Sebagai Warganegara Malaysia


Sebagai warganegara Malaysia, saya sayang ibu pertiwi sepenuh hati saya. Selagi hayat dikandung badan, saya berikrar untuk terus menumpahkan taat setia saya yang tidak berbelah bahagi kepada Malaysia; dan melindungi serta mempertahankan Perlembagaannya.

Bukan mudah untuk mengasaskan dan membangunkan sebuah Persekutuan Malaysia yang berdaulat dan merdeka. Bukan juga mudah bagi Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara dan Sarawak untuk mencapai kemerdekaan dan berkerajaan sendiri meskipun pada tarikh dan tahun yang berbeza. Bukan juga mudah bagi kita untuk menjaga dan mengekalkannya; dan untuk menjadikannya sebuah negara yang stabil, utuh dan teguh untuk selama-lamanya.

Semua itu menuntut iltizam yang padu, semangat yang jitu, pengorbanan bersama keikhlasan dan perjuangan yang berterusan. Sama-samalah kita berterima kasih kepada generasi lampau kita, sama ada yang masih bersama kita di sini mahupun yang sudah mendahului kita semua. Tanpa diminta dan tanpa berkira, mereka telah mengorbankan apa-apa sahaja yang mereka ada, melebihi harta dan nyawa, demi tanah air tercinta. Ingatlah, barangsiapa yang berterima kasih kepada manusia, sesungguhnya dia juga berterima kasih kepada Yang Maha Esa.

Hasilnya kita dapat lihat dan rasai pada hari ini walaupun tidak semua. Hasil jerih-perih generasi silam dan generasi kini, Alhamdulillah, segalanya telah dipermudahkan dan dimurahkan untuk tanah air kita. Walaupun negara kita sentiasa diuji dengan pelbagai cabaran dan dugaan, kita masih diberi kehidupan yang selesa dan mencukupi. Berterima kasihlah kepada Yang Maha Mengasihani atas kasih sayangNya kepada kita semua. Barangsiapa yang berterima kasih kepada Ilahi, sesungguhnya dia juga berterima kasih kepada dirinya sendiri.

Begitu pun, pada saat kita sedang menuju wawasan yang murni, masih banyak perkara yang perlu kita perjuangkan secara kolektif untuk negara kita dalam pelbagai bidang. Oleh hal yang demikian, perjuangan mesti diteruskan selagi diberi ruang dan peluang, membawa bersama kesucian niat dan ketulusan hati, ke arah Malaysia yang lebih baik.

Sekarang adalah masanya untuk kita membela tanah air kita berbekalkan segala yang kita punya. Sekarang jugalah masanya untuk kita menjadi penyelesai masalah, bukannya pembuat mahupun penambah masalah. Sekarang jugalah masanya untuk kita, di mana-mana dan pada bila-bila pun, untuk menyumbang kepada negara. Jangan tanya apakah sumbangan negara kepada kita, tetapi tanyalah, apakah sumbangan kita kepada negara; kerana sesungguhnya setiap sumbangan kita kepada negara adalah suatu sumbangan negara untuk kita kembali.

Negara kita sedang pesat membangun, menuju Wawasan 2020, menjadikan Malaysia sebuah negara maju berpendapatan tinggi. Untuk merealisasikan hasrat tersebut, negara kita memerlukan suatu kerangka ekonomi yang kukuh, relevan dan praktikal, yang membolehkan seluruh rakyat berkongsi kekayaan dan kemewahan secara adil dan saksama, setimpal dengan usaha yang dipacu oleh mereka. Agar negara kita mampu menghampiri kadar kemiskinan sifar, dan agar negara kita mampu menghampiri kadar perkapita negara, kita mahu semua turut serta membantu negara mencapai hasratnya.

Pada masa yang sama, kita mahu melihat sebuah negara Malaysia yang bertamadun dan beretika. Masyarakatnya memiliki minda kelas pertama, mempraktikkan budi bahasa, mengamalkan nilai-nilai murni dan mempunyai semangat juang dan daya tahan yang tinggi. Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan nilai sosial dan keilmuan. Kita tidak mahu nilai-nilai tersebut dilunturkan oleh kekayaan ekonomi dan kemajuan politik negara kita. Pada saat negara kehilangan nilai sosialnya, apakah lagi ertinya pada nilai ekonomi dan politik yang negara kita miliki?

Kita juga mahu melihat Malaysia yang kekal bersatu padu dan masyarakatnya yang kekal berkongsi sehati sejiwa. Selain memiliki kekayaan nilai sosial dan keilmuan, Malaysia juga memiliki kekayaan kepelbagaian. Selama Malaysia masih tercatat dalam peta dunia, Malaysia memiliki masyarakat yang berbilang bangsa, agama, keturunan, warna kulit, falsafah dan ideal. Sebagai masyarakat Malaysia, kita harus berbangga dengan kepelbagaian ini.

Namun, kita kecewa apabila melihat kepelbagaian yang negara kita miliki semakin hilang nilainya angkara tangan yang durjana. Akhir-akhir ini, kita telah menyaksikan pelbagai isu sensitif dan prejudis, yang mengguris hati dan jiwa kita semua, lebih-lebih lagi golongan yang mendapat tempiasnya. Sebagai warga Malaysia yang mencintai Malaysia, kita tidak sepatutnya melakukan perkara tersebut. Sedarlah, kerana nila setitik, rosaklah susu sebelanga. Bukan mudah bagi kita untuk menjaga nilai kepelbagaian yang negara kita miliki.

Benarlah kata orang, bukan mudah untuk membina sebuah pencakar langit; tetapi mudahnya untuk meruntuhkannya. Begitu jugalah tanah air kita. Di sinilah tempat kita dilahirkan, dibesarkan, diajarkan ilmu dan hikmah dan diterapkan dengan ajaran agama, budaya bangsa dan falsafah kehidupan. Di sini jugalah tempat kita meningkatkan amal ibadah, menyumbang khidmat bakti, mencari rezeki yang halal, membentuk jati diri dan memberi pengajaran berguna kepada generasi mendatang. Bukan mudah bagi orang-orang terdahulu untuk membina tanah air yang bertuah ini. Jikalau kita gagal mempertahankan tanah air ini, maka runtuhlah ia.

Oleh hal yang demikian, siapa-siapa pun kita, di mana-mana pun kita, pada bila-bila pun kita berada, dan apa-apa pun ideal dan falsafah yang kita percayai, ingatlah, kita adalah satu; rakyat Malaysia. Sebagai rakyat Malaysia, adalah menjadi amanah dan tanggungjawab kita untuk mempertahankan kampung halaman ini dengan apa-apa cara sekalipun; tidak semestinya dengan menghunus senjata sahaja.

22 Julai merupakan Hari Kemerdekaan Sarawak. 31 Ogos pula merupakan Hari Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dan Borneo Utara, manakala 16 September merupakan Hari Malaysia. Sempena memperingati kesemua tarikh tersebut, berterima kasihlah kita semua kepada Tuhan Alam Semesta kerana menjadikan Malaysia sebuah negara yang berdaulat dan merdeka, kekal utuh dan teguh di astaka dunia, tempat kita terus berkongsi sehati sejiwa. Ya, di sini lahirnya sebuah cinta.

Kolej Zubair al-Awwam, UIAM, Gombak, Selangor
3 Ogos 2015

Comments