Merayakan Malaysia


31 Ogos 1957 amat bersejarah bagi Malaysia dan rakyatnya. Pada hari itu, dunia menyaksikan kelahiran Persekutuan Tanah Melayu yang berdaulat dan merdeka setelah 446 tahun dijajah oleh kuasa-kuasa asing. Buat pertama kalinya, bendera negara dikibarkan dan lagu kebangsaan dinyanyikan dengan megah dan bangga. Begitu juga pada 16 September 1963, hari yang menyaksikan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak (serta Singapura, sehingga 9 Ogos 1965) bergabung dan membentuk Malaysia.

Hari ini, kita menyaksikan Malaysia yang kita kenali – sebuah negara yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen; mengandungi 13 buah negeri serta Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya); dihuni oleh lebih kurang 31.7 juta penduduk berbilang bangsa, agama dan fahaman politik; sama-sama berusaha di pelbagai lapangan demi menjadikan Malaysia sebuah negara yang berjaya.

Hakikatnya, yang bulat tak datang bergolek dan yang pipih tak datang melayang. Untuk mencipta sebuah negara Malaysia yang kita kenali pada hari ini bukanlah mudah. Cukuplah 446 tahun nenek moyang kita harungi dengan darah dan air mata. Banyak nyawa yang terkorban dan banyak jugalah harta benda yang tergadai; seolah-olah tiada apa yang tertinggal buat rakyat selama kuasa politik berada di tangan penjajah.

Kini, Malaysia berada di zaman yang penuh dengan warna-warni. Zaman kelamnya sudah lama berlalu. Seluruh rakyat Malaysia, dari Padang Besar ke Tanjung Piai, dan dari Tanjung Datu ke Tanjung Simpang Mengayau, begitu juga dengan mereka yang berada di perantauan, berkongsi kesyukuran dan kegembiraan yang sama. Kemerdekaan yang kita nikmati bersama, selama ini, membolehkan kita melakukan segala-galanya buat diri kita dan masyarakat kita.

Kita mahu mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua perwira atas pengorbanan yang mereka curahkan selama ini kepada agama, bangsa dan negara. Sesungguhnya, merekalah sebaik-baik sahabat kepada rakyat dan tanah air yang meletakkan harga tanah air lebih mahal dan bernilai berbanding harga diri mereka sendiri. Merekalah yang sanggup berkorban harta dan nyawa demi mencapai hasrat murni rakyat dan tanah air meskipun mereka telah terkorban di medan perjuangan.

Perjuangan mereka, pada zaman lalu, menjadi kunci kepada hak dan kebebasan yang kita nikmati pada zaman ini. Dimudahkan cerita, macam-macam kita boleh buat, bukan sahaja pergi ke sekolah mahupun melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi, tetapi juga bekerja di pelbagai lapangan, berniaga pelbagai barangan dan perkhidmatan, hatta memiliki keluarga dan harta. Segala nikmat yang kita kecapi kita gunakan sebaiknya untuk kelangsungan kita bersama.

Hakikatnya, kemerdekaan bukanlah lampu merah kepada segala usaha kita. Kita tetap teruskan apa adanya. Hari ini, bahkan sejak 59 tahun dahulu, kita telah melihat impak positifnya. Pelbagai kecemerlangan dalam pelbagai bidang, di peringkat serantau dan antarabangsa, telah dirangkul, disaksikan dan diraikan oleh negara dan rakyat kita di tanah air mahupun di perantauan.

Dalam bidang sukan, contohnya. Terbaru, Malaysia berjaya merangkui 4 pingat perak dan 1 pingat gangsa dalam Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil. Meski misi merangkul pingat emas pertama negara tidak menjadi realiti, rekod ini merupakan rekod yang terbaik sejak pertama kali negara menyertai sukan serupa pada tahun 1956.

