Berterima Kasih kepada 2015

Melangkah meninggalkan tahun 2015 sambil menuju ke tahun 2016 bukanlah sesuatu yang menggembirakan.

Hal ini demikian bukanlah kerana terlalu banyaknya kenangan terindah yang kita ukir sepanjang tahun sudah; bukanlah juga kerana keadaan tahun mendatang yang disifatkan lebih mencabar berbanding tahun-tahun sebelumnya; tetapi kerana masa yang kita ada saat ini yang akan terus berputar ke hadapan, tiada lagi putaran ke belakang.

Oleh yang demikian, umur kita pun pantas jugalah berlalu. Kita semakin hampir ke penghujung. Tiada seorang pun yang tahu bilakah sampainya penghujung itu.

Sebahagian daripada kita sudah mencecahnya. Kita mohon kepada Yang Maha Pencipta agar dilimpahkan rahmat dan maghfirah ke atas semua yang mendahului kita, lebih-lebih lagi mereka yang tersayang.

Saatnya akan tiba. Kita akan menyusul. Kita harus bersedia; bukan sahaja dengan mengerjakan segala amal ibadah dan kewajipan, tetapi juga dengan menunaikan segala khidmat bakti dan kebajikan selagi diberi kekuatan.

Begitu pun, kita harus sedar betapa tidak semua orang diberi kudrat dan iradat seperti kita. Kita juga harus tahu betapa tidak semua orang bernasib baik seperti kita.

Lebih malang lagi, ada dalam kalangan kita yang ditimpa bencana dan marabahaya. Tanah air yang kita cintai turut mendapat dugaan yang serupa.

Mereka tidak boleh dibiarkan begitu sahaja. Mereka perlukan pembelaan sewajarnya.

Sebagai sebahagian daripada masyarakat, kita berkongsi rasa dukacita kita dengan mereka dan menghulurkan sokongan dan bantuan apa adanya, biarpun kita lebih memerlukannya. Mudah-mudahan diringankan beban dan kesedihan yang melanda mereka.

Kita berterima kasih setinggi-tingginya kepada mereka yang sudi mendampingi masyarakat, menyelami hati nurani mereka, berkongsi suka dan duka dengan mereka serta menggembirakan mereka dengan segala sokongan, dorongan dan bantuan yang ada; lebih-lebih lagi mereka yang menyertainya tanpa diminta dan tanpa berkira.

Sesungguhnya merekalah wira dan wirawati yang tulus hati mereka, mendedikasikan diri untuk memudahkan urusan yang lain, walhal mereka juga sebenarnya dari kalangan mereka yang kehilangan dan memerlukan. Semoga Yang Maha Esa mengganjari pengorbanan mereka dengan ganjaran yang berlipat kali ganda. Yakinlah, Dia akan tetap menolong hamba-hambaNya selama mana mereka menolong saudara-saudara mereka.

Kepada mereka yang terkesan dengan kesusahan, bencana dan marabahaya, kita doakan, semoga mereka diberi ketabahan untuk mengharungi hari-hari yang mendatang. Yakinlah, segala kemudahan akan datang setelah kesusahan.

Tiada masa yang tidak berlalu. Walau apa pun yang berlaku di suatu saat, kita pasti akan menempuh saat yang seterusnya.

Di sana, kita akan berhadapan dengan cabaran yang baru, membawa pula bersama tanggungjawab yang baru; bukan sahaja tanggungjawab terhadap diri, tetapi juga kepada keluarga dan masyarakat.

Selagi masih ada masa, sama-samalah kita memperbaiki serta menambahbaik diri sendiri; memperkayakan diri dengan ilmu dan budi, memanfaatkannya untuk kebaikan diri dan yang lain di sekeliling, seterusnya menempatkan diri sebagai penyumbang kepada keluarga dan masyarakat, tidak kira sebesar mana pun skopnya.

Sama ada kita sedar mahupun tidak, pada peringkat yang lebih tinggi, kita mempunyai peranan yang tersendiri secara langsung mahupun tidak langsung. Sebagai sebahagian daripada masyarakat, kita harus memainkannya secara bersama walau apa pun caranya, walau apa pun bidangnya dan pentasnya.

Kita mengimpikan masyarakat yang madani pada masa hadapan, yang kaya dengan ilmu duniawi dan ukhrawi, yang sarat dengan budi pekerti, yang memahami erti dan peri mustahak kestabilan ekonomi, politik dan sosiobudaya, dan yang menghayati erti perpaduan dalam kepelbagaian.

