Selamat Hari Guru

Selamat Hari Guru diucapkan kepada semua guru dan sesiapa pun jua yang menjadi pendidik di seluruh Malaysia. Ucapan ini tidaklah terhad kepada mereka yang masih berkhidmat sahaja. Ucapan ini kita tujukan jua kepada mereka yang sudah pun meninggalkan perkhidmatan serta mereka yang masih menyiapkan diri untuk menyertai komuniti pendidikan di medan-medan latihan.

Ucapan ini kita turut sampaikan kepada mereka yang sudah pun meninggalkan kita buat selama-lamanya. Meski ucapan ini tiada lagi ertinya buat mereka dan tidak akan sampai lagi kepada mereka, ucapan ini masih bererti buat kita yang masih diberi kehidupan di dunia; cukuplah sebagai memperingati mereka yang dulunya hidup membawa warna kepada dunia kita. Mudah-mudahan Allah SWT mencucuri rahmat ke atas mereka semua.

Kita ambil kesempatan yang ada pada 16 Mei bukan sahaja untuk berterima kasih kepada semua yang telah mendidik kita, tetapi juga untuk memperingati jasa, bakti dan pengorbanan mereka dalam menjadikan kita manusia yang berilmu, beriman, berbudi dan berbudaya. Keamanan dan kemakmuran negara yang rakyat rasai pada hari ini, tidak lain dan tidak bukan, adalah kerana kesungguhan guru memanusiakan manusia.

Begitulah jua dengan kecemerlangan negara dan rakyat dalam pelbagai bidang dan di pelbagai peringkat, yang kita semua saksikan selama ini. Tulang belakang bagi kesemua kejayaan tersebut adalah para guru yang berterusan memberikan komitmen mereka kepada pembangunan agama, bangsa dan negara dengan cara mereka sendiri.

Kejayaan negara menjadi naib johan Pertandingan Debat Bahasa Arab Universiti-universiti Dunia 2017 bagi kedua-dua kategori penutur jati dan bukan penutur jati serta kejayaan rakyatnya merangkul tiga pingat emas dalam Sukan Paralimpik 2016, sebagai contoh, bukan sahaja membuktikan kehebatan negara dan rakyat dalam bidang yang diceburi, tetapi juga menunjukkan kehebatan para guru yang selama ini berdiri bersama, di belakang, dan di sisi negara dan rakyat.

Sempena Hari Guru, mari kita teruskan sokongan padu kita kepada para pendidik. Seorang pendidik tidak akan mampu mencapai kejayaan tanpa sokongan padu kita semua. Hakikatnya, untuk menjadi seorang pendidik bukan mudah. Seorang pendidik tidak hanya bertanggungjawab kepada sekolah dan pelajar, tetapi juga bertanggungjawab kepada negara dan rakyat. Daripada mereka, sampailah kepada kita segala ilmu, hikmah dan kemahiran yang menjadikan kita insan-insan yang berguna yang akhirnya menjadi faktor kemajuan negara.

Atas sebab itulah, kita berterima kasih banyak-banyak kepada guru-guru dan semua yang bergelar pendidik di seluruh Malaysia. Sama ada berada di Pasir Gudang mahupun di Rantau Panjang, dan sama ada berada di Pitas mahupun di Kapit, kita berkongsi dua ucapan yang sama, “Selamat Hari Guru” dan “Terima Kasih, Cikgu”.

Untuk kesekian kalinya, ucapan serupa ini tidak terhad kepada para pendidik semata-mata. Kita hantarkan ucapan yang sama kepada ayahbonda dan keluarga kita. Kesibukan mereka mencari rezeki tidak sedikit pun menghalang mereka untuk mengajarkan kita mengenal dunia dan seisinya sepanjang hayat mereka dan kita semua.

Ucapan selawat dan salam kita sampaikan kepada Rasulullah SAW, kaum kerabat serta para sahabat Baginda. Datang Baginda ke tengah-tengah dunia amatlah tinggi pengertiannya. Bukan sahaja kerana cahaya yang menerangi dunia yang gelap gelita, tetapi juga dua warisan yang Baginda tinggalkan kepada seluruh manusia. Bagindalah rahmat kepada sekalian alam.

Ucapan puji dan syukur yang setulusnya, apatah lagi, kita panjatkan ke hadrat Allah SWT. Limpah kurnia-Nya membolehkan kita untuk meneruskan kehidupan di dunia sebagai hamba dan khalifah, mentadbir dunia dan seisinya berdasarkan wahyu-Nya, mencari redha-Nya berpandukan taufik dan hidayah-Nya. Segala puji bagi Allah, Tuhan Alam Semesta.

Comments