Erti Syawal bagi Yang Jauh


Saat berlalunya Ramadhan, bulan untuk menggandakan amal ibadah dan khidmat bakti, tibalah masa bagi umat Islam meraikan Hari Raya Aidilfitri. Oleh sebab Takbir Aidilfitri hanya dilaungkan selama sehari semalam, maka Hari Raya Aidilfitri hanyalah pada 1 Syawal; selebihnya hanyalah sambutan meraikan bulan Syawal. Seperti yang lain, keluarga menjadi golongan pertama, tempat kita semua menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Terima kasih, Ilahi, kerana memberi kesempatan kepada saya untuk bersama keluarga menyambut Hari Lebaran bersama-sama di kampung halaman. Walaupun saat itu cuma seketika, kehadiran mereka pada Hari Lebaran amat bermakna bagi saya; lebih-lebih lagi, apabila mereka datang lebih seribu batu jauhnya, meninggalkan tanah air, hanya untuk kembali ke kampung halaman. Bagi mereka yang hilang minda dan jiwanya, mereka tidak menghargainya; menghiraukannya apatah lagi.

Hari Raya Aidilfitri saya di kampung halaman sungguh meriah; apatah lagi di rumah sendiri. Di mana-mana pun Hari Raya Aidilfitri disambut, kemeriahan tetap dirasai. Sanak-saudara dan sahabat handai tidak putus-putus datang meneruskan silaturrahim, mengeratkan hubungan dan berkongsi rasa sukacita sesama sendiri.

Begitu pun, bagi saya, kemeriahan Hari Raya Aidilfitri mahupun hari-hari yang berikutnya di bulan Syawal terhad setakat di kampung halaman dan di rumah sendiri; dan terhad setakat bersama ahli keluarga dan sanak-saudara. Bagi mereka yang lebih bernasib baik, mereka menikmati Syawal yang lebih meriah bersama para sahabat dan rakan, bahkan lebih daripada itu; dan menjangkaui kemeriahan di kampung halaman dan di kediaman.


Kepada yang dikurniakan sahabat dan rakan dan ramai dan disempatkan untuk menyambut Syawal bersama mereka, berterima kasihlah kepada Ilahi. Sesungguhnya mereka inilah dari kalangan yang amat bertuah di bulan Syawal kerana diberi kesempatan yang cukup untuk meneruskan silaturrahim sesama mereka biarpun sudah lama tidak berjumpa. Saya gembira apabila memerhatikan khabar setiap orang yang saya kenali; betapa Syawal mereka meriah saat mereka menyambutnya bersama para sahabat dan rakan. Itulah perkara yang sering dikongsi saat menjengah media sosial.

Pada masa yang sama, ingatlah, masih ada lagi yang berdukacita di bulan Syawal yang sukacita ini. Ada dari kalangan kita yang kehilangan mereka yang tersayang. Ada dari kalangan kita yang harus terus mencari rezeki di tengah-tengah sambutan Hari Raya Aidilfitri; lebih-lebih lagi mereka yang berada di perbatasan, lautan dan langit biru. Ada dari kalangan kita yang harus mengembara jauh dari tanah air semata-mata untuk mencari ilmu dan menimba pengalaman. Lebih daripada itu, ada dari kalangan kita yang menyambut Syawal sebatang kara.

Kepada mereka yang kehilangan, kita kongsi rasa dukacita, ingatan dan doa bersama mereka. Kepada yang meneruskan khidmat di tengah-tengah cuti umum, terima kasih banyak-banyak diucapkan kerana masih sudi mengabdi kepada agama, bangsa dan negara di kala mereka harus juga menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama-sama. Kepada yang mengembara, teruskanlah menikmati Syawal di perantauan bersama rakan-rakan senegara dan penduduk-penduduk serantau, nescaya ada hikmah yang akan ditemui.

Walaupun diberi ruang dan peluang menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Syawal bersama keluarga dan sanak-saudara, saya adalah antara mereka yang tidak punya apa-apa lagi setelah berlalu 3 hari di bulan Syawal. Tugas dan tanggungjawab saya kepada agama, bangsa dan negara mengatasi kemeriahan Syawal yang mulia. Oleh hal yang demikian, saat ayahbonda dan keluarga saya kembali ke rumah, apakah lagi erti Syawal, bagi saya, melainkan di pejabat dan di kolej kediaman universiti?