Di sinilah tempatnya dan inilah masanya kita menginsafi kehadiran kita di tengah-tengah dunia.

Sempena tahun baru, sama-samalah kita melangkah ke hadapan sederap selangkah menuju halatuju yang murni dengan semangat yang padu dan keazaman yang jitu. Ketepikan segala perbezaan, raikan perbezaan. Hayati erti kebersamaan yang menunjangi erti sebenar kejayaan.

Sejarah tidak harus dilupakan kerana mereka yang melupakan sejarah pasti akan mengulanginya. Jadikan sejarah panduan dan dorongan untuk kita terus melangkah ke hadapan.

Walaupun banyak hari yang melukakan, banyak jugalah hari yang menggembirakan sepanjang tahun sudah. Kita terima itu semua dengan hati yang redha.

Kita harus berterima kasih kepada tahun sudah. Banyak pengertian dan pengajaran yang diberikan kepada kita semua selama melalui hari-hari tersebut.

Lebih daripada itu, kita berterima kasih kepada Allah SWT kerana menghadirkan mereka yang tersayang sepanjang meniti hari-hari sepanjang tahun sudah.

Saya mengambil kesempatan yang ada untuk berterima kasih banyak-banyak kepada semua yang telah mewarnakan hari-hari saya sepanjang tahun sudah.

Ayahbonda yang telah tidak henti-henti berkorban segala-galanya untuk diri ini. Adik-beradik dan sanak saudara yang tidak henti memberikan segalanya walaupun hanya dari kejauhan.

Para pendidik di sekolah, universiti mahupun di institusi lain yang membantu diri ini mendalami ilmu dan menghayati budi dengan segala yang ada.

Semua sahabat dan rakan di pelbagai tempat dan ketika, tidak jemu menjadi teman berkongsi, lebih-lebih lagi ‘adik-beradik’ yang sanggup menyelami hati nurani dan berkongsi nada murni dalam kehidupan.

Muhammad Ikmal Hakim yang masih berkongsi apa adanya. Abdullah Izzat dan Abdullah Izzuddin yang sudi membawa bahagia di sebalik komitmen berpanjangan. Afiq Haikal yang setia menemani hari-hari kesibukan walaupun ada sahaja yang memerlukannya.

Rakan-rakan sekumpulan sekursus di Kulliyyah Pendidikan, saudari-saudari kesemuanya, walaupun ada sahaja yang membezakan, jalan yang kita tuju tetap sama; di situlah jalan yang kelak membawa kita ke arah masa depan yang cerah.

Husni yang tetap dengan langkah keperwiraannya tanpa melupakan nilai persahabatan. Muhammad Najib, Afif Afnan, Luqman, ‘abang’ Muhammad Lutfi dan Mohd. Danial Aiman yang jauh di mata tetapi dekat di jiwa.

Syed Ahmad Fawwaz yang sentiasa berkunjung walaupun di sebalik kesibukan. Muhammad Nur Amir yang indah jiwa raganya. Ahmad Zhafir yang tegak dengan prinsipnya. Ramai lagi yang punya jasa dan sumbangannya kepada hari-hari saya.

Kehadiran mereka di titian hari-hari itu tidak menghampakan. Ada sahaja doa, pengajaran, pengertian, sokongan dan dorongan yang saya terima daripada mereka semua. Saya terharu untuk menerimanya.

Walaupun begitu, saya harus sedar, saya tidak terlepas daripada dosa dan noda sepanjang melalui hari-hari tersebut.

Saya mohon berbanyak kemaafan atas segala kesalahan, kesilapan, kelemahan dan kekurangan yang saya lakukan mahupun yang ada pada saya selama ini. Pada masa yang sama, saya memohon berbanyak keampunan daripada Allah SWT atas segala dosa dan noda yang saya lakukan sepanjang hari-hari sudah.

Semoga Allah tidak menghampakan kita semua di hari-hari mendatang.

Semoga Allah tidak memutuskan harapan masa hadapan kita.

Semoga Allah mengampunkan segala dosa dan noda kita semua.

Semoga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk meneruskan kehidupan.

Semoga Allah memberkati Malaysia, para sahabatnya dan sekalian rakyatnya.

Semoga Allah merestui kita semua dengan rahmat, keampunan dan kasih sayangNya.

Comments