Warkah buat Pendebat Bahasa Arab Junior

Adik-adik junior saya yang masih berada di bangku sekolah menengah, terutamanya mereka yang menyertai aktiviti debat dan pengucapan awam bahasa Arab, amat beruntung. Walaupun akademik menjadi komitmen utama, mereka masih diberi ruang dan peluang yang secukupnya untuk menceburkan diri dalam bidang tersebut, yang nyata memberi nilai tambah kepada setiap yang menceburinya.

Saya kagum dengan keazaman dan kesungguhan yang mereka miliki; lebih-lebih lagi mereka yang sudah bertahun-tahun lamanya meneruskan langkah dalam bidang ini di sekolah menengah. Mudah-mudahan, walaupun ada sahaja perkara yang perlu didahulukan dan diutamakan, mereka tidak putus harapan dan terus menyumbang di arena ini dengan apa jua cara. Jikalau tidak menjadi pendebat, jadilah pula penyokong, pendukung, penggerak, juruteknik, jurulatih mahupun hakim pertandingan.

Kehadiran mereka semua dalam arena ini amat bermakna pada saat dan tempatnya. Di arena ini, mereka bukan sahaja dilatih untuk menguasai bahasa Arab secara intensif dan efektif, bahkan juga dilatih untuk menguasai pelbagai kemahiran insaniah di samping untuk meningkatkan daya saing dan daya tahan. Di arena inilah kita peka dan cakna akan segala isu semasa, menganalisisnya secara mendalam dan rapi, berfikir secara kritis dan kreatif, berkomunikasi secara berhemah dan berkesan, serta menimbangtara segala perkara berdasarkan nilai profesionalisme.

Hakikatnya, debat ialah mengenai perbezaan pendapat dan pendirian. Walaupun begitu, debat tidak boleh dijadikan ukuran untuk mewujudkan ketegangan mahupun memutuskan ikatan silaturrahim sesama insan. Walaupun tujuan debat adalah untuk mencari kebenaran, debat seharusnya menjadi suatu medan untuk mempromosikan perpaduan dalam kepelbagaian, meraikan rasa saling hormat-menghormati dan kasih-mengasihi sesama insan serta mewujudkan persefahaman secara berkesan, barulah wujud semangat persahabatan dan persaudaraan.

Dari arena tersebut, akan lahirlah generasi yang berhemah tinggi, bersemangat waja, berkarisma, bersedia menghadapi cabaran, berdaya saing, berdaya tahan serta mengamalkan budi bahasa dan nilai-nilai murni. Buat adik-adik junior saya, teruskanlah usaha dalam apa-apa jua bidang yang diceburi; kelak menjadi manfaat dan nilai tambah jangka panjang kepada kalian. Mudah-mudahan segalanya dipermudahkan oleh Yang Maha Kuasa.

Inilah impian Malaysia dan rakyatnya, untuk melahirkan generasi masa hadapan yang mampu mengekalkan kedaulatan dan kemerdekaan Malaysia. Inilah juga impian Malaysia dan rakyatnya, untuk melihat masyarakat yang kekal bersatu-padu, mengamalkan semangat muhibbah, bersedia menghulurkan tangan persahabatan dan persaudaraan, berkongsi sehati sejiwa menempuhi pelbagai dugaan masa hadapan.

Walaupun Malaysia sarat dengan jurang perbezaan, Malaysia juga penuh dengan harapan dan kasih sayang. Menyedari hakikat ini, kita bersama dalam arena yang sama walaupun dengan halatuju yang berbeza. Walaupun sumbangan arena ini kepada Malaysia tidaklah sebesar mana, kehadiran dan sumbangan kita dalam arena ini amatlah bererti buat Malaysia. Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Jikalau impaknya tidak datang pasa masa kini, ia akan datang pada masa hadapan dengan izinNya.

Menyedari hakikat yang sama, kita sedar bahawa di sini lahirnya sebuah cinta; cinta yang membuahkan persaudaraan dan persahabatan sesama kita semua. Oleh hal yang demikian, kita meraikan dan memperingati kasih sayang yang memberi suntikan semangat kepada setiap yang menyayangi dan disayangi untuk meneruskan langkah perjalanan sehingga ke akhirnya, mencipta kejayaan demi kejayaan, membina seteguh keyakinan, melawan rintangan dengan segala kekuatan, memimpin bergandingan ke arah satu tujuan. Atas rasa inilah kita bina masyarakat yang bahagia dan negara yang tercinta. Teruskanlah berkongsi rasa ini. Kekalkanlah rasa ini dalam kalangan kita; mudah-mudahan dengan kasih sayang ini, Allah yang Maha Pengasih akan mengasihi kita semua, Malaysia dan seisinya.

Semoga Allah SWT terus mengurniakan semangat dan kekuatan kepada kita untuk mencapai hasrat murni kita, untuk menjadi yang terbaik dalam segala bidang yang diusahakan. Yakinlah bahawa Allah SWT akan menolong kita untuk sampai ke puncak kejayaan dengan restu dan redhaNya.

Kolej as-Siddiq, UIAM, Gombak, Selangor
30 Ogos 2015

Comments