Friday, 19 August 2016

Sepadu Usaha: Tiada Wanita Ketinggalan


Saudara-saudara sebangsa dan setanah air,

Marilah kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan, keredhaan dan perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kedudukan dan peranan wanita sering menjadi satu isu utama perbincangan sejak berdekad yang lalu. Malah, perdebatan hal-hal yang berkaitan dengan wanita semakin hangat diperkatakan seiring dengan perkembangan zaman. Begitu pun, Islam tetap mengangkat tinggi martabat wanita dengan meletakkan namanya tertulis di dalam al-Quran dan tidak mungkin terpadam selama-lamanya. Perkara ini jelas membuktikan betapa Islam sememangnya menitikberatkan kesamarataan hak, tanggungjawab dan kewajipan di antara lelaki dan wanita serta menghalang sebarang bentuk diskriminasi terhadap wanita. Firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab, ayat 35:

“Sesungguhnya para lelaki dan perempuan yang Islam, para lelaki dan perempuan yang beriman, para lelaki dan perempuan yang taat, para lelaki dan perempuan yang benar, para lelaki dan perempuan yang sabar, para lelaki dan perempuan yang merendah diri (kepada Allah), para lelaki dan perempuan yang bersedekah, para lelaki dan perempuan yang berpuasa, para lelaki dan perempuan yang memelihara kehormatannya, dan para lelaki dan perempuan yang menyebut nama Allah banyak-banyak, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar.”

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Jika difahami betul-betul, sebenarnya tidak timbul salah faham atau prejudis dalam Islam terhadap cara wanita dilayan. Sememangnya, Islam sentiasa memelihara nilai sosial, memberi kebebasan dan keselesaan yang tinggi terhadap wanita. Perkara ini dibuktikan melalui kelahiran ramai tokoh wanita Islam yang berjaya dan diberi pengiktirafan atas sumbangan besar mereka, seperti Saidatina Khadijah RA (dalam bidang keusahawanan), Saidatina Aisyah RA (dalam bidang pendidikan), Rufaidah al-Aslamiyyah (dalam bidang kejururawatan dan kesukarelaan), Nusaibah binti Kaab (dalam bidang pertahanan) dan ramai lagi.

Jelasnya, peranan wanita bukanlah sekadar menjadi ibu dan isteri, bahkan memberi impak besar kepada pembangunan masyarakat dan negara. Menyedari hakikat ini, maka amat wajar, sempena Hari Wanita Kebangsaan yang akan disambut pada 25 Ogos, Malaysia memberi pengiktirafan atas sumbangan wanita dalam kemajuan negara ini. Secara tidak langsung, perkara ini dapat menyuntik semangat wanita dalam memperkukuhkan dan meningkatkan taraf sosioekonomi diri di pelbagai sektor. Dari sini, usaha mereka menjadi agen kepada perubahan masyarakat serta pembangunan ekonomi dan sosial negara akan mencapai matlamat. Namun, persoalannya ialah apakah usaha yang perlu disepadukan oleh wanita hari ini untuk memastikan kemajuan wanita pada masa yang akan datang?

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

Sudah pasti usaha yang ketara ialah mendidik generasi muda dengan lebih sempurna. Kita sedia maklum bahawa fitrah kaum wanita yang bersifat lemah lembut dan prihatin terhadap kasih sayang anak-anak menyebabkan mereka paling sesuai dalam tugas mendidik ini. Kejayaan mereka mendidik anak pula menjamin satu kelompok masyarakat yang lebih berjaya dalam kehidupan pada masa hadapan. Hal ini dapat membantu merealisasikan hasrat Kerajaan dalam membentuk masyarakat yang progresif dan seimbang. Kesannya, usaha tersebut akan membuahkan satu generasi yang memiliki semua ramuan ciri-ciri yang diperlukan dalam kehidupan yang mencabar ini. Firman Allah SWT dalam Surah at-Taubah, ayat 71:

“Orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

Jelasnya, wanita dan lelaki sama-sama mempunyai peranan yang amat penting dan istimewa dalam meraih rahmat Allah SWT. Bahkan dalam sesetengah keadaan, peranan wanita lebih penting, malah mengatasi peranan lelaki, terutamanya dalam bidang yang didominasi oleh kaum wanita. Hal ini disebabkan wanita memiliki kesediaan, kemampuan, sifat-sifat keperibadian, kejiwaan dan perasaan yang berbeza daripada kaum lelaki.

