Thursday, 4 August 2016

Apa yang Menggembirakan Saya Pada Syawal Kali Ini?


Pada waktu artikel ini diterbitkan, bulan Syawal baru sahaja berlalu. Alhamdulillah; pelbagai nikmat dan kegembiraan telah kita kecapi sepanjang bulan Syawal. Jikalau ada dalam kalangan kita yang bertanya kepada saya tentang apa-apa yang menggembirakan saya di bulan Syawal, saya ada kisah saya yang tersendiri. Mari saya kongsikan.

Pertama, sifat Hari Raya Aidilfitri dan bulan Syawal itu sendiri. Terciptanya Hari Raya Aidilfitri dan bulan Syawal agar kita kembali kepada fitrah dan bergembira setelah berjaya mengharungi sebulan Ramadhan. Hakikatnya, Hari Raya Aidilfitri hanyalah sehari. Begitu pun, hakikat ini tidak sedikit pun menghalang kita untuk meneruskan kesyukuran dan kegembiraan kita sepanjang bulan Syawal. Oleh sebab itu, “kita beraya selama sebulan”.

Kedua, sekolah lama. Setelah 5 tahun, akhirnya sahabat handai zaman persekolahan menengah saya di sekolah lama datang menziarahi saya dan keluarga. Ruang dan peluang yang ada digunakan sebaiknya untuk menjalinkan semula hubungan silaturrahim, memperingati hari-hari yang berlalu sepanjang zaman saya di sekolah menengah, dan bertanya khabar sahabat handai yang lain yang tidak bersama-sama saya pada hari itu.

Beberapa hari sebelum itu, saya disempatkan menziarahi Zainulariffin, salah seorang daripada mereka. Sahabat itu sangat bertuah. Setelah bertahun-tahun tidak bertemu, akhirnya dipertemukan jua di hadapan rumahnya sendiri. Kesempatan diambil untuk berkenalan dan bermesra dengan keluarga beliau, serta mengeratkan semula ukhuwwah yang telah sedia terjalin.


Ketiga, sekolah baru. Bukan sahaja kerana merasa bertuah dapat bertemu dengan orang-orang seperti Mohd. Khairul Farhan, Eldy Mohd. Adland, Ilham, Ahmad Adli Abdillah dan Aiman Syafeeq (sekadar menyebut beberapa nama), tetapi juga kerana merasa bertuah untuk menjadi sebahagian daripada sekolah tersebut, cukuplah untuk tempoh yang sangat singkat. Tempoh perkhidmatan singkat saya di sana membolehkan saya berkenalan dan beramah mesra bukan sahaja dengan para guru dan kakitangan sokongan, tetapi juga dengan para pelajar.

Orang kata, sebulan tidak cukup untuk menjalinkan hubungan. Saya kata, saya tidak sangka pula, dalam masa yang sangat singkat, saya mampu menjalinkan hubungan dengan sebahagian besar warga sekolah. Sebahagian daripada mereka, yang disempatkan meraikan Syawal bersama saya dan keluarga di rumah, sangat beruntung. Rupa-rupanya rumah kami sahajalah tempat mereka meraikan Syawal di daerah Tuaran.

Walaupun begitu, tidaklah bermakna Syawal mereka di sekolah tidak bermakna. Alhamdulillah; mereka tetap disempatkan beraya dalam satu majlis ramah-tamah bulan Syawal anjuran Kelab Guru sekolah. Hari itulah, warga sekolah bukan sahaja merafakkan kesyukuran dan kegembiraan, tetapi juga menyemarakkan semangat perpaduan dan persaudaraan sesama mereka sendiri.

Dipendekkan cerita, Syawal kali ini cukup menggembirakan. Warna-warni Syawal yang bersemarak membolehkan kita bangun dengan semangat yang baru untuk meneruskan kehidupan pada hari-hari yang berikutnya. Terima kasih kepada sesiapa pun jua yang telah membuatkan Syawal kali ini menggembirakan saya dan keluarga. Mudah-mudahan Allah membalasnya dengan segala ganjaran yang ada.

Kampung Dungun Timbok, Tuaran, Sabah
Khamis, 4 Ogos 2016, jam 11.46 pagi. 

0 comments:

Post a Comment