Guru: Membina Ilmu, Menyempurnakan Akhlak

(sempena Hari Guru 2015)


Maha Suci Allah, sebaik-baik guru
Kaulah yang memberi tunjuk ajar dengan pena sejak mula
Kaulah yang mengeluarkan minda (dan jiwa) ini dari gelap kelabu
lalu membawa kedua-duanya menuju jalanNya yang bercahaya.

(Ahmad Syauqi)

Segala puji dan syukur dipanjatkan ke hadrat Allah SWT. Dialah yang menciptakan Islam sebagai sebuah agama yang mempunyai cara hidup yang lengkap meliputi seluruh aspek kehidupan. Dialah yang memilih Rasulullah SAW sebagai kekasihNya. Dialah juga yang mengajarkan Rasulullah SAW tulis baca. Dengan ilmu itulah, Rasulullah SAW diangkat menjadi utusan Allah dan guru kepada seluruh umat Baginda di serata dunia.

Selawat dan salam setulusnya disampaikan ke atas Rasulullah SAW, kaum kerabat dan para sahabat Baginda yang teramat mulia. Hadir Baginda SAW di tengah-tengah dunia sedikitpun tidak sia-sia, bahkan menjadi pedoman dan pengajaran buat hari muka. Meski Baginda seakan tak punya apa-apa, al-Quran dan as-Sunnah yang Baginda tinggalkan adalah bukti cinta Baginda kepada kita. Betapa murninya kasih sayang Baginda kepada umat Baginda. Betapa berertinya peninggalan Baginda buat kita semua.

Rasulullah, dalam mengenangmu
kami susuri lembaran sirahmu
pahit getir perjuanganmu
membawa cahaya kebenaran

(Hijjaz, Rasulullah, 1997)

Kita adalah umat yang terpilih, umat kepada sebaik-baik pendidik dari kalangan manusia, di zaman yang terpilih. Dialah yang Siddiq (jujur), Amanah (bertanggungjawab), Tabligh (menyampaikan) dan Fatanah (bijaksana). Dialah Rahmat buat Seluruh Alam, yang membawa manusia keluar daripada kegelapan, menuju cahaya kebenaran. Dengan penuh cekal dan sabar, Baginda membawa diri menyelusuri setiap langkah menyampaikan ilmu dan hikmah kepada segenap insan.

Berbekalkan keazaman yang membara dan semangat waja, Baginda menempuh pelbagai mehnah dan tribulasi untuk mengembangkan dan mengaungkan Islam. Baginda tidak keseorangan; bahkan memiliki para sahabat yang setia. Ketaatan dan kesetiaan mereka sungguh luar biasa. Apa-apa pun yang berlaku, mereka tetap menjadi satu, berpegang kepada ikrar taat setia yang jitu, berkumpul dalam suasana saling mencintai keranaNya.

Mari kita kembali kepada Sirah Nabawiyyah. Pasti kita akan mengerti; betapa kebitaraannya tiada tolok bandingnya; dijulang megah dan diingati di segenap pelusuk dunia. Baginda mendahulukan kualiti mengatasi kuantiti, meski kita sedar, betapa kedua-duanya perlu saling seimbang. Buktinya sudah terang lagi bersuluh, terutamanya ketika permulaan zaman kerasulan Baginda. Begitulah, sikit-sikit lama-lama jadi bukit.

Islam bermula dengan sedikit sahaja tetapi bermutu amat tinggi. Kemudian, Islam berkembang dan terus berkembang merentas bumi, membelah lautan dan angkasaraya, sehingga meliputi dua pertiga dunia di zaman kegemilangannya. Semua ini direalisasikan oleh semua yang menyambung warisan dan perjuangan Baginda, tidak kiralah apa-apa pun bidang yang dikuasainya.

Betapa hebatnya sentuhan Rasulullah SAW, seorang guru yang berjaya membina ilmu dan menyempurnakan akhlak. Baginda adalah model terbaik dan pakej lengkap bagi setiap yang berminat dan berhasrat untuk menyambung semangat dan perjuangan Baginda, juga bagi setiap yang bersedia untuk berkhidmat mendidik anak bangsa. Daripada Baginda, lahirlah para cendekiawan dan ilmuwan yang berwibawa. Lalu, lahirlah pula para birokrat dan teknokrat yang berkaliber dan berkarisma sehingga ke hari ini, berterusan zaman-berzaman.

