dan Universiti kepada tetamu-tetamu berkenaan.

Tidak dilupakan, dalam bidang ini, adalah kejayaan Kolej saya dan Kolej Ruqayyah mewakili UIAM Kampus Gombak dalam memulakan semula hubungan diplomatik dengan UIAM Kampus Kuantan, khususnya tiga buah kolej kediaman yang terletak di situ, kesemuanya baru mula beroperasi ketika kunjungan diadakan pada April 2015.

Ketiga, bidang hubungan masyarakat. Kolej as-Siddiq, sebagai ejen pengekalan hubungan Universiti dengan masyarakat sekitar, telah berjaya mengadakan sekurang-kurangnya empat buah program khidmat masyarakat dengan kerjasama pelbagai pihak dalam dan luar Universiti. Bermula dengan lawatan muhibah ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan, Pahang pada April 2015, sehinggalah ke Larian Amal CARING untuk Anak Yatim di Kepong, Kuala Lumpur pada 15 Oktober 2016.

Diringkaskan cerita, empat buah program khidmat masyarakat yang diadakan sepanjang dua tahun Pentadbiran Muizz membuktikan kepedulian Kolej as-Siddiq terhadap tiga isu utama: kesihatan masyarakat, pendidikan dan pemeliharaan alam sekitar.

Keempat, bidang politik. Sifat Kolej as-Siddiq yang bebas dan berkecuali tidak menghalang Pentadbiran Muizz untuk membantu Universiti menyediakan ruang politik dan perundingan yang lebih luas kepada sekalian warga Universiti. Tahun sudah, Pentadbiran Muizz terlibat dalam membantu MPP menjayakan penubuhan Perhimpunan Pemimpin-pemimpin Mahasiswa Universiti (ISLA) secara rasminya pada 3 April 2016.

Cerita tersebut tidak habis di situ. Kerangka yang diwujudkan dalam ISLA digunakan semula dalam Majlis Nuqaba’ Usrah Mahallah yang diperkenankan penubuhannya secara pentadbiran pada 31 Oktober 2016 hasil kewujudan Deklarasi Usrah Mahallah. Tujuannya bukan sahaja untuk mengetahui perkembangan Usrah Mahallah di kolej kediaman masing-masing, tetapi juga untuk memberi peluang wakil kolej-kolej kediaman untuk menyampaikan fikiran dan saranan mengenai keadaan semasa yang berlaku di sekeliling.

Kelima, dan yang terpenting sekali, bidang kepimpinan dan pengurusan. Walaupun banyak cabaran yang dihadapi oleh Kolej sepanjang Pentadbiran Muizz, dan walaupun masih ada masalah di Kolej yang lewat mahupun tidak dapat diselesaikan oleh pihak-pihak berkepentingan, Pentadbiran Muizz tetap memberikan yang terbaik kepada Kolej dan Universiti.

Pada 1 Februari 2016, hasil usaha Pentadbiran Muizz membuat pembaharuan dalam pentadbiran Kolej, Mesyuarat Eksekutif Kolej dinaiktaraf menjadi Lembaga Kolej, bukan sahaja untuk memformalkan kepimpinan tertinggi Kolej, tetapi juga untuk membolehkan banyak isu yang melanda Kolej dan berkait dengan warga Kolej diselesaikan secara bersama dan dalam semangat setiakawan.

Ringkasnya, kejayaan dua tahun Pentadbiran Muizz bukanlah terletak pada Muizz sebagai Presiden Kolej, tetapi pada semangat, komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh para ahli, penasihat dan penjawat Pentadbiran Muizz yang selama ini bekerja menjayakan hasrat Kolej dan Universiti. Sebahagian daripada kejayaan utama yang direkodkan, seperti Larian Amal CARING dan Program Mencapai Puncak di Kuala Nerang, Kedah pada Januari 2016, datangnya daripada pasukan saya.

