Kembali Semula di Tempat yang Berbeza

Jawatankuasa Perwakilan 2012/2013,
Kolej Kediaman Abu Bakar, UIAM Petaling Jaya
Saya sedikitpun tidak bermimpi untuk duduk setinggi ini pada waktu sebegini. Saya juga tidak menyangka akan menduduki kerusi setinggi ini pada waktu sebegini.

Sepertinya, kerusi itu membawa penghormatan kepada seseorang yang menerimanya atas jasanya yang kebelakangan. Namun, harus diingatkan bahawa tidak wujud lambang kemuliaan pada tanggungjawab.

Maka, wajarlah seharusnya ucapan tahniah dan takziah ditujukan daripada seseorang kepada seseorang yang dipilih untuk menjadi pemimpin. Tahniah kerana dipilih menjadi kepala sesuatu lingkungan tanggungjawab. Takziah pula kerana kesibukan yang akan menanti.

Pun begitu, saya memilih untuk mengucapkan selamat kepada mereka yang dipilih menjadi penanggungjawab di sesebuah lingkungan, selain ucapan tahniah. Tahniah kerana berhasil menerima peranan tersebut, dan selamat meneruskan tanggungjawab dengan harapan agar segalanya dipermudahkan.

Pada 2 Februari 2015, saya mengambilalih teraju utama residen Kolej Kediaman (Mahallah) as-Siddiq, Kampus Gombak, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia daripada orang lama yang sudah selesai tempoh perkhidmatannya. Saya kembali lagi setelah lebih setahun meninggalkannya, di tempat yang berbeza.

Masih segar dalam kenangan. Hampir 3 tahun lepas, saya menganggotai Jawatankuasa Perwakilan Mahallah (MRC) Abu Bakar, UIAM Petaling Jaya, bersama sepuluh orang lagi yang lain. Betapa saya rindukan saat-saat itu dahulu, terutamanya ketika bekerja rapat bersama Setiausaha Muhammad Najib Abdul Malek. Saya dahulu Naibnya.

Pada saat saya menulis, saya baru sahaja menghubungi Muhammad Najib dari pejabat saya (Bilik Gerakan Kolej) pada Khamis (19 Februari, tengahari). Saya rindu Muhammad Najib. Saya rindu mereka semua. Mereka semua adalah kenangan dan pengajaran saya.

Begitu jugalah pada saat-saat saya yang penuh suka duka bersama lagi MRC yang lain sama ada daripada UIAM Petaling Jaya mahupun UIAM Gombak.

Saat ini, benarlah resam hidup, kami semua mempunyai cita dan cinta yang saling tak sama. Cita dan cinta dahulu yang menemukan, akhirnya memisahkan. Kemudian dengan kedua-duanya diizinkan lagi bertemu dan kelak akan berpisah kembali.

Orang-orang yang pernah bersama-sama saya dahulu masing-masing ada kehebatannya yang tersendiri. Salah seorang daripada kami kini menjadi ahli Majlis Perwakilan Pelajar Universiti. Seorang lagi kini menjadi Presiden Persatuan Pelajar Fakulti. Beberapa orang dari kalangan kami kembali semula ke situ, sama seperti saya; cuma tanggungjawab yang membezakan.

Sebagai Presiden Kolej, saya dipertanggungjawabkan untuk menjaga kepentingan lebih kurang 800 orang penduduk warga tempatan dan antarabangsa dari segala aspek. Begitu jugalah dengan 11 orang lagi yang menganggotai MRC tersebut. Dalam erti kata lain, setiap inci dalam kawasan Mahallah merupakan tanggungjawab kami.

Kami berikrar untuk melakukan yang terbaik; untuk kestabilan kita bersama.

Dalam pada itu, saya harus katakan bahawa setiap warga Mahallah merupakan pemimpin kepada Mahallah itu sendiri. Setiap warga bertanggungjawab untuk memastikan Mahallah sentiasa makmur, seiring dengan halatuju murninya, untuk “Menjana Harapan Nyata” (“Generating the True Hope”).

Melalui gagasan tersebut, 4 strategi dirangka. Pertama, untuk meraikan prinsip-prinsip asas. Kedua, untuk menjanakan kerjasama. Ketiga, untuk menambahbaik perkhidmatan dan prasarana penting. Keempat, untuk menjadi juara masyarakat.

Gagasan ini hanya akan menjadi kenyataan sekiranya setiap warga dalam Mahallah memahami dan mempraktikkannya melalui gerakerja kolektif yang efisien dan efektif. Sebagai teraju, saya optimis bahawa itu semua mampu menjadi kenyataan; InsyaAllah.

Semoga segala urusan saya – mereka dan kalian – akan senantiasa dipermudahkan jua oleh Allah hendaknya. Cukuplah Allah menjadi Sebaik-baik Penolong Hamba-hambaNya.

Comments