Ini bukanlah suatu pengorbanan walaupun inilah pengorbanan bagi mereka yang benar-benar memberi erti kepada nilai amanah yang tiada taranya. Tetapi, inilah kewajipan buat saya; lebih-lebih lagi buat seseorang yang terikat dengan sumpah setia saya untuk mengabdi kepada Tuhan, bangsa dan negara Malaysia. Saya tidak sedikitpun kecewa mahupun sesali.

Sebagai seorang pemimpin pelajar universiti yang dipertanggungjawabkan terhadap sesuatu wilayah dan masyarakatnya, saya harus dan akan terus harunginya biarpun, sepatutnya, seorang mahasiswa universiti seharusnya menggunakan masa-masa senggang yang ada di bulan Syawal untuk meneruskan perayaan bulan Syawal bersama yang lain. Walaupun begitu, saya mencuba sedaya upaya saya untuk memberi fleksibiliti pada jadual kerja sekaligus meneruskan tradisi bulan Syawal bersama para sahabat dan rakan, lebih-lebih lagi mereka yang saya anggapkan sebagai 'adik-beradik' saya.

Oleh kerana saya terikat dengan kewajipan, saya terikat dengan jadual harian. Oleh sebab itu, untuk mengadakan sesuatu aktiviti, saya akan membuat perancangan awal sebaik mungkin agar saya dapat melakukan sesuatu aktiviti dengan jayanya. Dalam konteks bulan Syawal, seandainya saya ingin menziarahi seseorang di suatu tempat, saya akan buat perancangan awal agar saya dapat meraikan Syawal dalam suasana penuh kasih sayang dan harmoni. Saya boleh sahaja memilih untuk datang secara mengejut, namun risiko kembali kepada diri sendiri.

Merancang sesuatu bukanlah mudah kerana takdir Allah senantiasa mengatasi tadbir hamba-hambaNya yang tidak punya apa-apa. Sekiranya suatu perancangan terbatal pada saat-saat akhir, bukan mudah bagi saya untuk merancang ziarah Syawal pada hari lain berikutan jadual harian yang agak tidak mengizinkan untuk berbuat demikian. Akhirnya, erti Syawal bagi saya kembali ke universiti. Ini suatu perkara yang amat mengecewakan saya.

Walau bagaimanapun rasa kecewa dan dukacita saya, itulah hakikat kehidupan yang saya harus harungi. Tiada lagi beza hari belajar, hari bekerja mahupun hari cuti. Maka, diri sendiri yang akhirnya bertanggungjawab atas segala amanah dan kewajipan yang harus disempurnakan. Walaupun begitu, ini semua tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada saya untuk meneruskan tradisi Syawal sementara masih ada.

Selama ini, di mana-mana pun, saya menyambut Hari Raya Aidilfitri dan bulan Syawal bersama keluarga dan sanak-saudara. Jikalau berteman, adalah 2-3 orang sahabat yang sudi bersama saya dalam sambutan tersebut. Selebihnya mempunyai cita dan cinta mereka yang tersendiri. Ayahbonda dan adik-beradik saya amat beruntung kerana mereka semua mempunyai sahabat dan rakan yang ramai, tempat berkongsi rasa gembira kerana kehadiran bulan Syawal. Saya sering menyaksikannya.

Selagi masih ada Syawal, saya akan teruskannya dengan cara saya sendiri. Sempena hari baik dan bulan baik, dengan rendah hati, saya memohon berbanyak kemaafan daripada semua atas segala kesalahan dan kesilapan, kelemahan dan kekurangan yang ada pada diri saya. Sesungguhnya saya sedikitpun tidak berniat untuk melukakan hati bahkan menyalahkan sesiapapun dalam segala hal, lebih-lebih lagi dalam hal ini.

Pada kesempatan yang sama, saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada mereka yang sudi menerima saya mahupun memeriahkan suasana Syawal saya yang cukup suram ini. Saya gembira kerana dapat meraikan ukhuwwah, berkongsi “Sehati Sejiwa” bersama mereka yang berkenaan. Mudah-mudahan Allah kekalkan kasih sayangNya bersama mereka atas kesudian mereka berkongsi cita dan cinta bersama saya, lebih-lebih lagi di bulan Syawal yang mulia ini.

Kolej Zubair al-Awwam, UIAM, Gombak, Selangor
Khamis, 23 Julai 2015, jam 8.09 pagi

Comments