Dalam bidang pentadbiran awam, Malaysia mempunyai episod kejayaannya yang tersendiri. Kejayaan Malaysia dalam melaksanakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) adalah salah satu daripadanya. NBOS bukan sahaja mampu membuka akses pembangunan sosioekonomi yang luas kepada rakyat, tetapi juga memperbaiki sistem perkhidmatan dan penyampaian dasar kerajaan.

Banyak lagi pencapaian rakyat dan negara yang kita tidak mampu sebut satu persatu. Pun begitu, kita tidak harus lupa kepada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang banyak berjasa kepada dunia. Kepada seluruh umat Islam di Malaysia dan di serata dunia, ketahuilah bahawa UIAM merupakan salah satu daripada lambang kejayaan Malaysia bukan sahaja dalam bidang pendidikan, bahkan juga dalam bidang pembangunan Islam dan hubungan antarabangsa.

Hari ini, UIAM berjaya mengangkat martabat Malaysia di pentas dunia dalam dua bidang kebitaraan: perbankan dan kewangan Islam, serta debat dan pengucapan awam. Bukan itu sahaja, malah UIAM berjaya melahirkan ramai graduan yang berkaliber dalam bidang masing-masing. Merekalah yang akhirnya kembali ke kampung halaman masing-masing, menyumbang idea dan tenaga dalam bidang yang mereka ceburi.

UIAM menjadi lebih bermakna apabila menjadi tuan rumah kepada masyarakat antarabangsa yang mewakili lebih kurang 110 buah negara di serata dunia. Mereka bukan sahaja datang ke Malaysia untuk menuntut ilmu dan pengalaman, bahkan juga untuk menyumbang kepakaran dan membuka penerokaan kepada pelbagai disiplin ilmu, serta mengeratkan hubungan sosial dan diplomatik dengan masyarakat Malaysia.

Realitinya, semua kejayaan yang diraih oleh rakyat dan negara kita, selama ini, tidak datang dari langit dengan sendirinya. Setiap siri kejayaan pasti ada penyumbangnya. Pada kesempatan ini, kita mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua warga dan tetamu Malaysia yang terlibat atas segala sumbangan yang diberikan kepada agama, bangsa dan negara. Sumbangan yang diberikan, walaupun hanya sepuluh sen, tetap kita hargai.

Pada kesempatan yang sama, kita turut mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada para anggota keselamatan dan pertahanan atas segala pengorbanan mereka kepada rakyat dan negara. Merekalah teman setia kita semua yang sanggup berkorban harta dan nyawa mengawal angkasaraya, meronda setiap lorong di bandar dan desa, meredah hutan belantara, dan membelah laut di samudera demi memastikan Malaysia kekal sejahtera.

Perjalanan Malaysia menuju kejayaan masih jauh. Perjuangan rakyatnya, meski sudah mencapai kemerdekaan, belum selesai. Kita tidak boleh berpuas hati dengan segala-galanya yang telah kita kecapi selama ini. Sekali kita leka dan lalai, kampung kita akan tergadai. Apakah lagi yang tinggal untuk kita setelah itu? Oleh hal yang demikian, jangan kita hentikan langkah kita setakat di sini. Masih banyak yang kita perlu lakukan untuk diri kita dan sekeliling, lebih-lebih lagi ketika pelbagai krisis melanda dunia. Bukan masyarakat kita sahaja yang memerlukan kita, tetapi juga masyarakat antarabangsa yang tidak menentu nasibnya.

Keperitan hidup warga Palestin, Syria, Yaman, Iraq serta anak-anak bangsa Rohingya di Myanmar tidak pernah kita lupakan. Hari-hari, mereka menyaksikan letupan bom, pertumpahan darah, runtuhan bangunan dan sekatan pergerakan tanpa alasan yang munasabah. Sebagai sahabat, kita akan terus membantu dan menyokong seboleh mungkin, bukan setakat menyumbangkan makanan, pakaian dan ubat-ubatan, malah memanjatkan doa yang tulus agar mereka dapat mengecapi apa-apa yang kita kecapi suatu masa nanti.

