Mengamati Perencanaan dan Pengaturcaraan

Mengamati Perencanaan

2015 kita mulakan dengan melafazkan segala puji dan syukur ke hadrat Allah SWT. Dengan izin dan rahmatNya, kita masih dapat menghela nafas segar dunia; meneruskan kehidupan seperti biasa berpandukan pernyataan arah yang sedia ada. Kita adalah dari kalangan yang terpilih; yang masih diberi ruang dan peluang yang seluas-luasnya untuk menuliskan lembaran zaman kita dengan penuh warna-warni.

Sesungguhnya 2015 mempunyai rencana dan aturcaranya yang tersendiri, yang mencakupi pelbagai halatuju pelbagai jangka dan pelbagai skala, yang kelak akan memberi manfaat kepada pelbagai pihak di pelbagai peringkat. Dalam pada itu, kita harus ingat; sudah menjadi resam zaman, “Mereka (manusia) merancang. Pada masa yang sama, Allah juga merancang; dan Dialah, (sesungguhnya,) Sebaik-baik Perancang.” (Al-Quran, 3:56)

Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan Ahli UNSC

2015 adalah tahun yang mencabar buat negara kerana diberi tanggungjawab untuk menjadi Pengerusi Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN). Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia harus memastikan kesemua 10 buah negara bergerak di atas landasan yang betul berpandukan Cara ASEAN. Pada masa yang sama, Malaysia hendaklah memimpin ASEAN merealisasikan hasrat utamanya ke arah penubuhan Komuniti ASEAN pada 31 Disember 2015 (Sinar Harian, 2012).

2015 juga merupakan tahun yang mencabar buat negara kerana diberi pula tanggungjawab lain untuk menjadi ahli Majlis Keselamatan, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC). Antara tugas utama Malaysia sebagai Ahli UNSC – bersama negara sekutu Palestin yang lain – adalah untuk membebaskan Palestin daripada cengkaman Israel dan sekutu-sekutunya; dan paling tidak, untuk memastikan keadilan berterusan untuk Palestin, warganya dan sekutunya (The Rakyat Post, 2014; Sinar Harian, 2014).

Sebagai sebahagian daripada negara, kita boleh berbangga dengan kepercayaan yang diberikan. Namun begitu, kita harus ingat dan berterus-terang sesama sendiri bahawa untuk memainkan dua peranan berskala besar itu bukanlah perkara yang mudah. Dalam hal ini, kita tidak boleh membiarkan negara bergerak sendiri. Sebagai sebahagian daripada negara, kita berperanan untuk membantu negara dalam menjayakannya. Sekurang-kurangnya, kita tahu menilaikan erti perpaduan merentasi agama, bangsa, warna kulit dan falsafah.

Tanggungjawab Kolektif Umat Islam

Dalam pada itu, sebagai seorang umat Islam, kita masih tertakluk dengan tanggungjawab kita yang bersifat kolektif. Palestin masih memerlukan kepada pembelaan dan keadilan yang sebenar-benarnya. Oleh sebab itu, untuk mengecap itu semua, Palestin tidak mampu bersendirian – meski itu lebih baik buat Palestin dan seisinya, terutamanya yang mengejar syahid. Palestin, sebenarnya, memerlukan kepada bantuan dan sokongan daripada negara lain.

Menyedari hakikat itu, Malaysia dan seisinya, berbekalkan segala yang termampu, bangkit menjadi sekutu utama bagi mereka. Selama ini, kita telah menolong mereka apa adanya. Pun begitu, bantuan dan sokongan yang selama ini diberikan tidaklah boleh bersifat sekali sahaja. Pertolongan dan dorongan yang kita berikan hendaklah bersifat kekal dan berterusan sehingga Palestin mencapai segala yang mereka impikan. Yakinlah, suatu hari nanti, Palestin akan berdaulat dan merdeka di mata dunia.

Kita gembira kerana dikurniakan rezeki berbentuk keamanan dan kemakmuran di tanah air. Pada waktu kita menikmatinya, janganlah kita lupa pada nasib mereka yang menderita di perantauan. Orang-orang kita di Syria, Yaman, Libya, Myanmar, Iraq dan banyak lagi tidak bahkan belum dapat menikmati apa-apa yang kita terima di tanah air ini. Rentetan itu, kita juga telah menghulurkan tangan kepada mereka – walaupun dari jauh – dengan sedaya upaya kita agar mereka mampu menikmati segalanya yang kita kecapi sama ada dalam jangka waktu pendek mahupun jangka waktu panjang.

