Memento: Mesej dari Beiwai

Semoga Memento (Muhammad Badrulhafiz Khairi, 2015) bermanfaat kepada mereka yang menyelami erti sebenar persaudaraan dan persahabatan. Memento merupakan sebuah filem pendek yang diterbitkan hasil usahasama para mahasiswa Malaysia di Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU), China.

Alam persaudaraan dan persahabatan penuh dengan kenangan dan pengajaran. Itulah yang boleh difahami seputar kisah hidup Ahmad Fahmi Abdul Harim (Fahmi) dan Nur Aiman Fauzi Ahmad (Aiman) dalam Memento.

Bermulanya mereka dalam keadaan yang tidak pasti. Aiman merupakan seorang yang amat menghargai nilai persaudaraan dan persahabatan, berlawanan pula dengan Fahmi yang, mungkin kerana sejarah lamanya, menjadi yang sebaliknya. Hadirnya Aiman dalam hidup Fahmi membuatkan kehidupannya menjadi lebih bererti meskipun tidak semua muka surat persahabatannya dengan Aiman berwarna-warni; ada sebabnya.

Saat mereka meninggalkan sesama sendiri kerana mempunyai jalan perjuangan yang tersendiri, saat itulah Fahmi semakin mengerti betapa indahnya berkongsi ikatan persahabatan bersama Aiman sepanjang zaman persekolahan menengahnya; sekaligus semakin merindui Aiman yang berada di kejauhan.

Sebagaimana Aiman menjadi kenangan kepada Fahmi dalam cerita ini, begitulah Aiman kepada saya saat mengimbau kembali zaman kanak-kanak saya.

Diringkaskan cerita, saya dan Aiman pernah berkongsi sekolah rendah agama yang sama di tepi pekan Tuaran, Sabah; sekaligus berkongsi sebahagian daripada zaman kanak-kanak bersama. Walaupun hanya seketika, kisah yang kami ukir sama-sama (walaupun dengan cara dan senario yang berbeza) tetap tertulis dalam kitab sejarah kehidupan.

Saat kami mencecah usia remaja, sepertimana saya mempunyai cita dan cinta yang tersendiri, begitulah Aiman; begitulah juga sahabat-sahabat kami yang lain - sekadar menyebut beberapa nama: Muhammad Qusyairie Ruslan, Muhammad Marzuki Muhammad Izzuddin, Mohd. Hajshaari Midin dan ramai lagi - yang pernah bersama kami di sana dulu; sampai ke saat ini.

Zaman kanak-kanak cukup indah buat saya. Walaupun, pada saat itu, apalah sangat yang kami mengerti dalam kehidupan itu, kami tetap ada kenangan di zaman itu; menjadi pengajaran pada hari ini. Tiada apa-apa yang mampu diungkap melainkan ucapan terima kasih kepada mereka semua kerana menjadi sebahagian daripada diri ini dan hidup diri ini. Mudah-mudahan Allah mengurniakan kita kasih sayangNya atas kesudian kita berkongsi kasih sayang kita sesama yang lain.

Kolej Zubair al-Awwam, UIAM, Gombak, Selangor
29-30 Jun 2015

Comments