Sebagai pewaris tanah air, kita perlu bersiap sedia untuk menghadapi masa depan yang tidak dapat kita bayangkan pada masa kini. Jadikan peristiwa hitam yang melanda Belgium, Perancis, Arab Saudi dan Turki sebagai pengajaran, betapa kita tidak boleh terlalu selesa dengan apa-apa yang kita miliki pada masa kini. Bila-bila sahaja satu nikmat boleh ditarik balik daripada kita semua saat kita mendustakannya.

Sebagai pelajar, sama-sama kita siapkan diri dengan segala ilmu dan kemahiran yang berguna; bukan untuk mendapat semua A mahupun Gred Purata 4.00 dalam penilaian dan peperiksaan, tetapi untuk memperbaiki keadaan yang sedia ada, sekaligus mencipta masa hadapan yang lebih cerah. Manfaatkan guru-guru kita, teroka kepakaran mereka seluas-luasnya. Bantu sahabat-sahabat lain untuk berjaya bukan sahaja dalam akademik, bahkan juga kokurikulum, sahsiah dan kepimpinan.

Sebagai pekerja, kita akan teruskan bekerja; bukan untuk mendapat gred tinggi mahupun menerima anugerah dan darjah kebesaran, tetapi untuk melihat hasil berganda dan pembangunan mampan yang membolehkan kelangsungan keamanan dan kemakmuran rakyat dan negara kita. Cari inisiatif sebaik mungkin untuk memperbaiki sistem penyampaian; jikalau bukan melalui penggubalan dasar yang efektif, melalui penganjuran aktiviti berimpak tinggi.

Sebagai peniaga, kita akan teruskan perniagaan; bukanlah untuk menambah bilangan kediaman, kenderaan mahupun pasangan, tetapi untuk melihat keadilan sosial dan ekonomi terus tertegak di tanah air kita. Bangunkan barangan dan perkhidmatan buatan Malaysia, bawa jenama kita ke seluruh pelusuk dunia. Raikan pelabur sebagai teman setia. Selama mana produk kita bermanfaat, selama itu jugalah kita mendapat untungnya.

Sebagai warga Malaysia, negara kita, tanggungjawab kita. Oleh itu, sama-samalah kita jaga baik-baik negara yang kita bina. Raikan setiap warga dan pengunjung sebagai satu keluarga. Semarakkan semula kasih sayang yang selama ini menyatukan dan mempersaudarakan kita semua. Jadikan Wasatiyyah sebagai prinsip kehidupan. Hidupkan semula nilai-nilai murni yang menghiasi sosiobudaya masyarakat. Teruskan sumbangan kepada agama, bangsa dan negara. Suatu hari nanti, kita semua pasti akan ditemukan dengan kejayaan.

Untuk kesekian kalinya, kita merayakan Malaysia yang berdaulat dan merdeka. Sambil kita memanjatkan puji dan syukur yang setinggi-tingginya kepada Allah atas segala nikmat, rahmat dan redha yang Dia kurniakan, sambil itu jugalah kita berterima kasih dengan mengucapkan selawat sebanyak-banyaknya ke atas Rasulullah SAW atas segala pengorbanan dan perjuangan kepada Islam dan umatnya di seluruh dunia.

Sambil itu jugalah kita meminta kepada-Nya: semoga Allah terus merestui kita semua dengan rahmat, keampunan dan kasih sayang-Nya; dan sambil itu jugalah kita memperingati, di sini lahirnya sebuah cinta yang menyatukan kita semua “Sehati Sejiwa”. Cinta itulah yang akhirnya mengekalkan rasa taat setia kita untuk membela agama, bangsa dan negara; dan semangat juang kita untuk terus bekerja sehingga sampai pengakhirannya.

Terima kasih, Allah. Terima kasih, cinta. Terima kasih, Malaysia.

Photo courtesy of Chicago Tribune

Comments