Terima Kasih, 2016


Tahun 2016 seolah-olah sama seperti tahun-tahun yang sebelumnya. Banyak kali sudah saya katakan kepada semua dalam bahasa Arab, “Setiap permulaan ada pengakhiran. Dulu, kita berada di permulaan. Sekarang, kita berada di pengakhiran.” Hakikatnya, setiap tahun yang datang dalam hidup kita pasti sahaja ada pahit manis yang berbeza.

Tahun 2016 merupakan tahun yang mencabar buat saya; saya tidak dapat nafikan. Banyak dugaan dan rintangan yang telah ditempuh sepanjang tahun ini; tidak setakat tugas dan tanggungjawab yang datang bertali arus, tetapi juga kehilangan orang-orang yang tersayang.

Tahun ini, saya kehilangan nenda sebelah ayahanda saya. Tahun ini juga, saya kehilangan seorang rakan sepengajian yang sudah sekian lama menjadi sebahagian daripada kolej saya. Berita mengenai kehilangan tidak berhenti setakat di situ.

Banyak lagi berita kehilangan yang kita telah terima sepanjang tahun 2016, khususnya mereka yang ternama di pelbagai bidang, yang diraikan menjadi tokoh-tokoh negara. Kita ambil kesempatan yang ada untuk berdoa: mudah-mudahan Allah SWT menjadikan mereka dari kalangan orang-orang yang terpilih untuk ke Syurga-Nya.

Kita yang masih diberi kehidupan harus meneruskan perjalanan hidup apa adanya. Sesusah mana pun kehidupan kita, kita harus teruskan kehidupan tersebut. Realitinya, ada lagi masyarakat dunia yang nasibnya lebih malang daripada kita semua.

Sampai ke saat ini, masyarakat Muslim Rohingya di Myanmar masih dianggap pendatang haram di bumi sendiri. Hak warga Palestin untuk bebas dan merdeka masih dinafikan. Persengketaan di Syria semakin lama, semakin meruncing, sehingga menghadirkan campur tangan pihak-pihak yang tidak berkepentingan secara berterusan.

Keganasan yang tidak diundang masih mengambil tempat di segenap pelusuk dunia. Orang kita sendiri ada yang tidak bernasib baik kerana mendapat kesan daripada bencana yang menimpa.

Kita berterima kasih kepada sesiapa pun jua yang telah menyelit pada saat-saat genting tersebut dengan segala bantuan dan sokongan yang diberikan kepada mereka yang terkesan. Sesungguhnya merekalah sebenar-benar sahabat kepada dunia. Tanpa diminta dan tanpa berkira, mereka hadir membawa sinar baru kepada mereka yang berdukacita.

Kita mohon agar mereka yang tidak bernasib baik agar terus kuat semangat untuk meneruskan kehidupan. Ingatlah, tidak semua hari kita mendung dan berhujan. Pasti ada sinar mentari yang datang menceriakan kita dan alam kita hari demi hari.

Dalam erti kata yang lain, di sebalik sesuatu, ada sesuatu. Di sebalik saat-saat kesempitan mahupun kesedihan, pasti ada sahaja saat-saat yang bermakna dan menggembirakan. Saya ingin kongsikan sepuluh saat yang terindah dan bermakna sepanjang tahun 2016.

Pertama, pelantikan saya sebagai Timbalan Speaker, Dewan Mahasiswa, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, pada 13 Februari 2016. Pelantikan tersebut bukan sahaja mencerminkan keupayaan Kolej/Mahallah as-Siddiq untuk meneruskan kejayaan Universiti dalam bidang pembangunan politik mahasiswa, tetapi juga memberi peluang yang cukup berharga kepada saya dan Kolej saya untuk berkongsi pandangan dengan pelbagai pihak mengenai resam pembangunan Universiti ini.

Kedua, persidangan Dewan itu sendiri, pada 3 April 2016. Rektor Universiti telah dengan sendirinya memperkenankan pembukaan rasmi Dewan dan sidangnya. 9 usul biasa dan 2 usul luar biasa dibentangkan, dibahaskan dan diluluskan; hampir kesemuanya menyentuh hak dan kebebasan mahasiswa Universiti menjadi sebahagian daripada masyarakat. Sementara usul-usul tersebut mendapat perkenan Pihak Berkuasa Universiti, beberapa usul sedang dilaksanakan oleh pihak-pihak yang berkepentingan di Universiti ini.

