Erti Menara Hati


Peristiwa yang berlaku pada awal tahun 2007 masih segar dalam ingatan saya. Pada waktu itu, saya mendapat surat tawaran menyertai Tingkatan 1, Sekolah Menengah Sains Sabah (SMESH). Namun, saya menolak tawaran tersebut kerana telah menjadi sebahagian daripada Sekolah Agama. Saya tidak pernah menyangka sama sekali bahawa saya diberi peluang kedua untuk bersama SMESH, 9 tahun kemudian.

Saya berterima kasih, sesungguhnya, kepada SMESH atas kesempatan kedua yang diberikan. Menjadi sebahagian daripada SMESH walaupun hanya seketika merupakan suatu penghormatan yang besar buat saya. Keberadaan saya di SMESH bukan sahaja untuk menunaikan amanah Universiti, tetapi juga untuk mengenali dan mendekati peribadi sekolah dan warganya serta menghayati budaya cemerlang yang diterapkan dalam diri setiap warga sekolah.

Ruang yang ada saya gunakan sebaik mungkin bukan sahaja untuk mencari dan mempustakakan sejarah, dasar dan halatuju sekolah, tetapi juga untuk mendekati dan mengenali sendiri warga sekolah, seterusnya menghayati nilai-nilai murni dan budaya cemerlang yang diterapkan dalam diri seluruh warga sekolah. Saya akui terdapat banyak cabaran dan rintangan yang saya hadapi selama tempoh pencarian itu. Saya bersyukur, di penghujung, kerana hasrat keberadaan saya di sekolah tercapai.

Peluang yang paling berharga saya kecapi di sekolah adalah apabila dapat turun sendiri ke lapangan secara langsung bersama warga sekolah, terutamanya dalam aktiviti-aktiviti kerohanian dan berunsurkan Islam sama ada di dalam mahupun di luar surau sekolah. Kewujudan wahana sedemikian rupa mendorong kepada kejayaan terbesar saya menjalinkan hubungan erat dengan hampir seluruh warga sekolah.

Hubungan baik yang terjalin ternyata membawa banyak kebaikan jangka pendek dan jangka panjang kepada UIAM dan SMESH. Hubungan tersebut menjadi pembakar semangat kepada kedua-dua warga untuk meneruskan kecemerlangan dalam pelbagai bidang. Hubungan tersebut juga menjadi pemudahcara kepada perkongsian pintar, selain daripada menjadi pemacu kepada semangat perpaduan dan persaudaraan yang terjalin antara warga kedua-dua nama besar dalam industri pendidikan negara.

Kata orang, sebulan tidak cukup untuk membina hubungan. Realitinya adalah sebaliknya. Begitu pun, itu hanyalah suatu usaha yang amat kecil yang mampu digembleng pada waktu yang amat singkat sesuai dengan kudrat dan iradat yang dikurniakan. “Kecil bagi kita, besar bagi rakyat,” kata Menteri Besar Terengganu. Banyak lagi yang harus dilakukan untuk mencapai kegemilangan yang diimpikan oleh seluruh warga sekolah.

Kerana akhirnya kita sedar: itulah menara hati kita. Berdirinya atas hasrat masyarakat yang mahu melihat lebih ramai lagi bijak pandai yang mampu membela nasib kita semua dan yang mampu mengekalkan keamanan dan kemakmuran tanah air kita dan dunia kita. Di situlah kita menimba ilmu dan menyemai budi; membina dan memperteguhkan jiwa dan raga; menguatkan perpaduan dan integrasi kita sebelum turun ke pelbagai lapangan. Itu semua kita teruskan dengan doa, restu dan bimbingan ayahbonda dan guru-guru kita.

Meski saya mengucapkan selamat tinggal kepada SMESH, saya tetap akan ingati: itulah menara hati kita, tempat kita menghayati erti “Teguh, Setia dan Budi”; cukuplah menjadi pedoman buat diri sendiri dan pengajaran kepada seluruh lapisan masyarakat di hari muka. Tiada erti bagi saya untuk mengucapkan selamat tinggal, tetapi hanyalah “semoga bertemu kembali”, kerana kita masih ada perjuangan yang murni; kerana yang bulat tak akan datang bergolek, dan yang pipih tak akan datang melayang. Mudah-mudahan kita mampu menjulang kegemilangan dengan cara kita sendiri, tidak lama lagi – dengan lebih bergaya lagi.

Terima kasih banyak-banyak kepada seluruh warga sekolah atas segala doa, sokongan dan dorongan yang diberikan sepanjang perkhidmatan singkat saya di sekolah itu. Mudah-mudahan diberi kesempatan lagi untuk bersama SMESH pada masa lain, kalau bukan sebagai seorang guru kepada para pelajar, tetapi sebagai seorang abang kepada adik-adik dan seorang sahabat kepada sahabat-sahabat yang lain; kerana dirimu begitu berharga.

Terima kasih, Allah. Terima kasih, cinta. Terima kasih, sekolahku.

Kampung Dungun Timbok, Tuaran, Sabah
Ahad, 31 Julai 2016, jam 1.23 pagi.

Comments