Bencana Banjir yang Menguji Negara

2015 juga menjadi ujian buat negara. Sejak hujung tahun 2014 hatta pada waktu ini, negara dan seisinya diuji dengan bencana banjir, terutamanya yang berada di Timur Semenanjung Malaysia. Banjir yang melanda negara mengakibatkan kehilangan harta dan nyawa. Kepada yang terkesan, kita doakan agar mereka diberi ketabahan dan kekuatan untuk meneruskan hidup seperti sediakala. “Maka khabarkanlah berita gembira buat orang-orang yang sabar.” (Al-Quran, 2:155)

Lantaran itu, Menteri Kewangan mengambil inisiatif untuk mengubahsuai Belanjawan 2015 dengan tumpuan utama untuk membangunkan semula kawasan yang terjejas. Tidak cukup setakat itu, kita – sesama kita – membuka tangan kita seluas-luasnya untuk mereka, memberikan segala kudrat yang ada agar mereka menjadi seperti kita. Dalam erti kata yang lain, kita berkongsi nikmat yang kita ada, dan berkongsi rasa dukacita kita atas apa-apa yang menimpa mereka.

Tidak setakat kita, negara-negara sahabat seperti Emiriyah Arab Bersatu, Jepun, China, Timor Leste dan Thailand turut berkongsi rasa yang sama bersama kita; menghulurkan tangan, meringankan beban mereka yang menderita. Sebagai sahabat, kita menghargai keluhuran hati mereka, ketulusan budi mereka dan semangat persahabatan mereka ketika negara dilanda kesusahan. Semangat seperti inilah yang sepatutnya ditanamkan pada kita semua tidak setakat pada waktu susah sahaja; bahkan pada waktu senang.

2015 untuk Debat dan Pengucapan Awam

2015 juga merupakan tahun penting bagi debat dan pengucapan awam apabila negara diberi tanggungjawab untuk menganjurkan Kejohanan Debat (Bahasa Inggeris) antara Universiti Sedunia (WUDC) kali ke-35 (Saifuddin Abdullah, 2014). Walaupun begitu, tugas tersebut telah selesai apabila WUDC 2015 telah selamat dianjurkan pada 27 Disember 2014 hingga 4 Januari 2015.

Melalui WUDC 2015, Malaysia, menerusi Institut Debat dan Pengucapan Awam Malaysia dan Universiti Teknologi MARA, berjaya menjadi hos kepada ribuan pendebat, hakim dan pegawai teknikal dari serata dunia, yang turut menyumbang dalam menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2014 dan Tahun Festival Malaysia 2015. Pada masa yang sama, WUDC 2015 menjadi arena terpenting buat Malaysia bagi menunjukkan kebitaraannya dalam acara tersebut.

Buat kesekian kalinya, Malaysia maju setapak ke hadapan apabila salah seorang daripada pendebat Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) muncul semula sebagai Pendebat Terbaik Dunia bagi kategori Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (ESL). Lebih menggembirakan, beliau tersenarai pula dari kalangan 10 Pendebat Terbaik Dunia bagi Kategori Terbuka.

Sebagai warganegara, kita berbangga. Perkara ini menunjukkan bahawa Malaysia berjaya melahirkan pendebat dan pemidato bermutu tinggi, yang kelak akan membantu dalam merancakkan pembangunan idea untuk membangunkan dan menstabilkan negara. Dalam pada itu, kita harus sedar; betapa negara memerlukan kepada pemimpin yang tidak setakat hanya memenangi hati rakyat hanya dengan berkata-kata, bahkan juga yang menawan jiwa rakyat dengan usaha bertenaga. Dalam erti kata lain, kata itu kota. Begitulah yang sesungguhnya diharapkan hasil usaha aktiviti debat dan pengucapan awam yang berlangsung di institusi pengajian menengah dan tinggi.

Pada tahun 2015, Malaysia berhasrat untuk menganjurkan WUDC yang serupa berbahasa Arab, yang dinamakan sebagai Kejohanan Debat Bahasa Arab antara Universiti Sedunia (WUADC). Kejohanan ini diilhamkan atas kesedaran untuk mengekalkan martabat bahasa Arab sebagai bahasa antarabangsa, dan untuk meletakkannya kekal setanding dengan 5 lagi bahasa antarabangsa yang lain. Kejohanan ini dijangka mampu mengumpulkan ratusan penutur bahasa Arab dari serata dunia yang ingin memanfaatkan bahasa dan bertukar idea sesama mereka.

Manusia Hanya Mampu Merancang

Tuntasnya, 2015 menjadi cabaran kepada kita semua apabila 2015 direncanakan dengan pelbagai tanggungjawab besar dan aturcara berskala besar. Kita yakin, banyak lagi perkara yang kita ingin rancang sebagai pelbagai peranan yang bersifat individu mahupun kolektif. Setiap insan mempunyai hasratnya yang tersendiri. Hakikatnya, manusia hanya mampu merancang. Allah akan menentukan yang selebihnya.

Oleh sebab itu, di kala kita sedang mengusahakan segalanya, kita meminta kepadaNya dengan penuh pengharapan, mudah-mudahan segala-galanya yang dirancang akan dimudahkan urusannya, dan direalisasikan dengan jayanya.

Tuaran dan Kota Kinabalu, Sabah
23-25 Januari 2014

Comments