UIAM Petaling Jaya: Kami Ada Kenangan

(memperingati UIAM Petaling Jaya, Jun 2012 hingga Oktober 2013, dan meraikan warga baru Pusat Asasi, UIAM, kemasukan Jun 2015)


UIAM Petaling Jaya adalah kenangan terindah bagi saya. Sampai ke saat ini, saya masih mengingatinya. Oleh sebab itu, selagi ada ruang dan peluang, saya akan kembali.

Saya sedar; jikalau saya kembali ke sana, saya sudah tidak punya siapa-siapa lagi melainkan mereka yang menjadi warga kerja di sebelah sana. Sebagaimana saya sudah berlalu pergi, mereka semua yang saya temui di sana pun sudah berlalu pergi; masing-masing ada cita dan cinta yang tersendiri. Itulah hakikat yang perlu diterima.

Tetapi, tak mengapa. Kami ada peninggalan di situ meski yang ditinggalkan itu bukanlah benda yang nyata; bukanlah untuk dikenang, tetapi sekadar untuk direnung oleh generasi mendatang.

UIAM Petaling Jaya hanyalah sebuah kawasan yang kecil dan berkepadatan tinggi. Walaupun begitu, kami ada kenangan. Tak mengapa andai mereka melupainya saat ini. Mereka akan mengingatinya saat tiba masanya kerana itu semua telah terkandung dalam kamus kehidupan mereka; berguna di hari muka. Itu yang paling penting sebenarnya.

Saya ada kenangan di situ, saat saya menuntut di sana pada Jun 2012 hingga Oktober 2013. Itulah zaman terindah bukan sahaja bagi saya, tetapi juga bagi setiap yang pernah bersama saya dalam apa-apa pun arenanya, terutamanya dalam arena kepimpinan kolej kediaman serta debat dan pengucapan awam bahasa Arab.

Jangan dicari lagi pada zaman ini, kerana itu semua telah berlalu. Semua itu sudah tidak lagi bersama mereka pada generasi terkini. Biarlah mereka mengukir kenangan dan pengajaran dengan corak yang tersendiri.

Itu sahajalah harapan yang datang dari hati kecil saya apabila diberi kesempatan menyaksikan hari-hari pendaftaran pelajar baru Pusat Asasi, UIAM, tahun akademik 2015/2016. Lebih-lebih lagi, apabila mengucapkan selamat datang dan beramah mesra dengan mereka yang baru mahu melihat alam kehidupan yang baru, yang sungguh berbeza.

Salah seorang daripada mereka adalah yang pernah bersama saya dalam kelas di sekolah menengah dahulu. Salah seorang lagi adalah yang bersama saya dalam Debat Musleh 2014; menjadi warga kerjanya.

Saat mereka melangkah kaki ke sana, saat itu jugalah mereka menjadi milik Gerbang ke Taman Ilmu dan Budi, tempat mereka memulakan hidup baru, melangkah ke arah sasaran yang baru, mengukir cita dan cinta yang juga baru. Pendek kata, segalanya baru.

Saya sukacita menerima mereka di sana. Akhirnya, mereka menjadi sebahagian daripada prinsip Islamisasi, Integrasi, Pengantarabangsaan dan Kecemerlangan Komprehensif (IIICE) yang digagaskan oleh Universiti sejak sekian lama.

Mereka bukanlah pewaris saya. Tiada apa-apa yang mereka warisi daripada saya. Mereka hanyalah mewarisi generasi yang baru berlalu; menyambungnya agar menjadi serba baru dan bermutu.

Tiada apa-apa lagi yang hendak dititipkan melainkan harapan, agar perjalanan mereka di Taman Ilmu dan Budi direstui senantiasa oleh Ilahi hendaknya, sekaligus menjadikan mereka dari kalangan yang bermanfaat kepada umat pada masa muka.

Kolej Zubair al-Awwam, UIAM, Gombak, Selangor
27-28 Jun 2015

Comments