Perjalanan Yang Sebenarnya Masih Jauh

Saya ambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua Presiden dan ahli kesemua 19 Jawatankuasa Perwakilan Kolej Kediaman (MRC) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Gombak dan Kuantan atas kejayaan semua membawa Mahallah masing-masing ke pentas kejayaan yang berikutnya. Kejayaan ini suatu pencapaian yang harus disyukuri oleh semua pihak, sama ada di peringkat kolej kediaman mahupun di peringkat Universiti secara umumnya.

Saya ambil kesempatan yang sama untuk berkongsi rasa syukur saya dengan semua Presiden MRC UIAM Kampus Gombak atas kejayaan kita menggerakkan Jawatankuasa Penyelaras Wakil-wakil Kolej Kediaman (MRCC) UIAM Kampus Gombak sepanjang tahun 2015.

Saya bersyukur kerana diberi peluang oleh Allah SWT untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan sahabat-sahabat dan rakan-rakan MRCC mahupun semua MRC UIAM Kampus Gombak dan Kuantan. Selama adanya saat itu, kita berkongsi pelbagai rasa dan idea dalam menjadikan kolej kediaman masing-masing rumah kedua bagi setiap mahasiswa Universiti kita.

Saya belajar banyak perkara daripada banyak pihak dalam Universiti ini selama saya menjadi Presiden MRC as-Siddiq 2015. Segala nasihat, sokongan dan dorongan daripada mereka semua amat berguna bukan sahaja bagi saya, tetapi bagi setiap yang bersama-sama dengan saya di pelbagai tempat dan ketika; tidak kiralah sama ada mereka ini terus berada di medan ini mahupun sebaliknya.

Sejujurnya, pengakhiran MRC dan MRCC 2015 adalah suatu kehilangan besar kepada saya. Banyak kenangan dan pengajaran ditinggalkan dengan saya selama berada di sana. Begitu pun, pengakhiran MRC dan MRCC 2015 bukanlah pengakhiran bagi perjalanan semua yang bersama saya selama ini. Walaupun selepas ini jalan yang dilalui sudah berbeza, kita masih menghala ke tujuan yang sama – kejayaan – sehingga kita mencecah perhentian terakhir - akhir hayat.

Kepada semua yang mengakhiri perjalanan bersama saya, terima kasih banyak-banyak kerana sudi bersama sederap selangkah menuju ke arah pentas kejayaan kita yang tersendiri. Maafkan diri ini atas apa-apa jua salah dan silap. Mudah-mudahan Allah mengampunkan dosa-dosa saya, kalian dan mereka; sekaligus memberikan kita kekuatan untuk menjadi insan yang lebih baik di masa hadapan.

Kepada semua yang meneruskan perjalanan, termasuk diri saya sendiri, saya yakin dan percaya bahawa Allah SWT akan mengurniakan taufiq dan hidayahNya kepada kita semua. Mintalah kepadaNya, mudah-mudahan perjalanan kita yang seterusnya dipermudahkan.
Kepada semua yang memulakan perjalanan, mulakan perjalanan itu dengan menyebut nama Allah. Yakinlah dan percayalah, segala perkara yang dilalui ini akan dipermudahkan dengan izinNya.

Perjuangan belum selesai. Kita mengimpikan masyarakat madani yang kaya dengan ilmu dan budi; dan, pada masa yang sama, yang memahami dan menginsafi erti sebenar perpaduan dan integrasi; tidak kiralah apa-apa pun platformnya selepas ini.

Saya akan meneruskannya di atas jalan yang telah tersedia, yang menghala ke arah astaka kecemerlangan yang seterusnya. Saya akan meneruskannya walau dengan cara sendiri kerana cita dan cinta.

Berdoalah sahaja sambil terus berusaha; semoga berjaya.

Comments