Menjana Bitara, Menjaya Masa Muka

(Memperingati Jubli Perak Ikatan Penulis Sabah)

Jubli Perak Ikatan Penulis Sabah
(Gambar: Ikatan Penulis Sabah)

Saya di Persada

Ikatan Penulis Sabah (IPS) mendahului saya lebih kurang 4 tahun lamanya. Walaupun rata-rata penggerak dan ahlinya adalah dari mereka yang lanjut usia, IPS, secara peribadinya, sudah memasuki zaman peraknya, meski usianya masih remaja.

Sebahagian daripada mereka yang berumur perak ini, di saat ini, sudah memegang ijazah sarjana mahupun kedoktoran dengan jayanya. Adapun sebahagian daripada mereka sudah berkeluarga, dikurniakan anak dua tiga. Adapun sebahagian daripada mereka sudah diberi taklifan besar untuk menjadi ketua.

Dalam tempoh 25 tahun IPS berdiri, saya telah didahului oleh tokoh-tokoh yang sungguh bitara. Nama-nama mereka harum di astaka negara dan dunia, dikenang pada hari ini sehingga ke masa muka. Karya-karya mereka dibukukan dan dipustakakan untuk kenangan dan renungan generasi masa hadapan.

Pada masa yang sama, kita semua telah didahului oleh mereka yang sungguh ternama. Mereka mendapat nama bukan kerana ingin menjadi ternama, tetapi kerana tulus ikhlas mereka dalam memandu perjuangan yang jelas lagikan nyata. Sebahagian daripada mereka telah kembali ke hadapan Maha Pencipta. Semoga Pemerintah Alam Semesta mencucuri rahmat ke atas mereka semua.

Sementara kita masih diberi peluang untuk bersama, selama itulah kita akan seiring dan sejalan berganding bahu, menuju puncak jaya. Jalan ke sebelah sana, sesungguhnya, banyak onak dan ranjaunya. Hanya dengan kebersamaan, kita mampu bukan setakat menempuhinya, malah untuk mengatasinya. Yakinlah, kebersamaan itu segala-galanya buat kita semua di setiap tempat dan ketika.

Sastera Pelengkap Dunia

Sastera melengkapi dunia kita. Sastera menjadi konkrit yang mengukuhkan asas dunia, iaitu bahasa. Walaupun semakin hari, sastera semakin dipandang sepi, kehadiran sastera di tengah-tengah dunia sungguh punya maknanya. Bayangkan bahasa tanpa sastera; pasti kita tidak akan nampak kilauan cahaya bahasa.

Sastera adalah bunga-bunga majazi yang mewarnakan kehijauan dunia. Dunia ini menghijau kerana kehadiran bahasa, dan berwarna-warni kerana kehadiran sastera. Walaupun sastera hanya mampu difahami oleh sebahagian warga dunia, sastera telah memainkan peranan yang besar dalam membentuk dunia pada hari ini; lebih-lebih lagi apabila sastera selalu dikait rapat dengan penulisan, bagai aur dengan tebing, saling memerlukan senantiasa.

Sastera menjadi wadah untuk menterakan keindahan sesuatu bahasa. Bahasa jiwa bangsa; sastera pemangkin bahasa. Untuk menghayati keindahan bahasa, kita harus menghayati sastera. Bahasa Arab, dulu hingga kini, menjadi salah satu daripada enam bahasa antarabangsa bukan setakat kerana memiliki bilangan penutur yang ramai, bahkan kerana memiliki keindahannya yang tiada tolok bandingnya.

Selain itu, sastera memainkan peranannya yang penting dalam mencitrakan budaya sesuatu masyarakat dan bangsa. Dalam erti kata yang lain, kewujudan sastera melengkapkan kewujudan sesuatu budaya. Sesuatu budaya hanya akan menjadi unik dengan kewujudan sastera. Masyarakat Melayu pada hari ini masih menyimpan warisannya yang signifikan kerana masih memiliki nilai sasteranya yang bermutu tinggi dan asli.

Sastera juga menjadi wahana untuk mengekspresikan diri terhadap segala peristiwa yang berlaku di dunia kita pada hari ini, sekaligus mendokumentasikannya. Sastera mempunyai nilai estetikanya yang tersendiri, yang membolehkan seseorang untuk tidak setakat berkongsi gelak tawa dan muram durja sahaja, bahkan untuk menerangkan kepada seluruh lapisan masyarakat mengenai keadaan sesuatu perkara pada sesuatu masa. Perkara ini sudah terang lagi bersuluh menerusi pelbagai karya agung, seperti Qasidah al-Burdah karya Imam al-Busyiri, dan Mathnawi karya Jalaluddin ar-Rumi.

Pendek kata, selama ini, sastera telah memainkan peranan melebihi peranan asalnya untuk mengindahkan sesuatu bahasa. Dalam meniti arus kemodenan ini, sejarah banyak bercerita mengenai sains dan teknologi yang menjadi kecenderungan dunia kini. Namun, kita tidak harus lupa, sejarah telah berjaya bercerita kepada dunia bahawa sastera itu punya maknanya yang signifikan di tengah-tengah dunia.

