Kembalikan Sinar Rohingya


"Sesungguhnya Islam sangat menekankan persaudaraan, bahkan Islam itu sendiri datang dengan misi penyatuan, bukannya perpecahan. Oleh itu, segala persengketaan dan perbalahan yang berlaku sesama sendiri kerana kepentingan diri, kuasa dan politik haruslah disudahkan."

Saudara sebangsa dan setanah air,
mudah-mudahan dikasihi Allah SWT hendaknya:

Izinkan saya memulakan khutbah dengan menyeru diri sendiri dan semua yang hadir: Marilah kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat yang dikasihi Allah,

Islam merupakan agama yang menyuruh kepada keamanan, mengajak kepada kebaikan, menolak kezaliman dan mencegah kemungkaran. Sejak awal lagi, Islam memerangi dan mengutuk keras tindakan kezaliman dan keganasan; apatah lagi jika sampai kepada mengorbankan jiwa yang tidak berdosa. Firman Allah SWT dalam Surah asy-Syura, ayat 41 dan 42:

“Sesungguhnya orang yang membela diri setelah ia dizalimi, maka tidak ada sebarang jalan hendak menyalahkan mereka. Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan) hanyalah terhadap orang yang melakukan kezaliman kepada manusia dan bermaharajalela di muka bumi dengan tiada sebarang alasan yang benar. Mereka itulah orang yang beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

Malangnya, masih ada lagi bangsa yang dizalimi, dianiaya dan dicabul; bukan baru semalam, tetapi sudah lama. Merekalah saudara-saudara kita, masyarakat Islam Rohingya di Myanmar.

Ketakutan yang menggunung mengakibatkan ada sahaja yang diseksa dan dibunuh, seolah-olah mereka dan bangsa mereka harus dipadamkan dari dunia. Kebencian yang menebal, pada masa yang sama, mengakibatkan kerakyatan mereka dinafikan oleh perlembagaan, sehingga dilabel oleh pertubuhan tempatan dan antarabangsa sebagai golongan pelarian dan tidak bernegara.

Semua tindakan tersebut direstui oleh pemerintah dan rakyat Myanmar; lebih malang lagi, dihalalkan oleh pemuka agama mereka sendiri. Mereka kononnya ingin memberitahu dunia bahawa itulah masyarakat Islam Rohingya yang selama ini membuat onar di bumi Myanmar.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kini, mereka menjadi liabiliti di tanah air sendiri. Apakah lagi yang tinggal untuk mereka? Akhirnya, mereka terpaksa merelakan diri, meredah hutan belantara, membelah lautan bergelora, melarikan diri ke negara-negara lain termasuklah negara kita, Malaysia.

Sayangnya, penderitaan mereka tidak berakhir di situ. Sepanjang pelarian mereka ke negara-negara asing, banyaklah ujian yang mereka hadapi, termasuk ditahan, diperas ugut dan didera sehingga mati oleh sindiket pemerdagangan manusia.

Sudah terang lagi bersuluh, keadaan tersebut menggambarkan betapa teruknya pencabulan hak asasi manusia dan penghinaan terhadap umat Islam minoriti di Myanmar. Sampai ke saat ini, mereka masih belum mendapat pembelaan yang sewajarnya walaupun mendapat perhatian pelbagai pertubuhan antarabangsa, termasuklah Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Sidang Jumaat yang dimuliakan,

Melangkah ke zaman yang penuh dengan mehnah dan tribulasi, kita perlu sentiasa ingat betapa mustahaknya untuk kita, sebagai umat Islam dan rakyat Malaysia, bersatu-padu dan bantu-membantu antara satu sama lain. Selama ini pun, kejayaan kita semua diukur dari komitmen kita terhadap perpaduan dan usaha kita untuk membantu mereka yang memerlukan di dalam mahupun di luar negara.

Alhamdulillah, kesannya kita dapat lihat pada hari ini. Di sebalik pelbagai rintangan yang ditempuhi dunia, negara kita – Malaysia – yang berbilang bangsa, agama, warna kulit dan ideologi masih menikmati keamanan dan kemakmuran. Ruang dan peluang yang ada kita gunakan untuk memperkuatkan lagi ikatan kekeluargaan dan kemasyarakatan sesama kita dan, pada masa yang sama, memberi segala yang ada kepada mereka yang memerlukan.

Kita berterima kasih kepada Kerajaan dan rakyat kita, serta sesiapa pun juga di seluruh dunia yang selama ini telah bersama kita membela dan mempertahankan nasib masyarakat Islam Rohingya di Myanmar; tidak setakat mengirimkan bantuan kemanusiaan, tetapi juga berusaha memperjuangkan dasar yang berpihak kepada bangsa Rohingya dan menimbulkan kesedaran masyarakat dunia mengenai nasib mereka yang masih tiada hala tujunya.

