Erti Hadir Diriku

Selesa tidak bermakna mewah. Bersendiri tidak bermakna melarikan diri. Meminggir tidak bermakna benci. Kerana percaya kepada segala yang Allah kurniakan untuk diri ini, aku berada di sini. Bukanlah untuk mencari kemewahan. Bukanlah untuk mencari kemegahan. Bukanlah mencari kemuliaan. Tetapi kerana untuk mencari erti hadir diriku ini.

Aku berdiri bukan kerana aku yang pertama. Aku tegak bukan kerana aku yang tertinggi. Aku duduk bukan kerana aku yang merajai. Hanya cuma mahu tahu erti diri ini kepada masyarakat dan tanah air.

Kerana mukim ini bukan aku yang punya. Kerana bumi ini tidak selamanya milik mereka yang mentadbir lagikan menguasa. Siapa pun penduduknya, dari mana pun asal-usulnya, apa pun bangsanya, berapa tinggi sekalipun kemuliaannya, tanah air ini milik kita semua.

Besar jiwa ini ingin melihat kemegahan negeri ini. Aku telahpun sedaya upaya aku tak melukakan hati ibunda, juga tak mengecewakan ayahanda. Ini sahaja yang aku ada, dan yang aku mampu beri selama berada di kerusi.

Meski aku suka bersendiri, aku sudah lelah; pengsan untuk bersendiri. Kau sendiri sedari pahitnya bersendiri. Meski kau mampu juga suka untuk bersendiri, kau juga takkan bisa bersendiri. Meski mereka mampu juga suka untuk bersendiri, mereka juga tidak harus dibiarkan bersendiri.

Kerana setiap orang yang menjadi sebahagian daripada rakyat dan tanah air punya erti untuk keduanya. Rakyat dan tanah air saling perlu-memerlukan. Tanah air ini milik rakyat; kitalah rakyat yang punyai tanah air ini.

Sama ada untuk sehari dua mahupun seketika lama, mahupun hingga ke hujung nyawa, aku mahu kalian tahu: betapa berertinya rakyat dan tanah air di minda dan jiwaku.

Kerana mukim ini bukan aku punya. Sampai saatnya, aku akan menyertai mereka yang mendahului. Tanah air ini milik kita semua; tanggungjawab kita bersama.

Aku di kerusi hanya menjalankan amanah apa adanya. Meninggalkan apa harusnya, termasuklah mereka yang paling disayangi di sebelah sana mahupun sini.

Menerima apa apa adanya dan memberi apa adanya. Maafkan segalanya yang kurang mahupun terlebih kerana aku juga manusia. Yang memuliakan kita di dunia hanyalah meritokrasi. Yang membezakan kita semua, umat manusia, sudah pasti iman dan taqwa.

Kerana mereka yang akan ke syurga adalah mereka yang mendapat karunia kasih sayang Allah; terutamanya yang tinggi iman dan taqwanya.

Aku hanya mahu kalian tahu, bukan erti hadir diriku ini di sini; tapi erti rakyat dan tanah air di minda dan jiwa. Kerana kitalah tuan kepada keduanya, maka selayaknya kita berlengan dan membahu; yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing.

Sayangi rakyat dan tanah air, kerana kitalah ketua dan pengikut bagi keduanya. Mudah-mudahan disayangi Allah.

Aku rindukan kasih sayang – sesungguhnya. Tapi, akhirnya, aku juga sebahagian daripada rakyat dan tanah air. Hamba Allah yang mengharapkan rahmat, keampunan dan kasih sayangNya.

Kerana aku setia.

Kerana aku cinta.

Kolej as-Siddiq, UIAM, Gombak, Selangor
Selasa, 3 Mei 2016, jam 3.33 pagi.

Comments