Sehati Sejiwa Merentasi Warna-warni Pemikiran

(sempena IIUM Interschool Debating Championship 2015)

Pertandingan Debat antara Sekolah-sekolah Menengah Malaysia (IDC) kali ke-13, yang telah selamat dianjurkan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM/IIUM) pada 7-11 Ogos 2015 di UIAM, Gombak, Selangor, amat bersejarah buat diri saya dan semua yang terlibat.

Buat julung kalinya, UIAM menerima 53 buah sekolah seluruh Malaysia untuk bertanding dalam IDC bagi kategori Bahasa Arab. Itu pun setelah beberapa buah sekolah terpaksa menarik diri atas masalah-masalah yang tidak dapat dielakkan. Sesungguhnya perkara ini amat mencabar setiap yang menjadi Penggerak Pertandingan, termasuklah diri saya sendiri. Tidak pernah dalam sejarah UIAM, sejak wujudnya kategori Bahasa Arab dalam IIUM IDC pada tahun 2009, UIAM menerima penyertaan sebanyak itu. Begitu pun, berkat doa restu daripada semua, Alhamdulillah, segalanya telah Allah permudahkan.

Dalam kalangan mereka yang bertanding, hanya yang terbaik memperoleh kejuaraan dan anugerah-anugerah pencapaian. Tahniah saya ucapkan kepada mereka yang cemerlang. Tahniah juga saya ucapkan kepada semua yang bertanding atas pencapaian yang signifikan, iltizam yang padu, semangat yang jitu dan kesungguhan berterusan yang ditunjukkan. Semoga pencapaian yang diraih oleh setiap sekolah yang terlibat menjadi perangsang efektif dalam meneruskan kecemerlangan dalam bidang bahasa Arab dan bidang debat dan pengucapan awam.

Buat julung kalinya jua, Bahagian Pendidikan Islam (BPI), Kementerian Pendidikan (KPM) memberi hak penganjuran Pertandingan Debat Bahasa Arab antara Sekolah Menengah Kementerian Pendidikan kali ke-8 kepada UIAM setelah berjaya dilaksanakan 7 tahun berturut-turut dengan jayanya di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan. Pertandingan tersebut, kemudiannya, diserapkan menjadi IIUM IDC bagi kategori Bahasa Arab.

Oleh hal yang demikian, Penganjur Pertandingan menampilkan pelbagai kelainan. Pertama, usul perbahasan yang bersifat relevan dan terkini merangkumi pelbagai aspek kehidupan dan melibatkan pelbagai peringkat kemasyarakatan. Kedua, penumpuan lebih kepada cara pendebat mengemukakan, menghuraikan dan meringkaskan penghujahan. Ketiga, segmen mini bengkel debat Bahasa Arab yang mengisi ruang-ruang antara pusingan. Keempat, kehadiran hakim-hakim mewakili 4 buah Universiti dan 42 buah sekolah yang bertanding.

Semua ini menunjukkan hasrat kita, sebagai sebuah Taman Ilmu dan Budi, untuk melahirkan generasi berminda kelas pertama yang celik ilmu, yang cakna dengan isu semasa, yang mampu berfikir secara kritis dan kreatif dan yang mampu menguasai kemahiran bahasa dan komunikasi; sesuai dengan tema Pertandingan, “Warna-warni Pemikiran”. Dalam pada itu, kita jangan pula lupa hasrat kita untuk menjana masyarakat yang bertamadun, yang mengamalkan budi bahasa dan nilai-nilai murni dan yang mempunyai semangat kecintaan yang tinggi terhadap agama, bangsa dan negara.

Inilah aspirasi yang kita kongsikan bersama setiap yang menggerakkan, menghakimi dan menyertai pertandingan ini. Sesuai pula dengan tema sambutan Hari Kemerdekaan, “Sehati Sejiwa”, hasrat ini tidak harus berlegar hanya di sekitar Universiti ini, bahkan perlu kita sebarkan seluas mungkin agar menjadi teladan dan pengajaran yang berguna buat semua yang bersama kita di sini. Pada masa yang sama, kita raikan segala yang mereka hasratkan untuk kebaikan kita bersama. Di situlah, kita dapati betapa kita meraikan persahabatan, persaudaraan dan perpaduan sesama kita.

Buat julung kalinya juga, saya menerima kehadiran sekolah saya, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kota Kinabalu (SMKAKK), dalam IIUM IDC 2015. SMKAKK menghantar dua penyertaan; masing-masing satu bagi kategori Bahasa Melayu dan Bahasa Arab. Sudah 4 tahun lamanya SMKAKK tidak menghantar pasukan Debat Bahasa Arab ke mana-mana pertandingan.

Sebagai sebahagian daripada SMKAKK, walaupun sudah 3 tahun meninggalkan SMKAKK, saya berbesar hati untuk mengalu-alukan mereka semua. Sepanjang keberadaan mereka, saya cuba memberi sokongan dan dorongan semampu mungkin; bukanlah untuk mencari kemenangan, tetapi untuk membawa semua merasai lonjakan pemikiran dan kemahiran yang sedang berlaku di alam persekolahan kita agar mereka merasai arus pendidikan yang sedang kita harungi.

Sebagai seorang warga Universiti, saya bersyukur dan berbangga. IIUM IDC 2015 merupakan suatu rekod cemerlang buat Malaysia, khususnya buat UIAM. Itu semua kerana limpah kurnia Yang Maha Esa, dan berkat doa, sokongan dan dorongan yang dipersembahkan oleh setiap yang menjadi peserta, guru pengiring, hakim, penggerak, jurukira markah, penonton mahupun penaja.

Saat semua yang hadir bersatu suara menyanyikan lagu Universiti, saya berbangga kerana berpeluang berkongsi satu hati dan satu suara dengan mereka semua; ke arah masyarakat yang berilmu, yang meneladani Rasulullah SAW, “Rahmatan lil Alamin” (Rahmat buat sekalian alam).

Saat selesainya IIUM IDC 2015, saya berkongsi rasa gembira ini bersama mereka semua, lebih-lebih lagi bersama sahabat sejati saya dan adik-adik yang masih di bangku sekolah saya.

Comments