Debat Bahasa Arab SMKA Kerian: Sebuah Iltizam yang Padu

Bengkel Debat Bahasa Arab SMKA Kerian
(Gambar: Kelab Debat dan Pengucapan Awam Bahasa Arab, UIAM)

Pertama kali saya mendengar nama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kerian adalah ketika menyertai Pertandingan Debat Bahasa Arab antara Sekolah Menengah Kementerian Pendidikan (KPM) 2011 anjuran bersama KPM dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Saya tidaklah terlalu mengenali sekolah tersebut sehingga diberi peluang untuk mengunjunginya 4 tahun kemudian. Ternyata saya teruja dan terpesona dengan SMKA Kerian. Jikalau yang mendengar cerita tentang sekolah tersebut dari kalangan mereka yang menuntut di sekolah premier cukup kagum, saya yang disempatkan untuk ke sana apatah lagi.

SMKA Kerian cukup bertuah kerana dikurniakan warga yang bersemangat waja. Bengkel Debat Bahasa Arab anjuran SMKA Kerian dengan kerjasama Kelab Debat dan Pengucapan Awam Bahasa Arab (ADC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), yang dianjurkan pada 12 dan 13 September 2015, adalah buktinya. Manakan tidak, lebih kurang 120 orang pelajar menyertai bengkel tersebut, yang turut melibatkan 24 orang pemudahcara dan penggerak daripada Kelab.

Walaupun debat dan pengucapan awam bahasa Arab amatlah sukar, mereka tetap terus tempuhi tanpa putus asa. Hasilnya, setakat pengamatan saya, amat memberangsangkan sesuai dengan aras kemampuan dan kefahaman mereka. Sebagai seorang penggerak program, saya percaya bahawa mereka telah mempelajari banyak perkara melangkaui debat bahasa Arab itu sendiri. Amatlah besar harapan saya agar mereka terus mencintai bahasa Arab dan membudayakan debat dan pengucapan awam dalam suasana yang penuh dengan nilai-nilai murni walaupun tidak selalu.

Setiap yang membaca mahupun mendengar cerita ini; lebih-lebih lagi mereka yang mencintai dan membudayakan bahasa Arab pasti kagum dengan kesungguhan SMKA Kerian dan warganya di medan ini. Selari dengan hasratnya untuk “Istiqamah Cemerlang”, SMKA Kerian, berbekalkan iltizam yang tinggi, berhasrat untuk menjadi sebuah sekolah yang bitara dalam bidang bahasa Arab. Maka, aktiviti debat dan pengucapan awam bahasa Arab adalah salah satu strateginya.

Usaha ini, secara tidak langsung, menyumbang kepada kejayaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, yang meletakkan penguasaan tiga bahasa oleh majoriti pelajar sebagai ukuran kejayaan sistem pendidikan negara. Usaha ini juga menunjukkan kesungguhan SMKA Kerian dalam melahirkan masyarakat berminda kelas pertama dan memartabatkan bahasa Arab di Malaysia, sekaligus mengekalkannya di tempatnya yang tersendiri.

Usaha sebegini haruslah diteladani oleh institusi-institusi pendidikan lain yang mempunyai hasrat yang serupa agar hasrat kita untuk mengekalkan martabat bahasa Arab di Malaysia terus menjadi kenyataan. Walaupun banyak lagi cabaran yang menanti, saya yakin bahawa SMKA Kerian atas terus “Istiqamah Cemerlang” dalam menjadikannya sebuah sekolah yang gemilang di Malaysia dalam bidang bahasa Arab. Mudah-mudahan segala yang dicita-citakan dipermudahkan.

Comments