Ketiga, keberadaan saya di Sekolah Menengah Sains Sabah (SMESH) sepanjang Ramadhan dan Syawal 1437H. Saat-saat itu, meski cukup singkat, sangat bermakna. Peluang yang diberikan saya gunakan bukan sahaja untuk mengenali sekolah itu sendiri, bahkan untuk berkongsi nilai perpaduan, persahabatan dan persaudaraan yang diterapkan sesama warga sekolah.

Keempat, kehadiran saya, buat pertama kali sepanjang hayat, dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di Kota Kinabalu pada bulan Ogos yang lalu. Ketika itu, kehadiran pemerhati amatlah memberangsangkan sehingga penuhnya Galeri Awam Dewan. Ketika itu jugalah, pindaan kepada dua Ordinan diusulkan, dibahaskan secara mendalam oleh Ahli-ahli Yang Berhormat dan diluluskan.

Kelima, pengurniaan anugerah Pemimpin Kolej Kediaman Lelaki Terbaik bagi tahun 2015 – bertaraf Universiti – kepada saya pada awal bulan Mei. Anugerah tersebut tidak setakat mengiktiraf komitmen yang saya berikan kepada Universiti sepanjang tahun 2015, tetapi kejayaan Kolej saya melahirkan pemimpin-pemimpin yang berwibawa.

Keenam, kunjungan saya terhadap Rektor Universiti pada pertengahan Mac. Ketika itu, Rektor Universiti, melalui Pegawai Khasnya, memanggil saya sendiri untuk hadir ke pejabatnya untuk berkongsi cerita dengan beliau dan kru TV al-Hijrah mengenai debat dan pengucapan awam bahasa Arab (dan, secara tidak langsung, kaitannya dengan kepimpinan saya di kolej kediaman). Dato’ Sri Rektor sendiri berkenan menyaksikan saya diwawancara oleh kru.

Ketujuh, kunjungan saya, buat pertama kali sepanjang hayat, ke negeri Kelantan dan Terengganu pada awal September. Saya berada di Nilam Puri, Kota Bharu, bagi menghadiri Bengkel Debat Bahasa Arab anjuran Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, di samping berada di Kuala Terengganu untuk bertemu dengan sahabat yang saya sayangi.

Kelapan, kunjungan saya, setelah lebih kurang 8 tahun, ke Pulau Pinang, pada pertengahan September. Ruang yang ada saya gunakan bukan sahaja untuk meneroka semula Bandaraya Georgetown, tetapi juga untuk menghadiri majlis perkahwinan seorang rakan sejawat di Teluk Bahang.

Kesembilan, kunjungan semula saya ke UIAM Kampus Kuantan setelah lebih setahun. Kesempatan yang ada saya gunakan, di samping bertemu dengan sahabat-sahabat yang disayangi, untuk melawat sendiri Pusat Perubatan UIAM yang baru sahaja dibuka dan berbincang dengan sahabat rapat – yang juga rakan sejawat – mengenai masa depan hubungan antara dua kampus UIAM.

Kesepuluh – dan bukanlah yang terakhir sesungguhnya, kunjungan tetamu-tetamu dari dua buah negara sahabat, Bangladesh dan Tanzania, ke Kolej saya. Dua kunjungan yang berbeza membawa bersama dua matlamat yang berbeza: untuk berkongsi cerita mengenai keadaan negara masing-masing pada masa kini, dan untuk memperkenalkan UIAM dan Kolej ini sendiri kepada mereka.

Tidak boleh dilupakan di sini, penubuhan Majlis Nuqaba’ dan Naqibaat Usrah Mahallah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, secara formal pada 31 Oktober 2016. Majlis ini, mulai saat penubuhan, tidak setakat menyelaras aktiviti-aktiviti Usrah di semua Kolej, tetapi juga menjadi platform terkini untuk membincangkan cara terbaik bagi melaksanakan dasar Islamisasi di dalam dan di luar Universiti.

Kita harus berterima kasih kepada tahun sudah; dan saya sangat berterima kasih kepada tahun sudah. Banyak pengertian dan pengajaran yang diberikan kepada kita semua selama meniti saat-saat tersebut.

