Cerita Kad Raya


Cerita saya dan Kad Raya bermula sejak zaman sekolah rendah. Ketika itu, emak ayah saya amat menggalakkan saya menghantar Kad Raya kepada sanak saudara, guru-guru sekolah serta rakan-rakan satu sekolah yang mengirim Kad Raya kepada saya terlebuh dahulu. Kad Raya, pada masa itu, bukan setakat lambang ucapan terima kasih, tetapi juga penghormatan kepada mereka yang mencorakkan kehidupan kita.

Kini, zaman semakin canggih. Dahulu, orang kita memilih menghantar Kad Raya kerana kos yang murah, nilai sosial yang tinggi serta ICT yang masih terhad dan rendah. Sekarang, orang kita lebih gemar mengirim ucapan perayaan melalui ruang sembang semasa dan media sosial kerana kos yang lebih rendah, nilai sosial yang sudah berubah serta ICT yang semakin hari, semakin maju. 

Begitu pun, saya tidak terhalang daripada meneruskan tradisi menghantar Kad Raya pada setiap bulan Ramadhan. Hanya sasaran penerima sahaja yang berbeza. Bukan sahaja sahabat-sahabat rapat yang menerima, bahkan juga Yang di-Pertuan Agong, Yang di-Pertua Negeri Sabah serta Raja-raja yang lain. 

Yang lebih membuatkan saya rasa bertuah dan lebih bersyukur adalah apabila Yang di-Pertuan Agong, Yang di-Pertua Negeri serta Raja-raja yang lain, terutamanya Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, berkenan mengutus Kad Raya kepada saya sebagai balasan. Hal ini bukan sahaja membuktikan kasih sayang pemerintah kepada rakyat jelata, tetapi juga meningkatkan kasih sayang dan taat setia rakyat jelata kepada negara, negeri dan pemerintah. 

Hal yang sama pernah (bahkan masih) saya harapkan daripada mereka yang menerima Kad Raya daripada saya. Malangnya, siapa sahajalah yang sudi untuk menyertai mahupun meneruskan tradisi kirim-mengirim mahupun balas-membalas Kad Raya ini? Kalau pun tidak sudi mengucapkan penghargaan, sekurang-kurangnya penerima Kad Raya memberitahu pengirimnya bahawa Kad Raya sudah selamat sampai di tangannya.

Hal ini demikian bukanlah kerana mengharapkan balasan atas Kad Raya yang dikirim, tetapi kerana nilai persaudaraan dan persahabatan yang datang pada Kad Raya yang dikirim mahupun dibalas. Jika keadaan berlaku sebaliknya, apa yang tinggal untuk setelah tiada Kad Raya diterima? 

Comments