Erti Aidiladha bagi Seorang Perantau

(sempena Hari Raya Aidiladha dan Hari-hari Tasyrik 1436H)

Hari Raya Aidiladha 1435H di UIAM Kampus Gombak

Menyambut Aidiladha di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) adalah suatu saat berharga buat saya. Majoriti warga kerja dan mahasiswa UIAM gembira kerana dapat pulang ke kampung halaman masing-masing. Tetapi, bagi mereka yang berasal dari seberang laut mahupun dari penjuru lain di dunia (seperti saya), walaupun sedih kerana tidak dapat merayakannya bersama kaum keluarga dan sanak-saudara, mereka tetap gembira kerana dapat menyambutnya dalam suasana yang penuh sukacita. Masing-masing dikurniakan rezeki masing-masing, katakan.

Apa tidaknya; suasana Hari Raya Aidiladha di UIAM Kampus Gombak amat berbeza berbanding di tempat lain. Universiti ini, saat tibanya Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha, tidak pernah mengecewakan warganya; bahkan sentiasa menjanjikan kemesraan dan kemeriahan. Jikalau pada Hari Raya Aidilfitri, seluruh warga yang tinggal disajikan dengan pelbagai juadah yang datangnya daripada segenap pelusuk dunia, sambil bersalam-salaman, bermaaf-maafan dan beramah mesra sesama warga, Hari Raya Aidiladha begitu juga; bahkan lebih daripada itu dengan kehadiran binatang-binatang korban.

Sebagai warga UIAM, saya merasa bertuah kerana dapat menyambutnya di kampus walaupun terpaksa berjauhan daripada kaum keluarga dan sanak-saudara, dan berpisah dengan sahabat handai yang pulang ke kediaman masing-masing. Hari Raya Aidiladha di UIAM Kampus Gombak amat unik dengan kehadiran ribuan warga Universiti daripada ratusan buah negara, dengan disemarakkan pula dengan kehadiran 50-60 ekor lembu untuk dikorbankan; sebahagiannya disumbangkan oleh pertubuhan antarabangsa.

Saya yakin bahawa rakan-rakan senegara yang berkhidmat mahupun menuntut ilmu di negeri asing turut merasai keunikan sambutan Hari Raya Aidiladha. Walaupun berada di tempat yang berbeza, kita yang jauh dari kampung halaman berkongsi satu rasa: kegembiraan dan kemeriahan. Apa tidaknya; pada sambutan ini, kita meraikan perpaduan dalam kepelbagaian sambil melafazkan kesyukuran. Tetapi, jangan kita lupa bahawa sambutan ini penuh dengan ibrah dan seruan untuk berjuang dan berkorban.

Kejauhan seperti ini, walaupun merupakan suatu tanggungjawab, merupakan salah satu manifestasi pengorbanan. Tiada siapa yang mahu berjauhan daripada orang-orang yang tersayang. Namun, demi mengejar redha Allah dan ke arah cita-cita yang mulia, kita datang jauh dari kampung halaman dengan harapan; kita pulang ke kampung halaman membawa bersama kejayaan. Begitu pun, yang bulat tak akan datang bergolek, yang pipih tak akan datang melayang.

Oleh hal yang demikian, kita dituntut untuk berusaha untuk meraih kejayaan. Usaha harus disertai pula dengan semangat untuk berkorban. Berkorban tidak semestinya dengan harta dan nyawa semata-mata; bahkan lebih daripada itu. Dalam pada itu, janganlah kita lupa kepentingan doa dan keindahan ikhtiar dan tawakkal dalam kehidupan. Apalah ertinya pengorbanan yang tidak direstui Yang Maha Esa? Apalah jua gunanya usaha tanpa disertai oleh doa, ikhtiar dan tawakkal?

Mari kita belajar daripada lembaran sejarah. Sejarah yang berlaku di sekeliling kita membuktikan bahawa doa, usaha, ikhtiar dan tawakkal menyumbang kepada kejayaan seseorang mahupun sesebuah organisasi. Kita, sesungguhnya, merupakan sebahagian daripada sejarah tersebut. Oleh itu, jadikanlah sejarah sebagai pedoman untuk mengharungi masa hadapan yang sungguh tidak pasti, yang penuh dengan ranjau berduri. Pada masa yang sama, jadikanlah sejarah sebagai sumber untuk mencipta pembaharuan yang meyakinkan. Teruskanlah perjalanan hidup berbekalkan semangat yang membara. Jangan berputus asa kerana putus asa menghilangkan makna sebuah kehidupan.

Dalam pada itu, kita harus sedar, betapa kejayaan kita, pada hari ini, didorong oleh perjuangan dan pengorbanan setiap insan yang sedia dan sentiasa bersama kita, terutamanya ibu bapa, adik-beradik, sanak-saudara, guru-guru dan sahabat handai. Sesungguhnya bukan kita sahaja yang berkorban, bahkan mereka juga, bahkan lebih lagi. Kita tidak akan punyai apa-apa tanpa mereka. Tanpa diminta dan tanpa berkira, merekalah yang sudi mengharungi zaman suka dan duka kita, menelusurinya berlandaskan konsep hikmah, melaluinya dengan jiwa raga yang gagah perkasa.

Di kesempatan ini, sama-samalah kita berterima kasih kepada mereka semua atas segala pengorbanan, perjuangan, sumbangan, sokongan dan dukungan yang diberikan selama ini. Dengan kudrat dan iradat yang dikurniakan oleh Allah SWT, mereka berpeluang untuk bersama kita di kebanyakan tempat dan ketika. Sebahagian daripada mereka telah tidak bersama lagi dengan kita di dunia yang fana ini. Kepada mereka yang telah tiada, kita doakan agar mereka sentiasa dicucuri rahmat, diampunkan dosa dan dikurniakan Syurga di Hari Akhirat nanti.

Bersempena Hari Raya Aidiladha dan Hari-hari Tasyrik, sama-samalah kita memohon kepada Allah SWT agar kita ditetapkan langkah untuk menelusuri hari-hari perjuangan yang menanti; agar diberi kekuatan untuk meneruskan tanggungjawab dan kewajipan; agar Allah SWT menerima segala amal ibadah kita, mengampunkan segala dosa kita dan mengekalkan kita semua di bawah lembayung redha dan kasih sayangNya.

Kolej as-Siddiq, UIAM, Gombak, Selangor
23 September 2015

Comments