Bahasa Arab: Memanfaatkan Warga Tempatan yang Mahir, Meraikan Peranan Penutur Jati

Saya mengambil maklum cadangan Kementerian Pendidikan untuk mengambil 64 orang guru penutur jati bahasa Arab pada 2016 untuk meningkatkan pencapaian pelajar (BERNAMA, 28 Januari 2015). Secara kasarnya, usaha ini akan memberikan manfaat kepada negara. Hal ini demikian kerana, usaha ini akan memberikan nilai tambah kepada negara dalam pelbagai bidang.

Usaha ini bertepatan dengan Anjakan ke-2, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, untuk memastikan setiap murid menguasai kemahiran dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, dan digalakkan untuk mempelajari bahasa tambahan. Bahasa Arab, bagi Malaysia, adalah termasuk dalam kategori bahasa tambahan.

Apa tidaknya, bahasa jiwa bangsa. Sesuatu bahasa amat dekat dengan jiwa bangsa berkaitan. Oleh sebab itu, penutur jati sesuatu bahasa mempunyai kelayakan yang fleksibel untuk melatih dan mengajar seseorang mahupun sekumpulan untuk menguasai sesuatu bahasa. Begitu jugalah seseorang yang mempunyai kemahiran dan kefasihan setanding dengan penutur jati.

Cuma, kita harus sedar, betapa negara kita bertuah kerana mempunyai bilangan pendidik yang mencukupi, yang mencakupi keperluan masyarakat dan negara, untuk mengajar bahasa Arab di seluruh negara. Mereka terdiri daripada warga asing, penutur jati bahasa Arab; dan warga tempatan yang mampu menggunakan bahasa Arab.

Selaras dengan semangat “Malaysia Boleh”, dan selaras dengan gagasan “1 Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”, negara, pada masa kini, perlu memberikan keutamaan kepada warga tempatan yang dilatih di dalam dan di luar negara untuk menguasai dan mengajar bahasa Arab (dan pendidikan Islam). Merekalah golongan yang bukan setakat memahami keadaan dan keperluan Malaysia, malah memahami keadaan masyarakat Arab.

Sebahagian daripada mereka mempunyai kebolehan setanding dengan penutur jati. Lebih daripada itu, mereka berjaya menggunakan bahasa tersebut mengharumkan nama negara dengan pelbagai pencapaian dalam pelbagai aktiviti di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Sebagai rakyat Malaysia, kita harus berbangga dengan pencapaian sebegitu rupa.

Sebahagian daripada mereka, kini, mengabdi dalam pelbagai bidang, termasuklah bidang pendidikan. Merekalah “produk Islam” dan “produk Malaysia” yang menuntut ilmu bahasa Arab (dan pendidikan Islam) bukan setakat untuk manfaat diri sendiri, tetapi juga untuk manfaat masyarakat, agama, bangsa dan negara.

Sayangnya, sebahagian daripada mereka tidak bernasib baik kerana belum diberi apa-apa peluang pekerjaan. Dalam hal ini, mereka perlu dibantu, diberi peluang selaras dengan kebolehan dan pencapaian mereka untuk berkhidmat kepada masyarakat dalam bidang pendidikan.

Pada masa yang sama, kita harus memaksimakan guna tenaga para penutur jati yang sedia ada dengan menjadikan mereka jurulatih, penyelidik dan pemudahcara kepada para guru dan pelajar, terutamanya yang mempunyai keperluan khas, demi membangunkan bahasa Arab (dan pendidikan Islam) di Malaysia.

Kita tidak mahu Anjakan ke-10, PPPM 2013-2025, untuk memaksimumkan keberhasilan murid bagi setiap ringgit, hanya tinggal mimpi semata-mata. Lebih-lebih lagi, ketika negara kita diuji dengan keadaan ekonomi dan kewangan yang sungguh mencabar. Segala tindak-tanduk pendidikan negara melibatkan implikasi kewangan yang tinggi. Justeru, Kerajaan perlu berhemah dalam menguruskan kewangan.

Secara tuntasnya, kita masih meraikan kehadiran penutur jati, warga asing, di Malaysia untuk berkhidmat dalam bidang pendidikan, lantas menjadikan Malaysia sebagai rumah kedua mereka. Namun, kita harus sedar bahawa kita berkebolehan untuk terus maju bermutu setanding dengan yang lain, sehingga kita mampu merealisasikan hasrat untuk mewujudkan masyarakat berilmu dan berbudi pekerti.

Comments