Debat Bahasa Arab Maal Hijrah 1437


Pertandingan Debat Bahasa Arab antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sempena Maal Hijrah sudah masuk siri ketiga. Pertandingan tersebut berjaya dilangsungkan pada 16 hingga 18 Oktober di UIAM Kampus Gombak. Seperti tahun sudah, Kulliyyah Kejuruteraan menjadi tempat utama pertandingan. Pertandingan anjuran Kelab Debat dan Pengucapan Awam Bahasa Arab UIAM ini turut mendapat sokongan padu para penaja seperti Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Persada Global Holidays dan Munif Hijjaz.

Pertandingan ini merupakan suatu wahana untuk mengangkat martabat bahasa Arab di persada negara. Pertandingan ini diadakan untuk mencungkil bakat pemimpin-pemimpin pelapis masyarakat dan untuk memberi ruang dan peluang kepada para mahasiswa yang bertutur dalam bahasa Arab agar mengupas serta menganalisis isu-isu ekonomi, sosial dan politik menggunakan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).

Pertandingan yang mengumpulkan 72 orang pendebat daripada 18 buah pasukan yang mewakili 12 buah IPT ini menyaksikan kejayaan UIAM merampas trofi kejuaraan daripada USIM. Dalam pusingan akhir yang mempertemukan pasukan UIAM (B) dan USIM (B) di bawah usul "Hak Pengurusan Haji Seharusnya Diberikan Kepada Pertubuhan Kerjasama Islam", pasukan UIAM (B) sebagai pembangkang menang ke atas USIM (B) dengan juri 3-4. Sementara itu, dalam pusingan yang sama, Anis Amirah Zakaria dari pasukan USIM (B) muncul pendebat terbaik pusingan.

Johan menerima wang tunai RM 3,000, pakej percutian ke Hatyai bernilai RM 4,000, hadiah iringan, piala pusingan, trofi serta sijil penyertaan; manakala naib johan menerima wang tunai RM 1,500, pakej percutian ke Pulau Perhentian bernilai RM 3,000, hadiah iringan, piala pusingan, trofi serta sijil penyertaan. Tempat ketiga pula disandang oleh pasukan UIAM (C). Mereka membawa pulang pakej percutian RM 400 tajaan Persada Global.

Sementara itu, Mohamed Nurfirman Mohamed dari UIAM (C) muncul pendebat terbaik keseluruhan. Beliau dan Anis Amirah membawa pulang wang tunai RM 300.

MUSTAHAK: "PRICE" dibetulkan menjadi "PRIZE". Kesilapan amatlah dikesali. 

Comments

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete

Post a Comment