Membuka Lembaran Sejarah

(memperingati 13 Jun 1994)


Terima kasih, Ilahi, kerana masih memanjangkan usia zaman diri ini. Terima kasih, ya Rasulullah, kerana meninggalkan saya dan sekalian insan dengan dua warisan yang abadi, kekal dalam sanubari.

Hari ini, pada tahun 1994, menjadi sejarah buat ayahbonda saya. Lalu, bermulalah sejarah diri saya, yang kemudiannya menjadi sebahagian daripada sejarah keluarga saya. Semua hari yang berlalu selama itu juga telah menjadi sejarah hitam putih dan berwarna bagi saya. Hari ini, sedar tidak sedar, bermulalah zaman baru yang memerlukan kepada hasrat yang baru berserta semangat yang baru.

Sedar tidak sedar juga, mengenangkan hari-hari kebelakangan, saya merupakan sebahagian daripada sejarah-sejarah yang lain; bukan untuk dijulang megah dan bangga, tetapi untuk penghayatan dan renungan mereka yang berada di masa muka.

Menjadi diri sendiri dalam hidup ini bukanlah perkara yang mudah. Kita tidak punya apa-apa melainkan apa-apa yang dikurniakan oleh Yang Maha Kurnia dengan limpah kurniaNya. Maka, dengan sedaya upaya, saya menjadi diri saya sendiri yang hidup menurut definisi yang telah saya tegakkan dari mula. Mudah-mudahan usia saya mempunyai erti yang unik dan berbeza. Terpulanglah kepada semua untuk menerima mahupun sebaliknya.

Agar kehidupan ini menjadi lebih bererti, berbekalkan semangat waja dan azam membara, saya melalui saat suka duka seorang hamba Maha Pencipta, menyelusuri pahit manis seorang kembara, menuntut ilmu berharga dan pengalaman berguna, berkelana ke serata negara, bertemu dengan segenap manusia merentasi pelbagai jurang beza, berkongsi segala cita dan cinta, ke arah mengejar redha Yang Maha Kuasa.

Begitu pun, saya tidak dapat lari daripada kenyataan bahawa saya hanyalah seorang manusia biasa yang tidak dapat lari daripada salah dan dosa. Menyedari hakikat ini, saya dengan rendah diri memohon berbanyak keampunan daripada Allah SWT, dan memohon berbanyak kemaafan daripada kalian semua atas semua kesalahan, kesilapan, kekurangan dan kelemahan diri ini selama ini. Yakinlah, saya dengan sedaya upaya akan memperbaiki diri saya dengan sebaiknya.

Sempena ulangtahun kelahiran ini, ingin saya ucapkan terima kasih saya yang tidak terhingga kepada ayahbonda saya. Selama ini, mereka berdua telah banyak berkorban untuk diri saya; menerima saya dalam apa-apa keadaan sekalipun. Meskipun tidak menjadi guru sebenar, merekalah guru pertama saya di dunia ini yang mengajarkan segalanya yang esensi buat diri saya.

Begitu juga buat adik-beradik dan sanak-saudara saya di serata negara. Sebahagian daripada mereka tidak lagi bersama kita di dunia ini. Segala nasihat, dorongan, sokongan dan doa mereka semua amat berharga dalam menyelusuri perjalanan hidup ini.

Begitu jugalah kepada setiap yang bergelar pendidik, di mana-mana dan pada bila-bila pun selama ini saya dididik dan dilatih. Selama menuntut ilmu dan pengalaman, saya mengerti, betapa tingginya dan mahalnya nilai pendidikan dalam kehidupan; dan betapa sukarnya meneruskan kehidupan tanpa ilmu dan pengalaman.

Terima kasih saya juga yang tidak terhingga buat para sahabat, kawan dan rakan. Kehadiran mereka di tengah-tengah dunia menyerikan lagi hari-hari saya dalam kehidupan. Sebahagian daripada mereka merupakan sebahagian daripada jiwa saya, tempat saya berkongsi kasih sayang saya, meski cita dan cinta saling berbeza.

Kepada yang lain yang tidak disebutkan, saya berterima kasih juga kerana memainkan peranan tersendiri dalam menuliskan lembaran sejarah saya. Segala doa, nasihat, dorongan, sokongan, bantuan dan kasih sayang yang diberikan kepada saya selama ini amatlah saya hargai. Tanpa itu semua, mana mungkin saya boleh pergi lebih jauh lagi; lebih-lebih lagi ketika berseorangan diri, meski berseorangan diri sentiasa menjadi pilihan hati.

Semoga Allah memanjangkan lagi usia zaman saya untuk masa yang berbaki. Semoga Allah mengampunkan dosa dan noda saya dari dulu hingga kini dan nanti. Semoga Allah menerima semua amalan saya di kebelakangan, di masa kini dan masa hadapan. Semoga Allah terus mengurniakan saya kekuatan dan pertolongan untuk meneruskan kehidupan yang penuh dengan cabaran dan dugaan.

Semoga Allah merestui kita semua dengan rahmat, keampunan dan kasih sayangNya, dan semoga Allah menyayangi setiap insan yang menyayangi diri ini seadanya.

AWANG ABDUL MUIZZ BIN AWANG MARUSIN
Tuaran, Sabah

13-14 Jun 2015

Comments