Mendepani Kepayahan Hidup Mahasiswa Universiti

Hancur hati saya, akhir-akhir ini, dengan kisah orang-orang kita yang berlapar kerana ketiadaan wang. Hati ini lebih hancur apabila kisah sedemikian rupa menjadi muka depan surat khabar ternama yang dibaca di serata negara dan tersebar di dada-dada media sosial. Lalu, berlakulah pertikaman lidah antara sesama sendiri, yang kemudiannya menuding jari ke sana ke mari atas perkara ini.

Banyak punca yang menyebabkan keadaan sedemikian. Bermula daripada keadaan sosioekonomi sesebuah keluarga yang terlalu sukar; sehinggakan wang pinjaman mahupun biasiswa pendidikan yang diterima terpaksa diberikan kepada keluarga untuk kelangsungan hidup keluarga - satu tindakan yang punya sisi baik dan buruknya.

Keadaan lebih rumit dengan rumitnya keadaan ekonomi negara yang berpunca daripada landskap ekonomi global yang semakin tidak kondusif. Ketidakstabilan nilai matawang dan harga komoditi merupakan penyebabnya. Kesannya, suasana politik peringkat tempatan mahupun antarabangsa juga menjadi semakin suram dan kusam dek peperangan yang bertujuan hanya untuk merebut sumber dan kuasa semata-mata.

Banyak lagi punca jika kita mampu selidiki sedalam-dalamnya. Diri kita - yang sudah tahu susah, tetapi tetap ingin terus menyepi dan membiarkan diri susah - mungkin menjadi puncanya. Oleh itu, sekarang bukanlah masanya untuk menuding satu jari kepada mana-mana pihak pada waktu jari-jari yang lain menunjuk ke arah kita di luar sedar.

Kita boleh mengharapkan orang lain untuk menyelesaikan masalah demikian walaupun sukar untuk diselesaikan. Memang pun menjadi tanggungjawab ahli-ahli masyarakat untuk membantu mereka yang berada dalam kesusahan. Pelbagai pihak berjaya menyusun dan menggerakkan pelbagai tindakan - kebanyakannya jangka pendek - bagi meringankan beban mereka yang memerlukan.

Kita berterima kasih kepada mereka yang menyumbang dan menggerakkan idea dan formula bagi menyelesaikan masalah tersebut. Dari dapur jalanan sehinggalah kepada bantuan kewangan dan galakan untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan, semuanya bermanfaat kepada mereka yang betul-betul memerlukan bagi meneruskan kelangsungan hidup walaupun terpaksa bersusah-payah untuk mendapatkannya.

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sarat dengan cinta. Tanpa cinta, mana mungkin segala bantuan, yang datang daripada segala pihak selama ini, akan sampai kepada sebahagian warga Universiti ini. Tanpa cinta, tiadalah wujud tabung-tabung kebajikan mahasiswa yang berfungsi memberi bantuan kewangan secara berpusat kepada warga yang memerlukan.

Tanpa cinta, mana mungkin akan diadakan Program Makanan Tertangguh (Suspended Meal Programme) dan program Khidmat Bantuan Mahasiswa (Student Assistantship Programme) yang memberi peluang kepada mahasiswa untuk bekerja separuh masa di pelbagai pusat tanggungjawab Universiti.

Namun, mereka tidak boleh terus mengharapkan orang lain sahaja untuk mengubah latar belakang kehidupan mereka. Alasannya cukup jelas dan mudah, kerana Allah tidak akan mengubah nasib seseorang sehingga orang itu mampu mengubah nasibnya dengan caranya yang tersendiri.

Saat pelbagai organisasi dan orang perseorangan menghulurkan tangan, meringankan beban, saat itu jugalah mereka yang memerlukan harus mengetepikan rasa segan silu dan membiarkan komen-komen negatif terhadap mereka untuk mendapatkan dan menerima bantuan tersebut sewajarnya daripada pihak yang bertanggungjawab dan bermurah hati.

Begitu pun, harus disedari bahawa kebanyakan bantuan yang ditawarkan bersifat jangka pendek. Oleh itu, mereka tidak boleh terlalu bergantung kepada bantuan jangka pendek sahaja kerana manfaat yang datang daripadanya juga berjangka pendek.

Mereka harus bersedia untuk menerima bantuan untuk suatu jangka panjang. Caranya dengan memperkayakan diri dengan ilmu dan kemahiran, mengindahkan diri dengan budi bahasa dan nilai-nilai murni, serta menceburkan diri dalam bidang yang mampu memberi banyak pulangan, terutamanya dari segi kewangan.

Segala-galanya bermula dan berpusat kepada diri sendiri. Semangat juang yang tinggi yang ada pada diri seseorang membolehkan mereka yang tidak punya apa-apa menjadi mereka yang kaya-raya, yang kemudiannya menyumbang kepada keluarga dan masyarakat. Merekalah, yang dahulunya susah, yang sudi tanpa diminta dan tanpa berkira membantu mereka yang masih memerlukan.

Itulah pentingnya pendidikan, yang membolehkan kita bukan sahaja untuk mengenal Allah serta meneroka alam dan seisinya, tetapi juga untuk mempelajari teori-teori meneruskan kelangsungan kehidupan seseorang individu mahupun sesetengah kumpulan. Pendidikan bukanlah tentang mempelajari dan memahami sesuatu semata-mata, tetapi juga tentang menghayati dan mengaplikasikannya dengan pelbagai sebab dan dengan pelbagai cara.

Itulah pula rasionalnya hasrat Malaysia untuk menjadikannya sebuah negara maju berpendapatan tinggi, yang digerakkan oleh masyarakat yang berminda kelas pertama, yang faham ilmu dan kemahiran, yang tahu erti mutu dan budi, dan yang mampu mengharungi Jalan ASEAN berlandaskan Semangat ASEAN. Itulah juga rasionalnya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memperkenalkan Halatuju Pembangunan Lestari (SDG) dalam usaha mewujudkan keamanan dan kemakmuran di dunia.

Ringkasnya, isu kebuluran yang melanda mahasiswa universiti yang berada dalam kesusahan, yang sedang hangat dan sensasi di pelbagai platform media, bukanlah isu yang boleh dipandang enteng sewenang-wenangnya. Mereka memerlukan pembelaan semudah yang boleh dan sewajarnya. Pada masa yang sama, saat bantuan diterima, mereka harus bangkit dengan kudrat dan iradat yang ada untuk mengubah hidup ke arah masa depan yang lebih cerah.

Sebagai seorang ahli masyarakat, pengupayaan adalah salah satu daripada tanggungjawab saya. Oleh itu, saya - dengan sedaya upaya saya - cuba membina upaya mereka yang memerlukan dan, pada masa yang sama, memperkuatkan diri untuk memberi perkhidmatan berkualiti dan cemerlang kepada golongan sasar.

Mudah-mudahan Allah mempermudahkan mereka yang mempermudahkan orang lain, dan memberikan kemudahan kepada mereka yang ingin berhijrah ke arah masa depan yang lebih cerah.

Comments