Atas sebab-sebab itulah, tanpa perlu menjadi Kolej yang terbaik di Universiti mahupun di peringkat kebangsaan, Kolej as-Siddiq dan warganya diberi pengiktirafan yang sewajarnya oleh pelbagai pihak sepanjang tahun lepas dan tahun sebelumnya. Malah, Kolej as-Siddiq turut sudi menginstitusikan Anugerah as-Siddiq pada Disember 2015 untuk menghargai mahasiswa-mahasiswa Universiti yang telah menyumbangkan jasa dan bakti kepada Kolej dan Universiti di pelbagai lapangan.

Itu pun, masih ada ahli pasukan saya yang bertanya kepada saya, “Ada ke tidak Mahallah lain yang melakukan perkara yang sama seperti kita?” Jawapan saya mudah, “Kalau ada sekalipun, mesti tidak sama dengan apa-apa yang kita perkenalkan kepada yang lain.” Bukanlah kerana kami ingin menyaingi yang lain dalam Universiti sendiri, tetapi kerana saya dan pasukan saya sentiasa percaya kepada pembaharuan yang memberi impak kepada diri kami dan orang-orang sekeliling.

Oleh hal yang demikian, saya tidak jemu untuk memberitahu Afiq Haikal dan Ammar Daniali, begitu juga rakan-rakan sepasukan yang lain, “Hari-hari kita dahulu indah. Tiada lagi apa-apa yang kita telah lakukan dahulu, dilakukan pada hari ini.” Dalam erti kata yang lain, semua hari tersebut kini tinggal nostalgia dan pengajaran kepada saya dan yang lain, bahawa untuk membangunkan sebuah kawasan, apa pun saiznya, berserta warganya bukanlah mudah. Iltizam yang padu, semangat yang jitu, dan doa yang berterusan membolehkan segalanya mungkin.

Yang lebih penting, selain daripada itu semua, adalah hubungan yang terjalin sejak kali pertama bertemu mereka semua, lebih-lebih lagi orang-orang dekat, yang sebahagian besarnya tidak berkongsi Kolej dengan saya. Walaupun mereka fikir mereka tidak menyumbang apa-apa kepada Kolej, mereka selama ini menyokong saya dari belakang, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.

Walaupun saya gembira untuk meninggalkan kerusi Presiden Kolej pada 1 Februari 2017, seperkara yang amat membimbangkan dan menyedihkan saya adalah hilangnya hubungan yang terbina bersama-sama kerusi tersebut, seolah-olah saya hanya bersahabat kerana duduk di kerusi tersebut. Pesanan yang dikongsi Perdana Menteri pada awal Ramadhan tahun ini, amat mudah untuk dihayati, “Walau apa pun yang berlaku, yang kekal adalah persahabatan dan bukannya jawatan atau kedudukan.”

Mengingati pesanan ini, saya ingin memberi jaminan kepada orang-orang dekat, lebih-lebih lagi yang masih berkongsi Kolej dengan saya, walau apa pun yang berlaku kepada diri ini, hubungan yang dibina selama ini tidak akan berlalu begitu sahaja. Sambil itu, saya betul-betul berharap bahawa semua itu belum berlalu begitu sahaja.

Hadir mereka dalam kehidupan saya bukanlah kerana jawatan mahupun kedudukan, tetapi kerana kesudian dan kesetiaan yang masing-masing terjemahkan oleh ketulusan hati dan budi. Itu yang membuatkan saya masih mahu berterima kasih kepada mereka dan mahu bersama mereka pada masa-masa yang berikutnya. Walaupun zaman pasca kepresidenan lebih mencabar kerana banyaklah cabaran di hadapan, zaman tersebut lebih menenangkan dan menggembirakan dengan kewujudan mereka di sisi secara berkala.

Zaman saya sudah berlalu, tanggungjawab juga sudah berbeza, domain kehidupan juga sudah tidak sama. Mudah-mudahan Allah tidak biarkan diri ini bersendirian dan dalam keadaan lemah, malas, sedih dan kecewa. Cukuplah Dia sebaik-baik tempat bersandar dan berserah, dan cukuplah Dia sebaik-baik pemberi.

Saat mereka semua berlalu kerana cita dan cinta masing-masing, apakah lagi yang tinggal untuk saya selain nostalgia dan doa?

Comments