Nilai Perpaduan dalam Sambutan Aidilfitri


"Jagalah baik-baik perpaduan yang terjalin antara kita yang berbilang agama, bangsa dan fahaman politik. Selagi kita mampu pertahankan maruah agama, bangsa dan negara, selagi itulah kita akan bersatu membangunkan dan mempertahankan tanah air, dan selagi itu jugalah kita akan membela masyarakat dunia yang tidak terbela dengan kasih sayang kita."

Please click here for the full text.

Saudara sebangsa dan setanah air,
mudah-mudahan dikasihi Allah SWT hendaknya:

Mengawali ucapan saya pada hari yang bersejarah ini, marilah kita sama-sama memulakan hari kita dengan mengucapkan segala puji dan syukur kepada Allah SWT. Izin dan rahmat-Nya membolehkan kita berjaya mengharungi kesemua hari di bulan Ramadhan, sekaligus membolehkan kita meraikan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

Untuk sampai ke saat ini bukanlah mudah. Segala hari kehidupan yang kita harungi selama ini adalah dengan izin-Nya. Segala kejayaan yang kita raih selama ini adalah dengan rahmat-Nya. Segala rezeki yang kita kecapi selama ini adalah dengan kurnia-Nya jua. Segala urusan yang dipermudahkan untuk kita selama ini adalah dengan restu-Nya jua.

Saudara sebangsa dan setanah air yang saya banggakan,

Oleh yang demikian, sekali lagi saya ingatkan diri saya dan semua: Ambillah kesempatan pada hari kemenangan ini untuk sama-sama meneruskan manifestasi kesyukuran kita kepada Allah yang Maha Esa; lebih daripada sekadar mengucapkan Takbir dan Tahmid serta mengerjakan Solat Sunat Aidilfitri bersama-sama. Sesungguhnya segala pujian dan kesyukuran yang kita ungkapkan bersama-sama adalah simbol kemenangan dan bukti kebersamaan kita dengan satu akidah yang membawa serta mendukung matlamat ke arah perpaduan dan penyatuan ummah.

Pada hari yang berbahagia ini, dengan menyedari bahawa nikmat yang terbesar dalam kehidupan kita di atas muka bumi Allah ini ialah nikmat Islam dan Iman; marilah kita bersama-sama mempertingkatkan ketaqwaan kita ke hadrat Allah SWT kerana nilai taqwa sahajalah yang dapat memajukan diri kita mentaati perintah-Nya, dan pada masa yang sama ia dapat mengawal serta mengekang hawa nafsu daripada melakukan larangan-Nya. Firman Allah SWT dalam potongan ayat 197, Surah al-Baqarah:

“Apa jua kebaikan yang kamu kerjakan tetap diketahui oleh Allah; dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah taqwa; dan bertaqwalah kepada-Ku wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).”

Pada hari yang berbahagia ini juga, setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada seluruh Muslimin dan Muslimat atas kejayaan kita mengharungi dan menghidupkan bulan Ramadhan dengan segala kebaikan. Beruntunglah bagi mereka yang telah menggunakan sebaiknya peluang keemasan di sepanjang bulan Ramadhan untuk mengejar rahmat dan keampunan-Nya; dan beruntunglah bagi mereka yang disempatkan bertemu dan mengambil manfaat daripada malam Lailatul Qadar.

“Semoga Allah menerima amalan kita dan menjadikan kita dari kalangan orang-orang yang kembali (kepada fitrah) dan yang berjaya.”

Izinkan saya membuka hari lebaran kita dengan khutbah yang bertajuk “Nilai Perpaduan dalam Sambutan Aidilfitri”.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya muliakan,

Hari ini kita berhimpun berasaskan semangat perpaduan dan kesatuan yang menjadi teras utama perhimpunan ini. Semangat ini diperkasakan lagi dengan keberkatan Ramadhan yang baru sahaja meninggalkan kita; siangnya kita penuhi dengan ibadah puasa dan malamnya kita penuhi dengan ibadat Qiamullail yang kita laksanakan secara berjemaah tanpa mengenal erti status miskin atau kaya, berpangkat atau orang biasa.

Sesungguhnya apa-apa yang kita lakukan itu adalah manifestasi daripada didikan Ramadhan sebulan yang lalu yang mengeratkan hubungan kita dengan Allah dan dengan manusia – dengan ahli keluarga, jiran tetangga, sahabat handai dan masyarakat sekeliling – yang bolehlah kita sebut sebagai hablun min Allah wa hablun min annaas. Bagaimana ini boleh berlaku?

