Al-Quran Sumber Perpaduan Ummah


"Dengan satu bahasa, al-Quran mampu dibaca dan dihayati isi kandungannya oleh seluruh umat Islam yang berbeza negara, bangsa, bahasa dan budaya. Bahkan al-Quran menjadi penawar buat kehidupan umat Islam yang inginkan rahmat di dunia dan akhirat."

Saudara sebangsa dan setanah air,

Mengawali khutbah, saya berpesan kepada diri saya dan semua yang hadir, marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita sentiasa dilimpahkan rahmat, keampunan serta keredhaan Allah SWT di dunia dan di akhirat.
Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

17 Ramadhan sentiasa bersejarah bagi kita semua. 17 Ramadhan merupakan detik yang disepakati oleh sebahagian besar ulama sebagai tarikh turunnya wahyu pertama kepada Nabi Muhammad SAW yang bermunajat kepada Allah SWT di Gua Hira’, di bumi Makkah al-Mukarramah. Penurunan wahyu ini adalah dalil pengiktirafan Baginda SAW sebagai seorang Rasul yang akan memimpin manusia ke arah hidayah Islam yang menerangi seluruh pelusuk alam.

Penurunan ayat-ayat al-Quran secara berperingkat bermula pada malam tersebut dikenali sebagai Nuzul al-Quran, manakala proses penurunannya menurut Sheikh Mustafa Murad terbahagi kepada tiga peringkat. Peringkat pertama merupakan penurunan al-Quran secara keseluruhan dari sisi Allah SWT ke Lauh Mahfuz. Perkara ini diterangkan oleh Allah SWT dalam Surah al-Buruj, ayat 21 dan 22:

“Bahkan yang mereka dustakan itu ialah al-Quran yang mulia yang tersimpan di Lauh Mahfuz.”

Peringkat kedua pula merupakan penurunan dari Lauh Mahfuz ke Bait al-Izzah di langit dunia seperti yang diterangkan dalam Surah ad-Dukhan, ayat 3:

“Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam yang penuh keberkatan. Sesungguhnya kami sentiasa memberi peringatan dan amaran.”

Peringkat ketiga (dan yang terakhir) melibatkan penurunan dari Baitul Izzah kepada Rasulullah SAW dalam tempoh 23 tahun. Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam Surah al-Furqan, ayat 32:

“...dan orang-orang yang kafir berkata: Mengapa tidak diturunkan Al-Quran itu kepada Muhammad semuanya sekali (dengan sekaligus)? Al-Quran diturunkan dengan cara (beransur-ansur) itu kerana Kami hendak menetapkan hatimu (wahai Muhammad) dengannya, dan Kami nyatakan bacaannya kepadamu dengan teratur satu persatu.”

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Penurunan al-Quran secara berperingkat-peringkat kepada Baginda SAW membuktikan bahawa ayat-ayat al-Quran bukanlah rekaan Baginda SAW. Jauh sekali direka oleh manusia biasa yang lain yang sentiasa tidak sempurna.

Penurunan al-Quran sesungguhnya membolehkan proses tarbiah ummah yang unggul ke arah pembentukan generasi umat Islam yang kukuh. Dengan satu bahasa, al-Quran mampu dibaca dan dihayati isi kandungannya oleh seluruh umat Islam yang berbeza negara, bangsa, bahasa dan budaya. Bahkan al-Quran menjadi penawar buat kehidupan umat Islam yang inginkan rahmat di dunia dan akhirat. Firman Allah SWT dalam Surah al-Israk, ayat 82:

“...dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman; dan (sebaliknya) tiadalah al-Quran menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian.”

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Namun, suasana dunia, marcapada kini, menyaksikan umat Islam mengalami pelbagai cabaran dan konflik secara berterusan daripada anasir-anasir yang cuba meruntuhkan syiar Islam, merosakkan dan memecahbelahkan perpaduan dalam kalangan umat dan negara Islam. Sebabnya hanyalah hawa nafsu mereka yang mahukan Islam lenyap dari peta dunia.

Sangat malang sekali, ketika umat Islam diserang dari pelbagai sudut, terutamanya dari sudut pemikiran, ada dalam kalangan umat Islam sendiri yang berpaling tadah daripada ketaqwaan dengan membuat kenyataan mahupun pendirian yang keliru lagi mengelirukan. Harapkan pegar, pegar makan padi. Merekalah itu yang menghiris hati dan perasaan kita kerana rela bersekongkol dan menjadi khadam dan pelindung kepada aktiviti yang boleh menggugat akidah umat, terutamanya generasi muda.

Sidang Jumaat yang budiman,

Kita berdukacita dengan sikap segelintir orang kita, tatkala ada usaha-usaha digembleng untuk menyedarkan umat Islam tentang marabahaya yang sedang mengancam Akidah dan Syariah daripada golongan yang sesat, ada yang memperli, menyalahkan serta membuli, sehingga membungkam mulut dan mencalarkan integriti peribadi mereka. Mereka sanggup bersekongkol dengan pihak-pihak yang secara terang-terangan menentang asas, nilai serta undang-undang negara yang sudah terang lagi bersuluh mengangkat Islam sebagai agama rasmi negara.

Sebagai umat yang cintakan Nabi Muhammad SAW, usahlah kita menjadi boneka menghancurkan agama dan umat kerana mengikut nafsu yang mengatasi akal dan emosi sehingga melanggar hukum agama dan undang-undang negara. Allah SWT memerintahkan kita supaya sentiasa mendaulatkan dan menegakkan agama dengan menjaga Tauhid dan Akidah, mengangkat dan melaksanakan hukum syarak. Dengan itu, kita kekal bersatu padu di dalam menegakkan agama ini dan bukan menjadi pengkhianat kepada agama, bangsa dan negara.

Justeru, sudah tiba masanya umat Islam mempersiapkan jati diri dengan ilmu yang bersumberkan al-Quran sebagai rujukan utama. Pembacaan, penghayatan dan pengamalan segala isi kandungan al Quran dalam setiap aspek kehidupan sudah pasti menghasilkan natijah yang unggul. Dengan demikian, secara langsung tamadun umat Islam akan kembali terserlah seperti dulu.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Bersempena Nuzul al-Quran pada 17 Ramadhan, saya mengajak diri saya dan kita semua untuk sama-sama merenung kembali sejauh manakah al-Quran dapat dihayati dan diamalkan semaksimumnya. Ingatlah, kekuatan umat Islam sentiasa bergantung kepada al-Quran, sumber utama kita, yang mampu mendatangkan kebaikan kepada negara dan rakyat. Mudah-mudahan kita sentiasa diberi ruang dan peluang dalam bulan penuh barakah ini meningkatkan mutu dan nilai ibadah seharian kita dengan al-Quran.

Pada masa yang sama, saya mengajak diri saya dan semua agar menghayati hikmah Nuzul al-Quran seperti berikut:

Pertama: Penurunan al-Quran secara beransur-ansur membuktikan al-Quran merupakan wahyu daripada Allah SWT.

Kedua: Al-Quran menjadi rujukan dan penawar diri bagi umat Islam yang inginkan kejayaan mahupun kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

Ketiga: Perpaduan dan penyatuan ummah hanya mampu dibina menerusi pembacaan, penghayatan serta pengamalan segala isi kandungan al-Quran.

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar.” (Surah al-Anfal, ayat 29)

Jumaat, 9 Jun 2017.


Masjid at-Taubah, Kampung Lok Batik, Tuaran, Sabah.
Khutbah terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dengan suntingan.

Comments