Di sinilah, kita mendapati Hari Guru 2015 bertemakan “Guru: Membina Ilmu, Menyempurnakan Akhlak” cukup signifikan. Lebih-lebih lagi, apabila kita semua mengambil ibrah dan iktibar daripada keguruan mulia Rasulullah SAW. Rentetan itu, sama-samalah kita berterima kasih kepada Baginda dengan terus mengucapkan selawat dan salam ke atas Baginda. Di samping itu, sama-samalah kita terus menghidupkan minda dan jiwa kita dengan menghidupkan sunnah Baginda. Mudah-mudahan, di Akhirat nanti, kita digolongkan dari kalangan mereka yang mendapat Syafaat Rasulullah SAW.

Sempena Hari Guru, saya ingin mendedikasikan ucapan terima kasih saya yang tidak terhingga kepada ayahbonda saya, guru utama saya. Semenjak kelahiran, merekalah guru saya yang awal sekali mengajar saya untuk mengenal Allah, mengenal dunia, memahami hakikat kehidupan dan mensyukuri rahmat hidup berkeluarga. Sampai ke saat ini, tanpa rasa berkira, mereka masih mengajar saya untuk menghadapi kehidupan yang lebih mencabar di masa muka.

Kepada adik-beradik dan sanak saudara, ingin juga saya ucapkan berbanyak terima kasih. Kalian juga sudah menjadi sebahagian daripada alam keguruan, bagi saya. Daripada kalian, saya mampu memaknakan silaturrahim, semangat kekeluargaan dan pembudayaan adat warisan.

UIAM Kampus Gombak

Sempena Hari Guru juga, saya ingin menyampaikan ucapan terima kasih yang terutama kepada setiap yang pernah mendidik dan mengajar saya, terutamanya mereka yang pernah bersama saya di tadika, di sekolah-sekolah rendah dan menengah, di universiti, di persatuan ilmu mahupun di lapangan makrifat dan fadhilat yang lain. Buat para pendidik yang telah kembali ke pangkuan Maha Pencipta, kita doakan, semoga Allah mencucuri rahmat ke atas mereka semua, lebih-lebih lagi atas segala ilmu dan hikmah yang mereka ajarkan sepanjang hayat.

Saya bersyukur kerana mempunyai pendidik yang inovatif, berdedikasi dan bersemangat waja. Tanpa guru, saya akan menjadi lebih buruk dan tidak akan dapat memperbaiki dan menambahbaik diri. Tanpa guru, saya tidak mungkin dapat menguasai pelbagai ilmu dan kemahiran walaupun sedikit. Tanpa guru, mana mungkin akan ada yang berjaya sehingga tercapainya cita-cita yang sebenar. Tanpa guru, tidak wujudlah kelestarian kestabilan dalam kehidupan di tengah-tengah masyarakat merentasi pelbagai jurang beza.

Pengorbanan seorang guru tidak terkira sesungguhnya. Jangan dibilang pakai jari kerana jasa guru sudahpun melebihi jari yang dikurniakan oleh Ilahi. Hanya guru yang memahami cabaran hebat yang mereka tempuhi. Yang pasti, gurulah yang akan sentiasa berdiri di hadapan, memimpin perubahan, menjana kemajuan agama, bangsa dan negara melalui dasar dan amalan pendidikan yang wujud berkekalan.

UIAM Kampus Petaling Jaya

Terima kasih yang setulusnya juga saya ucapkan kepada semua sahabat handai dan rakan taulan saya, lebih-lebih lagi 'adik-beradik' saya. Selama ini, kalian telah menjadi sebahagian daripada alam keguruan bagi saya. Daripada kalian, saya belajar menghargai semangat kefahaman, mentakrif makna persahabatan, mewarnai kehidupan dengan kegembiraan dan mencontohi teladan.

Di kesempatan ini, saya pohonkan keampunan daripada Allah SWT atas semua dosa dan noda saya, dan daripada kalian semua saya ingin mohon berbanyak kemaafan atas semua segala kesalahan, kesilapan, kekurangan dan kelemahan saya. Saya berazam untuk terus memperbaiki diri ini selagi diberi ruang dan peluang.

Semoga Allah meredhai ilmu dan hikmah yang tersemat dalam minda dan jiwa diri ini. Semoga Allah merestui kita semua, lebih-lebih lagi mereka yang menyematkan ilmu dan hikmah dalam diri ini selama ini, dengan rahmat, keampunan dan kasih sayangNya. Semoga Allah menyayangi setiap insan yang menyayangi diri ini seadanya.

Selamat Hari Guru. Terima kasih, Cikgu.

AWANG ABDUL MUIZZ BIN AWANG MARUSIN
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
Gombak, Selangor

16 Mei 2015

Comments