Rekod Cemerlang IPS

Sebagai sebahagian daripada IPS, saya percaya, IPS berjaya memanfaatkan 25 tahun keberadaannya dengan memainkan peranan untuk mengangkasakan bahasa, sastera dan budayanya di Malaysia, khususnya di negeri Sabah. Saya berbangga kerana IPS mahupun seisinya berjaya mencipta rekod cemerlang di pelbagai peringkat dalam pelbagai bidang, terutamanya dalam bidang bahasa.

Walaupun IPS hanyalah organisasi berskala mikro di negeri Sabah, IPS mempunyai bonusnya yang tersendiri. IPS tidak setakat memiliki sasterawan dan budayawan ternama semata-mata, malah mempunyai tokoh-tokoh yang bitara. IPS mempunyai tokoh pentadbir yang berwibawa, ahli korporat yang berjaya, pendidik yang bersemangat waja, pelaksana perkhidmatan yang berjasa dan belia yang berkarisma.

Kita tinggalkan setiap hari kebelakangan sebagai kenangan yang terindah dan pengajaran yang berguna buat kita semua. Kita masih ada masa hadapan yang kita perlu hadapi tanpa pilihan, sebagai harapan dan impian.

Cabaran Mendatang

Dunia, marcapada ini, menyaksikan lebih banyak mehnah dan tribulasi. Setiap insan bersemuka dengannya; tiada seorang pun yang terlepas daripadanya, walaupun tahapnya berbeza-beza.

Alhamdulillah. Kita berterima kasih kepada Ilahi kerana masih merahmati tanah air kita dengan keamanan dan kemakmuran. Pun begitu, dalam suasana yang masih bertuah, tanah air kita tidak terlepas daripada cabaran dan rintangan yang melanda. Setiap jiwa yang hidup di tanah merdeka ini merasainya. Sedangkan bumi yang berdaulat ini dilanda dengan pelbagai dugaan, bumi yang bergolak apatah lagi.

Kita sedang merasai perubahan dasar yang drastik, peningkatan kos sara hidup, persengketaan yang berterusan, dan perpecahan yang menghakis kemurnian perpaduan dan persaudaraan. Kita juga sedang menyaksikan kebuluran yang menyakitkan, pertempuran yang meragut jiwa-jiwa yang merindukan kedamaian, serta sekatan dan halangan memberi impak negatif kerapa mereka yang kekosongan.

Kehadiran pelbagai jenis media merancakkan lagi segala peristiwa tersebut. Jikalau dahulu, masyarakat bertumpu kepada media arus perdana dan media alternatif. Kini, masyarakat bertumpu kepada media baru yang berteknologi tinggi. Di situ, setiap daripada kita bebas untuk menerima, apatah lagi menyampaikan segala informasi yang datang daripada kita secara asli, mahupun datang daripada pemberi yang lain.

Kita boleh berbangga dengan kebebasan media yang dirasai kini. Walaupun begitu, kita harus waspada dengan kebebasan media yang kita nikmati. Alangkah baiknya seandainya kita boleh memanfaatkan segala jenis media yang ada untuk memperbetulkan keadaan dengan cara yang seharusnya, mewujudkan suasana yang lebih ceria, sekaligus memberi impak positif kepada masyarakat, agama, bangsa dan negara.

Masa Depan yang Cerah

Saya optimis, kita dan IPS mampu mendepani zaman transformasi ini dengan berhemah, berlandaskan prinsip Wasatiyyah. Sebagai sebagai seorang ahli bahasa, sastera dan budaya, kita akan terus sematkan nilai-nilai murni dan semangat patriotisme dalam menzahirkan aspirasi kita, juga dalam mencitrakan karya-karya kita; apatah lagi budaya kualiti dan profesionalisme.

Umum mengetahui bahawa negara kita berhasrat untuk melahirkan masyarakat berminda kelas pertama. Menyedari hakikat itu, IPS dilihat mampu melonjak ke hadapan mempromosikan hasrat ini melalui aktiviti berasaskan kreativiti dan inovasi, tidak setakat pada bahasa, sastera dan budaya, malah lebih daripada itu. Kita dan IPS mahu jalan terus lagi, melangkah hingga sampai ke puncak jaya. Oleh hal yang demikian, InsyaAllah, kita akan terus bersama teguh (stronger together), bersama maju ke arah tujuan yang satu, walaupun dengan pendekatan yang berbeza.

Dirgahayu IPS. IPS, selama ini, telah mengharumkan nama Sabah dan Malaysia dalam mencitrakan bahasa, sastera dan budayanya yang bergaya. IPS, sepanjang 25 tahun kebelakangan, telah berdiri teguh dan kukuh, menjadi benteng harapan nusa dan bangsa. Semoga IPS terus tegak lagi, berdiri megah di astaka yang bercahaya, menjadi obor yang berseni, menyalai tanah air kita dengan keindahan warisan zaman-berzaman kita.

Terima kasih, Allah, kerana menjadikan saya sebahagian daripada mereka yang membawa keindahan ini kepada yang lain.

AWANG ABDUL MUIZZ BIN AWANG MARUSIN
Gombak, Selangor

24-25 Mac 2015

Comments

Post a Comment