Debat Musleh 2015: Cerminan Semangat Persahabatan

Debat Musleh 2015 bagi kategori Bahasa Arab

Saya fikir perjuangan mereka cukup setakat di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM/IIUM) Gombak sempena Pertandingan Debat antara Sekolah-sekolah Menengah Malaysia (IDC) kali ke-13. Rupanya ada yang tidak mahu ketinggalan. Oleh sebab itu, tanpa dijangka, mereka kembali bersama walaupun di tempat yang berbeza.

Asalnya, kita menjangkakan penyertaan 20 buah pasukan dari Malaysia, Singapura dan Indonesia. Namun begitu, pada saat-saat akhir, sampailah pula berita kepada saya bahawa terdapat dua buah pasukan tambahan dari Malaysia yang akan menyertai pertandingan berkenaan. Walaupun berita ini cukup mengejutkan, berita ini cukuplah pula mengujakan; itu pun setelah mendapat maklumat mengenai dua pasukan tersebut. Berita ini jugalah yang membuatkan saya tertanya, “Adakah ini mimpi atau realiti?”

Itulah antara kisah yang memenuhi lembaran sejarah saya ketika berlangsungnya Pertandingan Debat Pelajar Antarabangsa Musleh (MISDC) kali ke-7 pada 20-23 Ogos 2015 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur dan Hotel Putra, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Seperti tahun-tahun sebelumnya, UIAM merupakan rakan kongsi bagi MISDC, di samping UTM dan Pusat Kecemerlangan Pendidikan Antarabangsa (ICEE).

MISDC ke-7 mengekalkan tema “Ke Arah Kecemerlangan Pemimpin Mithali” kerana menyedari aspirasi umat Islam dan rakyat Malaysia yang memerlukan kepada pemimpin-pemimpin yang mampu berkomunikasi dengan berkesan, yang mampu berfikir secara kritis dan kreatif, yang peka akan segala isu dan peristiwa yang melanda pada masa kini dan masa hadapan, dan yang sentiasa bersedia dan berdaya tahan dalam menghadapi pelbagai cabaran. Melalui aktiviti debat dan pengucapan awam bahasa Arab sebegini, kita mencuba sedaya upaya melahirkan pemimpin yang mempunyai karisma dan sifat sedemikian rupa.

MISDC ke-7 mempunyai keunikannya seperti yang berlaku pada MISDC yang sudah. Penyertaan sekolah-sekolah dari Brunei, Indonesia, Singapura dan Thailand dalam MISDC mencerminkan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2015 dalam mengukuhkan serta mengeratkan hubungan sesama negara ASEAN melalui aktiviti berunsurkan pendidikan dan kepimpinan. Ia juga membuktikan bahawa pendidikan mampu menyatukan negara-negara ASEAN, sekaligus membawa ASEAN ke arah menjadi sebuah entiti antarabangsa yang unggul di persada dunia.

MISDC ke-7 menyaksikan banyak muka baru yang tidak boleh disangkal kebolehannya; tidak kurang juga mereka yang pernah bersama MISDC pada siri yang lepas tetapi menunjukkan peningkatan yang signifikan. Ini suatu pencapaian yang memberangsangkan bagi para guru dan pelajar yang terlibat. Sekalung tahniah diucapkan kepada mereka semua atas pencapaian sebegini rupa. Teruskan usaha dan doa; mudah-mudahan segala cita dan cinta dimudahkan dan dirahmati Yang Maha Kurnia.

Sekalung tahniah juga diucapkan kepada mereka yang layak menempatkan diri ke pusingan kalah mati; lebih-lebih lagi mereka yang merangkul kejuaraan dan pencapaian dengan penuh bergaya. Kepada yang lain, tahniah juga diucapkan kerana berjaya mengharungi pertandingan ini dengan jayanya. Sesungguhnya ukuran MISDC (dan kejohanan debat yang lain) bukanlah pada kecemerlangaan yang ditempa oleh seseorang mahupun sesebuah pasukan, tetapi pada manfaat jangka panjang yang diterima hasil daripada MISDC kali ini.

Sebagai sebahagian daripada MISDC ke-7, saya cukup bertuah. Walaupun hanya diberikan kesempatan yang seketika, segalanya mungkin. Walaupun hanya menjadi seorang hakim bagi kategori bahasa Arab, seperti pada dua siri yang lepas, saya ada kenangan di situ bersama para guru dan pelajar yang terlibat, serta para penggerak yang bertungkus-lumus menjadikan MISDC ke-7 suatu kejayaan buat penganjur, Malaysia dan ASEAN. Terima kasih kepada mereka yang berkenaan atas segala kenangan itu, lebih-lebih lagi buat Aiman Arif Adnan, salah seorang daripada 66 orang pendebat MISDC ke-7 bagi kategori bahasa Arab. Mudah-mudahan Allah kekal merestui kita semua dengan rahmat, keampunan dan kasih sayangNya.

Kolej as-Siddiq, UIAM, Gombak, Selangor
25-27 Ogos 2015

Comments