Sidang Jumaat yang dikasihi,

Begitulah yang Islam mahukan terhadap umatnya. Sesungguhnya Islam sangat menekankan persaudaraan, bahkan Islam itu sendiri datang dengan misi penyatuan, bukannya perpecahan. Oleh itu, segala persengketaan dan perbalahan yang berlaku sesama sendiri kerana kepentingan diri, kuasa dan politik haruslah disudahkan. Ingatlah, setiap masalah pasti ada penyelesaiannya. Panduan tersebut tersedia dalam firman Allah dalam Surah an-Nisa, ayat 59.

“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah, dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada orang-orang yang berkuasa dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah dan Rasul-Nya, jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.”

Sidang Jumaat yang dihormati,

Umat Islam yang sebenar sentiasa menginginkan kebaikan untuk diri sendiri dan orang lain. Mereka tidak akan sesekali membiarkan saudara-saudaranya terbiar, terlantar atau dizalimi oleh pihak musuh. Sebaliknya, mengambil peduli, menjaga baik-baik, membela dan menolong mereka ketika memerlukan. Jabir bin Abdullah dan Abu Talhah bin Sahl RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Tidak ada seorang yang membiarkan seorang muslim di tempat dia dihinakan kehormatannya, dan dilanggar kemuliaannya (hak-haknya), melainkan Allah pasti menghinakannya di tempat yang dia ingin mendapatkan pertolongan. Dan tidak ada seorang yang menolong seorang muslim di tempat dia dihinakan kehormatannya dan dilanggar kemuliaannya (hak-haknya) melainkan Allah pasti menolongnya di tempat yang dia ingin ditolong di dalamnya.”

(Hadis Riwayat Abu Daud)

Sebagai insan penyayang, kita pasti dapat merasakan penderitaan yang dialami oleh saudara-saudara kita. Percayalah, jika jiwa kita dipupuk dan dipenuhi dengan perasaan kasih sayang, nescaya darjat kita akan ditinggikan oleh Allah SWT. Sesungguhnya kasih sayang terhadap diri sendiri dan orang lain adalah ibadah yang menyerlahkan jati diri seorang Muslim. Justeru, dengan adanya kasih sayang, kita akan lebih bersedia untuk menghadapi ujian dengan penuh keinsafan.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Sementara kita berterima kasih atas segala usaha yang digembleng oleh pelbagai pihak di Malaysia mahupun di serata dunia dalam meringankan penderitaan yang ditanggung oleh masyarakat Islam Rohingya, sama-samalah kita mengambil segala ruang dan peluang untuk meneruskan rasa peduli dan kasih sayang kita kepada masyarakat Islam Rohingya, dan saudara-saudara seagama kita yang lain yang masih tertindas.

Sempena Mesyuarat Majlis Menteri-menteri Luar OIC mengenai Keadaan Masyarakat Islam Rohingya Minoriti di Myanmar pada 19 Januari 2017, sama-samalah kita berdiri sebagai rakyat Malaysia, terus menyeru pemimpin dan masyarakat dunia, terutamanya negara-negara OIC dan Komuniti ASEAN, untuk bersama Malaysia menghulurkan tangan, meringankan beban yang ditanggung oleh bangsa-bangsa yang tertindas, seperti bangsa Rohingya.

Pada masa yang sama, sama-samalah kita terus mengharapkan dan mengusahakan masa depan yang lebih cerah untuk mereka semua. Yakinlah, dengan perpaduan dan persaudaraan yang terjalin dalam kalangan kita, umat Islam dan rakyat Malaysia, dan dengan semangat tidak berkira yang kita kongsikan dengan saudara-saudara kita yang masih harus dibela, InsyaAllah segala penindasan akan berakhir dengan sendirinya dan pada waktunya.

Sidang Jumaat yang budiman,

Sebagai kesimpulan, saya mengajak diri saya dan semua agar menghayati intipati khutbah sebagai pedoman di dalam kehidupan kita.

PERTAMA: Umat Islam wajib mempertahankan tanah air, kuasa yang dimiliki, dan menjaga perpaduan supaya apa yang kita miliki ini tidak musnah.

KEDUA: Kerjasama erat negara-negara Islam, Komuniti ASEAN dan masyarakat dunia dapat membantu menyelamatkan etnik Rohingya daripada tertinggal dengan arus perdana.

KETIGA: Ujian yang tiba mendorong umat Islam untuk sedar dan insaf atas kecuaian melanggar syariat Allah SWT.

“Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.” (Surah al-Hadid, ayat 22 dan 23)

Jumaat, 20 Januari 2017.
Masjid at-Taubah, Kampung Lok Batik, Tuaran, Sabah.
Khutbah terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dengan suntingan.

Comments