Beberapa Hari yang Berlalu Bersamanya

Saya baru sampai Kuala Lumpur, pada suatu petang, setelah menghadiri walimah kakak kepada salah seorang sahabat saya di Bukit Sentosa, Rawang. Setibanya saya di sebuah hotel di Jalan Tun Razak, seseorang datang kepada saya, memanggil nama saya. Saya tidak sangka pula ada orang yang ingin bertemu saya pada masa itu sebab saya tidak sedikitpun terlintas di fikiran untuk menemui sesiapa pun setelah mengharungi perjalanan yang jauh.

Hari itu – saat saya bertemu dengannya – sungguh mengujakan. Bukanlah kerana itu pertama kali saya bertemu dengannya, tetapi kerana itulah pertama kali duduk semeja, berkongsi idea dan pengalaman sesama sendiri dalam suasana yang harmoni. Rentetan daripada peristiwa hari itu, dan kebetulan Universiti saya berada dalam musim cuti semester, saya mengambil kesempatan untuk mengenalinya dengan lebih mendalam.

Terima kasih, Allah, kerana mempertemukan saya dengan keluarganya pada suatu petang yang lain di hujung ibu negara. Dapatlah saya berkenalan dengan seluruh ahli keluarganya, dan seterusnya berkongsi segala rasa tentang hari-hari yang berlalu – terutamanya hari-hari saya bersama debat dan pengucapan awam bahasa Arab. Perkenalan tidak terhenti di situ.

Saya lanjutkan dengan menziarahinya di Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang – sudah banyak kali rasanya, paling tidak untuk bertanya khabar, berkirim salam dan mengenali Kolej tersebut dengan lebih mendalam lagi. Saya menziarahinya di sana, pertama kali, pada Hari Malaysia yang sudah, setelah berlalunya jerebu untuk seketika.

Tahun lepas, dia dan rakan-rakan berjaya membawa pulang piala pusingan pertandingan setelah 5 tahun. Bukan itu sahaja; dia dinobatkan sebagai pendebat terbaik pusingan akhir pertandingan. Berita ini mengujakan saya dan yang lain – dan lebih mengujakan keluarganya dan Kolejnya.

Tahun ini, dia menjadi salah seorang pemimpin tertinggi di sana. Tanggungjawabnya terhadap komunitinya amat berat. Begitu pun, saya yakin, dengan keutuhan prestasinya dalam pelbagai bidang, dia mampu untuk menjalankan tugas tersebut dengan bantuan dan kerjasama pelbagai pihak, terutamanya pasukan yang dipimpinnya.

Sempena ulangtahun kelahirannya, hari ini, saya berharap agar dia akan terus kuat untuk menyambung perjalanan yang masih jauh dan mengharungi banyak lagi pancaroba yang tidak diduga. Teruskan perjuangan yang masih belum selesai, kelak akan ditemukan penghujung yang bermakna.

Selamat ulangtahun buat sahabat saya, adinda yang itu. Semoga dilanjutkan usia dalam bahagia; dilapangkan rezeki; dimudahkan segala urusan; diteguhkan cinta dan kasih sayang yang dia miliki; dan digolongkan dari kalangan mereka yang mendapat petunjuk sepanjang jalan.

Bilik Gerakan, Kolej as-Siddiq, UIAM, Gombak, Selangor
16 Mac 2016, 11.01 pagi

Comments