Ketaqwaan Teras Pembangunan Ummah


"Realitinya, taqwa adalah satu aset yang amat penting kepada manusia. Iman dan taqwa dapat menyucikan hati daripada dosa sehingga menjadi benteng kehidupan seseorang yang beriman dan bertaqwa daripada melakukan kemungkaran dan kemaksiatan kepada Allah SWT."

Saudara sebangsa dan setanah air, mudah-mudahan dikasihi Allah SWT hendaknya:

Mengawali ucapan pada hari ini, saya mengambil kesempatan untuk berpesan kepada diri sendiri dan semua yang hadir, marilah kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita memperolehi keberkatan dan keredhaan serta perlindungan Allah SWT di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Keimanan dan ketaqwaan merupakan nikmat Allah SWT yang amat penting dalam kehidupan kita. Ia menjadi tunjang utama dalam pembangunan sesebuah ummah. Ini bermakna ummah tidak akan bangun dengan teguh sekiranya tidak mempunyai asas iman-taqwa yang kukuh dalam mencapai pembangunan rohani dan jasmani yang jitu kepada Allah SWT.

Iman yang meresap jauh ke dalam hati dan tidak bercampur dengan perasaan syak atau ragu-ragu akan memberi pengaruh yang positif terhadap sudut pandang, tingkah laku dan pergaulan seseorang dalam hidup seharian. Ukuran keimanan golongan ini dinyatakan oleh Allah SWT dalam Surah al-Anfal ayat 2-4:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifat-Nya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang dan yang mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka. Merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan mendapat pangkat-pangkat yang tinggi di sisi Tuhan mereka dan keampunan serta limpah kurnia yang mulia (di Syurga).”

Berdasarkan ayat ini, Allah SWT meletakkan 5 perkara untuk menjelaskan keimanan seseorang. 

PERTAMA, merekalah yang gementar hatinya apabila disebut nama Allah. 

KEDUA, merekalah yang bertambah keimanannya saat-saat dibacakan ayat-ayat Allah. 

KETIGA, mereka jugalah yang senantiasa berserah diri kepada Allah. 

KEEMPAT, mereka jugalah yang mendirikan solat dan taat kepada segala perintah dan larangan Allah. 

KELIMA, mereka jugalah yang, tidak lain dan tidak bukan, apabila dikurniakan rezeki, mereka membelanjakannya ke jalan yang diredhai Allah.

Sidang Jumaat yang berbahagia,

Kelima-lima perkara itu membuktikan keunggulan orang-orang yang beriman yang dimanifestasikan oleh keindahan Islam yang sempurna dan tinggi kedudukannya. Ia akan bertindak sebagai penyelamat, pembela, pendamai dan pembangun ummah. Dengan kata lain, mereka meletakkan sepenuh kepercayaan dan keyakinan hati kepada ajaran Islam, melafaz dan menyatakan bahawa ajaran Islam adalah benar serta membuktikan kebenaran tersebut dengan mengamalkan segala ajaran Islam tanpa berbelah-bahagi.

Keimanan sebenar akan menyuntik kekuatan untuk seseorang itu beribadah dan taat kepada perintah Allah SWT, bukannya memberi tanggapan, pemikiran salah atau angan-angan kosong tanpa diikuti oleh kepercayaan dalam hati dan amal perbuatan. Jika dihayati, kita mampu menjadi ummah yang menguasai bidang ekonomi, sains, penyelidikan, perundangan, pengurusan dan pentadbiran. Ini sekaligus dapat mencorakkan budaya hidup manusia kerana semuanya itu termasuk dalam tuntutan iman yang mesti dilaksanakan. Bukankah Allah SWT telah memberitahu kita perkara ini menerusi firman-Nya dalam Surah Ali Imran ayat 110?

“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang yang fasiq.”

Sidang Jumaat yang budiman,

Seiring dengan pembangunan dunia Islam sejagat, didorong oleh satu kesedaran baru tentang kemurnian Islam dan peranan yang boleh dan patut dimainkan dalam hal ehwal negara dan peribadi, maka sebahagian daripada pelbagai usaha kerajaan adalah dengan memperkasakan institusi agama Islam termasuk pemerkasaan bidang kuasa Mahkamah Syariah. Pemerkasaan ini adalah sejajar dengan peranan yang sepatutnya wujud dalam pentadbiran dan pengurusan perundangan yang berkaitan dengan umat Islam di negara ini tanpa sedikit pun menyentuh hak dan kebebasan beragama penganut-penganut kepercayaan lain. Ini akan menambahkan lagi kualiti perkhidmatan dan meningkatkan tahap kesejahteraan masyarakat dan negara.

Mungkin pada awalnya, ada yang mempersoalkan ketelusan; tetapi dengan merenung kembali, memahami dan menghayati negara Malaysia itu sendiri dan semangatnya yang dipupuk dalam Perlembagaan Persekutuan, setiap rakyat akan mendapati dan menyedari bahawa langkah itu adalah amat wajar. Firman Allah SWT dalam Surah al-Araaf, ayat 96:

“(Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”

Sidang Jumaat yang mulia,

Realitinya, taqwa adalah satu aset yang amat penting kepada manusia. Iman dan taqwa dapat menyucikan hati daripada dosa sehingga menjadi benteng kehidupan seseorang yang beriman dan bertaqwa daripada melakukan kemungkaran dan kemaksiatan kepada Allah SWT. Dalam hal ini, Rasulullah SAW melarang orang yang beriman daripada merosakkan ketaqwaan mereka seperti yang diriwayatkan dalam sebuah Hadis daripada Abu Hurairah RA. Sabda Baginda SAW:

“Berhati-hatilah kamu daripada berprasangka buruk kerana prasangka buruk adalah ucapan yang sangatlah dusta. Janganlah kamu saling mencari keburukan orang lain, saling intip-mengintip, saling mendengki, saling membelakangi dan saling membenci. Jadilah kamu hamba-hamba Allah yang bersaudara.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Bagi memastikan taqwa tidak tercicir dalam arus pembangunan ummah, maka Islam telah menggariskan dasar pembangunan yang meliputi 4 faktor keseimbangan yang mengandungi aspek jasmani dan rohani yang terdiri daripada (1) faktor keseimbangan antara roh dan kebendaan, (2) keseimbangan antara hak dan kekuatan, (3) keseimbangan antara agama dan ilmu, dan (4) keseimbangan antara dunia dan akhirat. Kesemua faktor ini, jika dihayati dan dijiwai, akan mengangkat martabat Islam dan ummahnya dalam mencapai keamanan, kemakmuran, dan keselamatan di segala tempat dan ketika.

Mengakhiri khutbah, saya ingin mengajak semua untuk menghayati intipati khutbah yang disampaikan sebagai pedoman dalam kehidupan kita.

PERTAMA: Keimanan dan ketaqwaan tunjang utama pembangunan sesebuah ummah.

KEDUA: Keimanan sebenar memberikan kekuatan untuk terus melakukan ibadah dan ketaatan kepada Allah SWT.

KETIGA: Pemerkasaan institusi agama Islam dalam pentadbiran dan kehidupan rakyat membolehkan rakyat mengamati perkhidmatan berkualiti dan membawa kepada kesejahteraan negara.

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan.” (Surah al-Hasyr, ayat 18)

Jumaat, 24 Jun 2016.
Masjid at-Taubah, Kampung Lok Batik, Tuaran, Sabah.
Khutbah terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dengan suntingan.

Comments