Guru Pembina Negara Bangsa

(sempena Hari Guru 2016)


Segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah SWT. Hadirnya ilmu dan budi di dunia ini atas limpah kurnia dan izin-Nya jua selama ini. Hadirnya ilmu dan budi di dunia ini menjadi pelita kepada setiap minda yang sirna, menjadi obor penunjuk jalan yang nyata.

Selawat dan salam dipanjatkan ke atas Kekasih-Nya SAW. Hadir Baginda di tengah-tengah dunia menjadi rahmat kepada seluruh alam semesta. Al-Quran dan as-Sunnah yang ditinggalkan Baginda menjadi pedoman kepada seluruh manusia untuk menikmati bahagia.

16 Mei amat sinonim dengan masyarakat Malaysia. Sempena Hari Guru, kita mengambil kesempatan bukan sahaja untuk mengucapkan terima kasih kepada para pendidik kita, tetapi juga untuk memperingati segala perjuangan dan pengorbanan mereka mendidik anak bangsa dan membina negara dengan cara mereka sendiri.

Merekalah yang selama ini berada di barisan hadapan, bersedia dengan segala kemungkinan dan cabaran, menerima amanah ayahbonda, mengajarkan segala ilmu di dada dan budi di jiwa. Ilmunya tidak setakat membaca, menulis dan mengira, tetapi lebih daripada mengajarkan realiti kehidupan. Budinya tidak setakat memberi salam dan mengucapkan terima kasih, tetapi lebih daripada ketaatan dan kasih sayang.

Mereka tidak meminta apa-apa timbal balik daripada murid-murid mereka. Yang lebih penting, bagi para pendidik, adalah jalan kehidupan mereka di hari muka yang – seboleh mungkin – diterangi warna-warni cahaya dan dinaungi restu Yang Maha Esa.

Hari ini, kita menyaksikan kejayaan demi kejayaan yang dirangkul murid-murid mereka. Kejayaan mereka tidak terhad di pengajian tinggi dan di alam pekerjaan, tetapi juga di alam sebenar kehidupan. Sebahagian daripada mereka sudah mengecap bahagia. Sebahagian daripada mereka sudah tidak asing lagi namanya di pelbagai bidang, di pentas negara dan antarabangsa.

Hari ini juga, kita menyaksikan kejayaan demi kejayaan yang dicapai oleh masyarakat dan negara. Merekalah yang selama ini berada di belakang tabir itu semua. Negara kita terus maju berkat didikan guru-guru kita. Masyarakat kita terus makmur juga berkat ajaran cikgu-cikgu kita. Benarlah “guru pembina negara bangsa”.

Sempena hari yang sama, kita mengambil kesempatan untuk menyampaikan penghargaan kita kepada semua yang berada di bidang pendidikan. Merekalah yang selama ini berada di persada, mempertaruhkan harta dan nyawa, memastikan generasi akan datang – dengan apa-apa pun jua – berilmu, berbudi dan berbudaya.

Begitu pun, kita tidak boleh terlalu berpuas hati dengan segala yang kita kecapi buat masa ini. Masih banyak yang kita semua – sebagai rakyat – harus lakukan demi kelangsungan kecemerlangan kita semua, lebih-lebih lagi di arena pendidikan. Kalau bukan kita, siapa lagi? Kalau bukan sekarang, bila lagi? Kalau bukan di sini, di mana lagi?

Kita semakin hampir ke puncak kejayaan. Sebagai pewaris bangsa, kita akan terus mengorak langkah, berganding bahu, dengan segala kudrat dan iradat yang kita punyai, untuk meneruskan legasi yang kita wariskan, serta kesejahteraan yang kita impikan.

Sebagai murid, kita akan terus kuatkan azam dan cita-cita kita, belajar segala ilmu yang berguna, dan terus menghayati budi yang mulia. Sebagai guru, kita akan terus kekalkan ikrar dan semangat kita, mencurahkan ilmu dan budi apa adanya, menyayangi mereka sebagai bahagian terpenting dalam kehidupan keguruan kita.

Saya optimis, jika kita mampu meneruskan kelangsungan ini, kita akan menyaksikan suatu kejayaan yang lebih gemilang. Kejayaan itu tidak setakat kelahiran lebih ramai lagi ilmuwan yang budiman, tetapi juga kelahiran masyarakat yang berminda kelas pertama, yang faham erti mutu dan budi, yang mengamalkan nilai-nilai murni. Lebih gembira rasanya jika kelangsungan ini menjadi sebab kepada restu-Nya yang berterusan buat kita semua di dunia dan di akhirat sana.

Sempena Hari Guru, kita mengambil ruang dan peluang untuk berterima kasih kepada semua yang menjadi pendidik kita sepanjang hayat kita: ayahbonda yang mendidik kita sejak kita dilahirkan; guru-guru kita di segala pusat pendidikan; begitu juga mereka yang telah dan sedang mengajar kita ilmu yang berguna di segala tempat dan ketika. Tanpa mereka semua, tiadalah bererti kehidupan ini kepada kita.

Semoga Allah mengganjari segala jasa dan bakti ayahbonda dan para pendidik kita. Semoga Allah menyayangi setiap orang yang menyayangi kita semua. Semoga Allah merestui kita semua dengan rahmat, keampunan dan kasih sayang-Nya.

Terima kasih, cikgu. Tatap bah sayang Cikgu!

Comments