Saya juga berterima kasih kepada sesiapa pun jua yang memeriahkan dan menggembirakan hari-hari saya sepanjang tahun ini; lebih-lebih lagi mereka yang telah bersama saya sepanjang saat-saat indah tersebut. Mudah-mudahan saat-saat itu membuatkan kita lebih bermotivasi untuk terus mencipta hari-hari yang bererti pada waktu yang mendatang.

Lebih daripada itu, saya berterima kasih kepada Allah SWT kerana menghadirkan saya dengan saat-saat itu. Hidup saya tidak akan sama sekali bererti tanpa restu Allah SWT.

Malangnya, ada sahaja yang terjadi segala yang tidak seharusnya – kerana saya juga seorang insan biasa seperti yang lain; tidak dapat lari daripada kesalahan. Saya memohon berbanyak-banyak kemaafan kepada semua atas apa-apa pun jua kesalahan, kesilapan, kelemahan dan kekurangan yang saya ada sepanjang tahun 2016. Saya terus, dengan sedaya upaya saya, memperbaiki diri saya sendiri. Mudah-mudahan Allah mengampunkan kita semua.

Saya berterima kasih kepada sesiapa pun jua yang sudi memaafkan saya. Saya juga berterima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang telah hadir mewarnai kehidupan saya sepanjang tahun 2016.

Ayahbonda yang telah tidak henti-henti berkorban segala-galanya untuk diri ini. Adik-beradik dan sanak saudara yang tidak henti memberikan segalanya walaupun hanya dari kejauhan.

Para pendidik di sekolah, universiti mahupun di institusi lain yang membantu diri ini mendalami ilmu dan menghayati budi dengan segala yang ada.

Semua sahabat dan rakan di pelbagai tempat dan ketika, tidak jemu menjadi teman berkongsi, lebih-lebih lagi ‘adik-beradik’ yang sanggup menyelami hati nurani dan berkongsi nada murni dalam kehidupan.

Ammar Daniali yang sentiasa mewarnai hari-hari perkhidmatan saya. Bukhari dan abang Wan Afiq Afifi yang menjadi timbalan yang setia dan berkaliber dalam pasukan. Rakan-rakan sekerja di Kolej, Dewan serta Majlis Perwakilan Pelajar yang sentiasa memberikan yang terbaik buat Kolej dan Universiti serta Rakyat, terutamanya Tuan Speaker, abang Ahmad Hafizuddin, dan Tuan Setiausaha, Muhammad Syarifuddin.

Rakan-rakan sekumpulan sekursus di Kulliyyah Pendidikan, saudari-saudari kesemuanya, walaupun ada sahaja yang membezakan, jalan yang kita tuju tetap sama; di situlah jalan yang kelak membawa kita ke arah masa depan yang cerah.

Tuan Husni yang masih sudi bersama walaupun sudah mendapat pentauliahan diraja, menjadi pegawai tentera udara. Muhammad Nur Amir yang masih tersenyum dengan persahabatan. Aiman Arif yang tidak lekang kesungguhannya mengejar kejayaan. Mohd. Khairul Farhan, Ilham, Eldy Md. Adland dan adik-adik SMESH yang mengajarkan erti sebenar persaudaraan merentasi pelbagai jurang perbezaan.

Syed Ahmad Fawwaz yang masih sempat hadir di sebalik kesibukan. Sahabat-sahabat UIAM Kampus Kuantan yang masih sudi bersahabat walaupun di kejauhan, Muhammad Najib, Afif Afnan dan abang Muhammad Lutfi. Ramai lagi yang tidak dapat saya sebutkan secara khusus, yang sesungguhnya membawa pelangi ke dalam hidup saya walaupun seketika cuma.

Kehadiran mereka di titian hari-hari itu tidak menghampakan. Ada sahaja doa, pengajaran, pengertian, sokongan dan dorongan yang saya terima daripada mereka semua. Saya terharu untuk menerimanya. Sekali lagi, saya berterima kasih atas itu semua.

Semoga Allah kekalkan cinta dan kasih sayang kita semua walau ada sahaja yang menghalangi.

Semoga Allah jadikan 2017 yang terbaik buat kita.

Semoga Allah kekalkan rasa kehambaan kita semua.

Semoga Allah merestui kita semua dengan rahmat, keampunan dan kasih sayang-Nya.

Comments