Tidak lain dan tidak bukan adalah disebabkan suasana berkat Ramadhan yang mengandungi aku janji iman yang kuat. Dengannya kita saling ingat-mengingati, memberi dan menerima, berlumba dalam membuat kebajikan, tegur-menegur dalam kekhilafan, saling lengkap-melengkapi dalam semangat persaudaraan, serta tinggi semangat kesatuan dan perpaduan. Ternyata keistimewaan Hari Raya Aidilfitri ini merentasi sempadan bangsa dan budaya yang disatukan oleh kalimah tauhid [لا إله إلا الله].

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati,

Sebagai memperkukuhkan lagi pernyataan tersebut, beberapa langkah yang menunjangi kalimah ini perlu dihayati demi memastikan nilai-nilai tersebut terus sebati di dalam diri kita. Antaranya:

PERTAMA: Kita hendaklah sentiasa bersyukur kepada Allah SWT yang telah merahmati kita sehingga berjaya menamatkan tempoh berpuasa dan mengharungi ujian dengan didikan Ramadhan serta kembali kepada fitrah; dan...

KEDUA: Kita hendaklah sentiasa berharap dan bertaubat kepada Allah SWT agar mengampunkan segala dosa-dosa dan dilimpahkan rahmat yang berpanjangan serta diberi kesempatan untuk bertemu Ramadhan yang akan datang.

Semoga dengan itu, kita dapat mengekalkan momentum keimanan dan meninggikan darjat ketaqwaan kita kepada Allah SWT.

Tuan-tuan dan puan-puan yang berbahagia,

Di samping menjayakan agenda sambutan Hari Raya Aidilfitri ini, kita juga perlu memastikan segala kehendak syarak dipatuhi. Usahlah kita terlalu leka bergembira sehingga melalaikan ibadat fardhu, meninggalkan amalan ziarah-menziarahi, membuang masa, membazir, melakukan maksiat dan sebagainya.

Ambillah peluang ini untuk melakukan aktiviti yang bermanfaat dan berkualiti bersama-sama keluarga, sanak-saudara, sahabat handai dan jiran tetangga yang jarang-jarang sekali dapat kita lakukan di luar musim perayaan sebegini. Manakala bagi mereka yang telah terlebih dahulu meninggalkan kita, ziarahilah pusara mereka, iringi doa agar mereka sentiasa dicucuri rahmat dan berada dalam rahmat serta maghfirah Allah SWT.

Hari Raya Aidilfitri bukanlah masa untuk kita kembali mencalit dosa dan noda, berbuat sesuka hati menuruti kehendak dan hawa nafsu. Sebaliknya, hari ini adalah untuk kita menterjemahkan disiplin serta didikan Ramadhan sebulan yang lalu di sepanjang kehidupan kita.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya kasihi,

Hari Raya Aidilfitri yang dikurniakan oleh Allah SWT ini merupakan salah satu keagungan bagi mengembalikan manusia kepada fitrah asalnya yang suci bersih. Antara fitrah itu adalah membekasnya sifat pemaaf dan suka memaafkan sesama sendiri. Justeru, lapangkan dada dan hulurkanlah tangan tanda saling bermaafan.

Jadikanlah Aidilfitri ini hari berkasih sayang, menyuci dosa dan meleraikan kekusutan hati. Semoga dengan tradisi bermaaf-maafan ini akan mempertautkan persaudaraan, menjalin semula keakraban dan kerukunan serta mengukuh perpaduan. Hayatilah firman Allah SWT dalam Surah al-Araaf, ayat 199:

“Terimalah kemaafan, suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah daripada orang-orang yang jahil (yang degil dengan kejahilannya).”

Tuan-tuan dan puan-puan yang budiman,

Perpaduan merupakan aset terpenting negara. Perpaduan adalah sumber kekuatan negara dalam membina jati dirinya. Perpaduan juga adalah punca kejayaan negara menjana kekuatan dan kestabilan ekonomi, sosial dan politik; sekaligus menjadi penyebab kepada keamanan dan kemakmuran negara yang berterusan.

Kita amatlah beruntung, sesungguhnya, kerana masih diberi ruang dan peluang untuk menikmati perpaduan. Kerana perpaduan, kita masih bersama walau apa-apa pun yang menimpa kita. Kerana perpaduan, kita masih mampu untuk melakukan segala yang terbaik untuk rakyat dan negara kita.

