Kota Kinabalu yang Bertuah

Kota Kinabalu, Sabah
(Gambar: paradiseintheworld.com) 
Menjadi sebahagian daripada warga Bandaraya Kota Kinabalu, Sabah merupakan suatu kebanggaan bagi saya. Saya dilahirkan di Kota Kinabalu pada tahun 1994. Saya juga berasal dari Kota Kinabalu, pernah dibesarkan seketika di sana sebelum menetap di Tuaran, 34 kilometer di utaranya. Lebih daripada itu, saya habiskan sepenuh masa pendidikan menengah saya di daerah Kota Kinabalu, lantas menjadi Rakan Bandarayanya juga untuk seketika. Akan tetapi, bukanlah itu semua alasannya.

Alasannya mudah, kerana selama ini, Kota Kinabalu, yang dahulunya dikenali dengan bermacam-macam nama – Jesselton, Api-Api dan Deasoka, berjaya mengecapi segala-galanya yang diimpikan. Kedudukannya yang strategik, terletak di pantai barat Sabah, menghadap Laut China Selatan, menjadikan bandaraya tersebut mempunyai pelbagai tarikan untuk dimanfaatkan, terutamanya dalam bidang pelancongan, perikanan dan perindustrian.

Sejarah Kota Kinabalu sungguh panjang, bermula sebagai sebuah kawasan yang ditadbir oleh Kesultanan Brunei pada kurun ke-15, dan kemudiannya diteroka dan dibangunkan pada akhir kurun ke-19; dijajah sehingga mendapat kemerdekaan bersendiri pada 31 Ogos 1963.

Setelah menyertai Malaysia sebagai Sabah pada 16 September tahun yang sama, Kerajaan Negeri Sabah menamakan ibu negerinya Kota Kinabalu menggantikan Jesselton pada 22 Disember 1967. Sejarah Kota Kinabalu lebih bermakna apabila mendapat penarafan bandaraya pada 2 Februari 2000 dengan jolokan “Bandaraya Rimba Tropika”.

Sejak dari itu, Kota Kinabalu bangkit melebihi peranan asalnya sebagai ibu negeri, untuk menjadi pusat pentadbiran kerajaan negeri serta cawangan besar pentadbiran kerajaan persekutuan, dan untuk menjadi pusat pembangunan ekonomi negeri.

Kini, Kota Kinabalu menjadi antara pemain utama sektor pelancongan Malaysia memandangkan Kota Kinabalu merupakan pintu masuk utama untuk ke negeri Sabah. Setiap tahun, bilangan pelancong yang datang ke Sabah semakin meningkat. Perkara ini secara tidak langsung meningkatkan keyakinan negara dalam mempromosi Malaysia kepada dunia.

Faktor alam semulajadi dan faktor hubungan diplomatik yang erat menjadi pendorong utama pencapaian tersebut. Faktor budaya turut menyumbang kepada pencapaian serupa. Begitu juga dengan semangat perpaduan yang membara dalam masyarakatnya. Perkara ini dikuatkan apabila Perdana Menteri mengiktiraf Sabah (dan Sarawak) sebagai contoh gagasan 1 Malaysia yang berjaya.

Turut tidak ketinggalan, faktor jual beli barangan yang membantu pertumbuhan bandaraya Kota Kinabalu. Kewujudan pelbagai pusat membeli-belah di sekitar bandaraya, sesungguhnya, menarik ramai pelancong yang mencintai suasana membeli-belah untuk datang ke Kota Kinabalu, terutamanya di 1 Borneo dan Suria Sabah.

Maka, tidak hairanlah Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) menjadi lapangan terbang kedua tersibuk di Malaysia, selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Oleh sebab itu, KKIA mempunyai dua buah terminal, di Kepayan dan di Tanjung Aru.

Kota Kinabalu juga menjadi antara pemain utama industri utama di Malaysia. Kewujudan Taman Perindustrian Kota Kinabalu yang merentasi sebahagian daerah Kota Kinabalu dan sebahagian lagi daerah Tuaran memberi impak positif kepada negara dalam mengembangkan bidang industri. Begitu juga dengan Pusat Perindustrian Kolombong di Inanam. Kewujudan kilang-kilang, terutamanya yang berteraskan hasil bumi memberi keyakinan kepada negara bahawa Kota Kinabalu mampu menjadi antara penyumbang terpenting ekonomi negara.

Selain itu, Kota Kinabalu berperanan sebagai model bandaraya alam semulajadi di Malaysia. Pembangunan Kota Kinabalu yang sungguh pesat tidak menghalang usaha negeri untuk mengekalkan kehijauan hutan rimba yang ada berdekatan dan di sekitar bandaraya. Sebahagian daripada keindahan bandaraya dikongsi bersama masyarakat dan pelancong melalui kewujudan taman-taman rekreasi, seperti Taman Perdana, Tanjung Aru.

Kota Kinabalu turut tidak ketinggalan dalam industri kelautan. Selain berperanan menjadi antara pengedar utama makanan laut di Malaysia, dan antara pengeksport makanan laut segar ke luar negara, Kota Kinabalu juga berperanan menjadi hab penyelidikan marin. Buktinya wujud di Universiti Malaysia Sabah apabila universiti tersebut menubuhkan Pusat Penyelidikan Marin Borneo, bertujuan untuk mengkaji hidupan laut di sekitar Kepulauan Borneo.

Pendek kata, kewujudan Kota Kinabalu dalam peta dunia amat bermakna bagi kita semua, lebih-lebih lagi bagi penduduk dan anak jati Kota Kinabalu, tidak kira sama ada mereka duduk di tengah kesibukan kotanya mahupun yang berumah di pinggirannya. Kota Kinabalu, sejak ia diteroka, bahkan sejak ia mendapat taraf bandaraya, dan kini hampir selangkah menjadi metropolitan, berjaya memainkan pelbagai peranan dalam membentuk kestabilan ekonomi, sosial dan politik Malaysia.

Lebih bertuah lagi, apabila Kota Kinabalu dipilih menjadi tuan rumah Pemukiman Menteri-menteri Luar Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) setelah Malaysia mengambil alih kerusi Pengerusi ASEAN untuk tahun 2015. Perkara ini membuktikan ASEAN mengiktiraf sumbangan Kota Kinabalu dalam mencorakkan ASEAN berdasarkan Cara ASEAN dan berlandaskan Semangat ASEAN yang digagaskan suatu masa dahulu.

Pun begitu, warga Kota Kinabalu harus terus menyinsing lengan, bergandingan menghasilkan yang lebih baik daripada pencapaian seperti ini. Begitu juga dengan mereka yang mendapat kesan hasil usaha ke arah “Greater Kota Kinabalu”, seperti mereka yang berada di Putatan, Penampang dan Tuaran. Untuk terus berjaya, Kota Kinabalu harus terus menyerlah, berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah seperti bandaraya utama yang lain, seperti Kuala Lumpur dan Kuching. Suatu hari nanti, Kota Kinabalu akan terus berjaya, dipandang tinggi oleh kawan dan lawan, dijulang di negara dan dunia.

Dalam pada itu, kita menjunjung tinggi dan menghargai setulusnya perjuangan dan pengorbanan mereka yang telah mengerah tulang empat kerat; mengorbankan harta dan nyawa untuk menjadikan Kota Kinabalu sebuah daerah yang bertuah, tidak kiralah bidang mereka. Mereka semua, selama ini, telah memberikan yang terbaik untuk masyarakat, agama, bangsa dan negara. Semoga segala usaha mereka dibalas dengan balasan yang sewajarnya.

Comments