Setia Bersama Membina Negara


Membina sebuah negara bukanlah mudah. Sepertimana seorang manusia memerlukan roh dan jasad, sebuah negara juga memerlukan roh dan jasad. Bayangkan sebuah negara tanpa falsafah dan ideologi, sistem dan infrastruktur; apakah erti keberadaannya di tengah-tengah dunia?

Sebuah negara memerlukan kepada segolongan manusia yang tahu menilai dan mengaplikasikan erti sebenar setia. Setia tidak boleh diterhadkan definisinya setakat mengikut ke mana-mana sahaja dibawa, mahupun kekal setempat sampai bila-bila. Setia mempunyai takrifan yang lebih berharga daripada takrifan tersebut. Setia menuntut kasih sayang, pengorbanan, semangat waja dan keazaman membara, bukan sahaja dalam diri seseorang, tetapi juga dalam diri segolongan masyarakat.

Kesetiaan membolehkan mereka berkumpul bersama, mengikat janji untuk terus berdiri bersama agama, bangsa dan negara, berfikir untuk melangkah setapak demi setapak, maju bersama walaupun pelbagai rintangan menanti di hadapan mata, membanting tulang empat kerat membina infrastruktur dan mewujudkan kerangka ekonomi, politik dan sosial yang seimbang dan mesra rakyat.

Hari ini, kita menyaksikan kejayaan banyak negara di serata dunia kerana kejayaan rakyat di dalamnya mengertikan kesetiaan. Kerana setia, sebuah negara berjaya membina kerangka politik yang harmoni, mempraktikkan dasar ekonomi yang mapan dan stabil, serta mengaplikasikan rangka kerja sosial yang seimbang dan mesra rakyat. Semua ini membolehkan rakyat terus bersatu-padu, berkongsi kasih sayang sesama mereka, meneruskan kehidupan dalam aman dan bahagia.

Hari ini juga, kita menyaksikan kejatuhan sesebuah negara kerana kegagalan rakyat di dalamnya untuk mengekalkan rasa setia. Akibatnya, negara tersebut mengalami kejatuhan ekonomi yang serius, krisis politik yang meruncing dan akhirnya memaksa campur tangan negara lain, dan masalah sosial yang semakin berkudis dalam masyarakat. Kegagalan negara menangani masalah-masalah ini menyebabkan hilangnya pengertian dan kedaulatan sesebuah negara di mata dunia.

Jatuh bangun sesebuah negara bermula daripada diri kita dan, akhirnya, ditentukan oleh diri kita sendiri. Kita adalah sebahagian daripada unsur-unsur yang mewujudkan sebuah negara yang berdaulat dan merdeka, maka adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menentukan masa depan negara tersebut. Selama mana kita hidup dan berdiri di sesebuah negara, selama itulah kita masih berkewajipan kepada negara.

Harus diingat bahawa tanggungjawab kita kepada negara tidak setakat pada peti undi mahupun peti pungutan suara, tetapi juga pada jiwa raga kita yang berkemampuan lagikan berkehendakkan untuk membina negara dengan cara yang tersendiri. Mereka yang menanam padi di tengah-tengah bendang, yang membancuh simen di tapak pembinaan, yang mengurus fail-fail pejabat, semua mereka mempunyai kaedah dan wadah bagi mereka untuk menyatakan setia mereka kepada negara.

Kita berterima kasih kepada mereka yang terus-menerus menumpahkan taat setianya yang tidak berbelah bahagi kepada negara kita. Merekalah yang selama ini tidak jemu menyampaikan ilmu dan kemahiran kepada generasi berikutnya. Mereka jugalah yang selama ini menghunus senjata, berkorban harta dan nyawa demi agama dan negara. Mereka jugalah yang selama ini meletakkan dan melaksanakan undang-undang dan dasar yang adil dan saksama. Mereka jugalah yang selama ini menegakkan hak dan meruntuhkan batil hanya untuk menjaga kepentingan sah kolektif negara.

Betapa berertinya negara kita dengan kewujudan mereka yang menyatakan dan menterjemahkan rasa setia. Lebih daripada itu, betapa berertinya kita meluahkan, mentakrifkan dan meneruskan kesetiaan kita kepada negara walaupun dengan gaya kita yang tersendiri; asalkan memberi manfaat kepada negara dan kita semua.

Comments