Begitu pun, kita tidak boleh terlalu berpuas hati dengan apa-apa yang kita nikmati masa kini. Zaman kita semakin mencabar. Seperti di segenap penjuru dunia yang lain, tanah air kita tidak terlepas daripada pelbagai cabaran dan dugaan daripada pelbagai sudut. Masih banyak perkara yang perlu kita lakukan bersama demi kelangsungan perpaduan kita semua.

Tanpa perpaduan, apakah mungkin keharmonian dapat dinikmati? Tanpa perpaduan, apakah lagi nilai yang tinggal untuk masyarakat dan tanah air kita? Kita tidak mahu, suatu masa nanti, kita sudah terhantuk, baru tengadah. Sesal dahulu pendapatan; sesal kemudian tiada gunanya.

Sempena hari yang mulia ini, saya ingin berpesan kepada diri saya dan semua yang hadir: Jagalah baik-baik perpaduan yang terjalin antara kita yang berbilang agama, bangsa dan fahaman politik. Selagi kita mampu pertahankan maruah agama, bangsa dan negara, selagi itulah kita akan bersatu membangunkan dan mempertahankan tanah air, dan selagi itu jugalah kita akan membela masyarakat dunia yang tidak terbela dengan kasih sayang kita.

Kita sedih mengenangkan umat Islam di beberapa buah negara yang hidup dalam pelarian, terumbang-ambing, daif, serba kekurangan, dan tidak diberikan hak untuk hidup sebagai warga negara di tanah air mereka sendiri. Pada hemat saya, mereka haruslah – bahkan wajib – dibantu lebih-lebih lagi dalam suasana Aidilfitri seperti hari ini.

Kita sangat bersyukur di atas keprihatinan Kerajaan khususnya dan masyarakat umumnya, yang tegas dan lantang menyuarakan dan memperjuangkan nasib saudara-saudara kita di pentas antarabangsa. Namun, lebih besar dan mustahak daripada itu ialah peranan, usaha-usaha dan sokongan rakyat Malaysia bagi mencapai misi kemanusiaan yang diperlukan. Justeru, melalui pertubuhan bukan kerajaan yang menyokong usaha-usaha kerajaan ini, pelbagai bentuk bantuan dapat disediakan dan disalurkan bagi membantu meredakan penderitaan. Contohnya, penghantaran pasukan sukarelawan, kutipan sumbangan kewangan, barangan keperluan asas, makanan, pakaian, selimut dan bekalan perubatan.

Pada kesempatan ini, kita ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada mereka yang tulus hatinya dan tinggi budinya atas segala sumbangan, sokongan dan dukungan yang mereka berikan kepada saudara-saudara kita di sana. Sesungguhnya merekalah sebaik-baik sahabat kepada dunia; meski tidak mengenali antara satu sama lain, mereka – tanpa diminta dan tanpa berkira – mengerah segala kudrat dan iradat, memberi apa adanya; mudah-mudahan mereka yang kekurangan mampu tersenyum gembira, paling tidak pun di pagi Aidilfitri.

Tuan-tuan dan puan-puan yang berbahagia,

Dalam kegembiraan ini, kita juga tidak melupakan golongan asnaf yang berhak menerima zakat yang terdiri daripada fakir, miskin, amil, Muallaf, Riqab (terbelenggu dan tiada kebebasan diri), Gharimin (penghutang), Fi Sabilillah dan Ibnu Sabil (musafir yang kehabisan bekalan). Dalam lapan asnaf ini hanya dua asnaf sahaja yang disyaratkan miskin, iaitu fakir dan miskin. Manakala yang lain-lain tidaklah disyaratkan miskin tetapi disebabkan keistimewaan yang tersendiri sebagaimana yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW sendiri.

Di negara ini, Kerajaan diberi tanggungjawab untuk mengurus zakat kerana menguruskan zakat bukanlah suatu amal ihsan secara peribadi atau persendirian. Ia adalah suatu institusi kemasyarakatan yang dikendalikan sendiri oleh kerajaan melalui satu organisasi pengurusan yang teratur, yang mengawal segala perkara yang berhubung kait dengan kefardhuan yang unik ini, dengan mengambil bayaran daripada golongan yang wajib mengeluarkan zakat dan mengagihkannya kepada golongan yang benar-benar berhak menerima mengikut syarak.