Sidang Jumaat yang budiman,

Selain itu, wanita juga perlu berusaha untuk menyediakan diri dengan sumbangan tenaga, masa dan harta dalam memacu pembangunan negara. Pengorbanan ini membolehkan mereka lebih mengenali dan memahami setiap cabaran yang mendatang selain meningkatkan tahap kecekapan menangani permasalahan yang berlaku. Secara tidak langsung, usaha ini akan menyemai semangat kuat bekerja kepada generasi sekarang dalam memenuhi keperluan pertumbuhan ekonomi negara.

Sebagai penyempurna usaha ini, wanita juga perlu terus menimba ilmu pengetahuan sebanyak mungkin mencakupi ilmu duniawi dan ukhrawi. Hal ini demikian kerana pemerkasaan hak-hak wanita Islam itu perlu bermula dalam diri wanita itu sendiri. Muslimat seharusnya mempunyai pengetahuan dan kefahaman asas yang sempurna kerana itu semua dapat menjauhkan wanita daripada terdedah kepada pelbagai fitnah serta menjadikan diri mereka lebih mulia, berkeyakinan tinggi dan dekat kepada Allah SWT; sekaligus dapat mengelakkan mereka daripada anasir negatif yang boleh merosakkan jiwa, menjejaskan imej diri dan negara serta membantutkan kerancakan pertumbuhan ekonomi negara.

Sidang Jumaat yang saya muliakan,

25 September 2015 melakar sejarah baru buat dunia. Dalam Mesyuarat Plenari ke-4, Perhimpunan Agung ke-70, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Malaysia menyertai 192 buah negara yang lain, menerima Agenda 2030 untuk Pembangunan Mampan.

Agenda tersebut menumpukan kepada pembangunan mampan serta wawasan yang bersifat universal, bersepadu dan transformatif ke arah dunia yang lebih baik. Agenda ini telah menetapkan sebanyak 17 Matlamat Pembangunan Mampan dan 169 sasaran bagi membasmi kemiskinan dan ketidaksamaan serta menangani perubahan iklim untuk 15 tahun yang akan datang. Lebih penting, Malaysia telah memberikan komitmen yang tinggi untuk memastikan pergerakan yang pantas ke arah kemajuan wanita dan kesaksamaan gender tanpa meninggalkan seorang pun sesuai dengan tema sambutan yang dipilih oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, iaitu “Sepadu Usaha – Tiada Wanita Ketinggalan”.

Tuntasnya, kesepaduan usaha wanita dalam menggalas cabaran hari ini akan dapat membantu pembangunan negara. Kita sedar bahawa peranan wanita terhadap negara ini begitu luas dan amat diperlukan. Namun begitu, harus diingatkan di sini agar, dalam mencapai matlamat yang murni ini, sebarang pengaruh daripada kelompok feminisme yang radikal dalam sesetengah perjuangan mereka sehingga melanggar batas-batas agama hendaklah dijauhi. Mudah-mudahan segala usaha kita sentiasa mendapat rahmat dan keredhaan Allah SWT.

Sidang Jumaat yang saya muliakan,

Mengakhiri khutbah, saya ingin mengajak diri saya dan semua menghayati intipati khutbah sebagai panduan dalam kehidupan.

PERTAMA: Islam menitikberatkan kesamarataan hak, tanggungjawab dan kewajipan di antara lelaki dan wanita serta menghalang sebarang bentuk diskriminasi terhadap wanita.

KEDUA: Peranan wanita bukan sekadar menjadi ibu dan isteri, bahkan memberi impak besar kepada pembangunan masyarakat dan negara.

KETIGA: Penggemblengan usaha bersepadu sebagai pendidik, berkorban masa, tenaga dan harta serta memiliki pengetahuan yang luas akan meningkatkan lagi kemajuan wanita.

Pada masa yang sama, sempena Hari Wanita Kebangsaan yang akan disambut pada 25 Ogos, sama-samalah kita mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada para wanita atas segala pengorbanan, sokongan dan sumbangan yang diberikan kepada agama, bangsa dan negara dalam pelbagai bidang dan dalam pelbagai bentuk. Sesungguhnya sumbangan mereka amatlah bernilai. Tidak lengkap kehidupan masyarakat kita tanpa peranan dan penglibatan wanita di pelbagai lapangan. Semoga Allah SWT terus mengurniakan mereka kekuatan untuk terus mencurahkan jasa dan budi kepada masyarakat.

“Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.”


(Surah an-Nahl, ayat 97)

-----

Khutbah dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan disampaikan pada 19 Ogos 2016 di Masjid at-Taubah, Kariah Lok Batik, Tuaran, Sabah.

0 comments:

Post a Comment