Oleh itu, tidak seharusnya masyarakat Islam membuat tanggapan bahawa harta zakat yang diterima oleh si fakir dan miskin itu suatu hasil mengemis dan meminta-minta. Hal ini demikian kerana dalam kefardhuan zakat yang disyariatkan oleh Islam, tiada urusan secara langsung di antara orang kaya dengan orang fakir dan miskin. Tetapi Kerajaanlah yang menjadi wakil orang fakir dan miskin bagi memungut zakat daripada orang kaya. Perkara ini telah dijelaskan oleh Allah SWT di dalam Surah at-Taubah, ayat 103:

“Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan menyucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka: dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

Perintah memungut zakat dalam ayat ini sebenarnya ditujukan kepada Rasulullah SAW kerana pada ketika itu baginda merupakan seorang ketua, pemerintah dan pentadbir empayar Islam. Namun, setelah kewafatan baginda, urusan memungut dan mengagihkan zakat itu diambil alih pula oleh pemerintah dalam kalangan sahabat, tabiin sehinggalah kepada pemerintah umat Islam hari ini.

Jelasnya, pemerintah mempunyai hak menguruskan zakat, sama ada memungut dan membahagikannya sendiri, ataupun dengan melantik pegawai-pegawai zakat. Al-Syirazi berkata: “Pihak pemerintah wajib mewujudkan Badan Amaalah (pegawai-pegawai zakat) dan menghantar mereka pergi memungut zakat daripada golongan kaya.” Maka, Kerajaan berkuasa dan bertanggungjawab memungut dan mengagihkan harta zakat melalui pegawai-pegawai yang ditugaskan memungut zakat atau lebih dikenali dengan amil zakat.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya kasihi,

Seperti yang termaktub dalam Perkara 1 dalam Senarai Kedua, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan, pengurusan zakat di negara kita sekarang ini adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri. Banyak organisasi diwujudkan oleh kerajaan bagi meningkatkan kecekapan pengurusan zakat di negara kita pada hari ini seperti Pusat-Pusat Zakat Negeri di bawah kelolaan Majlis Agama Islam Negeri. Kewujudan pusat-pusat in membuktikan bahawa Kerajaan memberi perhatian serius terhadap pengurusan zakat terutamanya golongan asnaf.

Pada masa sama, ia dapat mendorong masyarakat Islam menunaikan tanggungjawab dan menyempurnakan kewajipan berzakat selain membangun dan memajukan ekonomi asnaf-asnaf zakat melalui program-program yang berdaya maju dan mempunyai konsep kendiri. Malah mereka turut disantuni dengan beberapa skim bantuan antaranya skim bantuan kewangan bulanan, tempat tinggal, sewa rumah, perubatan, perniagaan, persekolahan, perkahwinan, dan dakwah.

Tuntasnya, pengurusan zakat di negara ini menjadi lebih baik dan telus, malah mencapai taraf profesional. Lebih-lebih lagi, apabila sistem pungutan dan pengagihan zakat dilakukan secara efektif dan bersistematik serta berkesan sesuai dengan objektif untuk menjadikan zakat sebagai salah satu cara pembasmi kemiskinan dan pemangkin perekonomian dunia Islam di Malaysia. Ini sekaligus dapat mempertingkatkan kutipan zakat dan mengagihkannya kepada golongan asnaf dari semasa ke semasa. Semoga kemakmuran yang dinikmati ini, menjadi kunci kepada kekuatan perpaduan dalam memajukan negara pada masa depan.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah,

Mengakhiri khutbah, saya ingin mengajak semua untuk menghayati intipati khutbah yang disampaikan sebagai pedoman di dalam kehidupan kita.

PERTAMA: Kesatuan akidah membawa dan mendukung matlamat ke arah perpaduan dan penyatuan ummah.

KEDUA: Adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan untuk menguruskan zakat melalui satu organisasi pengurusan yang teratur, cekap dan amanah serta profesional untuk golongan yang benar-benar berhak menerima mengikut syarak.

KETIGA: Hari raya disambut dengan penuh kesyukuran dan kemenangan atas kejayaan melawan hawa nafsu untuk beribadat sepanjang bulan Ramadhan.

“Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-Araaf, ayat 31)

Rabu, 6 Julai 2016.
Masjid at-Taubah, Kampung Lok Batik, Tuaran, Sabah.
Khutbah terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dengan suntingan.

Comments