Melambai Tangan untuk 2014

Musim peperiksaan

Saya mengerti. Bukan saatnya untuk saya menulis dengan rupa sebegini. Saat ini, di Taman Ilmu dan Budi, ramai yang sedang bertarung menggunakan mata pena, beradu tenaga di medan berkala.

Tetapi, tidak mengapa. Saat ini, saya masih diberi peluang untuk menurunkan tulisan saya dengan rupa ini.

Tahun 2014 Miladi, juga 1435 Hijri, bagi saya, amat memilukan. Begitu juga dengan kalian.

Benar. Hampir pada pertengahan tahun, nenda – ayahanda bonda – sudah tiba saatnya untuk pulang setelah hampir 85 tahun bersama. Semoga Allah mencucuri rahmat dan maghfirah ke atas nenda tercinta.

Buat setiap insan yang telah mendahului kita semua, semoga rahmat dan maghfirah Allah kekal memayungi mereka selama-lamanya.

Kita akan menyusul.

Jauh daripada itu, ramai lagi yang lebih menderita.

Hujan turun mencurah-curah, melimpah-ruah membanjiri sebahagian besar tanah air. Kasihan mereka yang terkena, lebih-lebih lagi jauh di timur sana. Pedalaman bawah negeri sendiri turut tidak terlepas terkena. Sama jugalah dengan daerah kampung halaman, meski rumah pusaka itu duduknya di tanah tinggi.

Jangan lupa. Taman sendiri pun, pertengahan tahun, hari itu, pun pernah sama terkena!

Tidak cukup dengan itu. Ada yang lebih meruntun hati.

Satu negara bahkan seluruh dunia, masa bulan puasa, bermuram durja. Seekor burung yang membawa panji nusa patah sayapnya, ditembak oleh musuh yang sudah hilang jiwa manusianya.

Mati seekor bersama 298 orang yang terbang bersamanya. Disangkakan terbang menuju ibu kota, rupanya pulang ke alam sana.

Entah apalah dosa mereka dihukum sebegitu rupa. Orang lain yang bersengketa, orang lain yang menjadi mangsa. Kita amat menyesalinya.

Sebelum itu, seekor lagi yang ingin terbang ke Kota Larangan hilang di tengah lautan, tak berjejak sehingga ke saat ini. Jejaknya hilang bersama 239 orang yang turut melayang bersamanya.

Belum pun lagi menutup tahun, lagi seekor hilang dari jejak, membawa bersama 162 orang yang mengikutinya. Kali ini, warnanya merah. Kita yang punyainya meski dijaga di tanah Garuda.

Saat saya menuliskan ini, burung merah itu masih dicari, entah di mana.

Siapalah yang mampu menerima? Walaupun itulah seharusnya dan sebaiknya, bagi kita.

Jangankan mereka sahaja yang meraung duka. Kita turut sama. Begitulah, air diminum terasa duri; Nasi dimakan terasa sekam.

Kita semua berdukacita. Hanya linangan air mata dan suara hiba mampu meluah bicara.

Meskipun begitu, mereka yang terkesan memerlukan kita semua. Siap siaga.

Selagi diberi ruang dan peluang, di samping berkongsi rasa pilu, sama-samalah kita membantu mereka dengan apa-apa jua cara setakat kemampuan yang ada.

Terima kasihlah yang tidak terkira buat mereka yang sungguh, tanpa diminta dan tanpa berkira, membantu mereka yang memerlukan selama masa susah ini menerusi segala saluran yang disediakan.

Sesungguhnya merekalah wira dan wirawati yang tulus hati mereka, mendedikasikan diri untuk memudahkan urusan yang lain, walhal mereka juga sebenarnya dari kalangan mereka yang kehilangan dan memerlukan.

Tiada apa-apa yang mampu dijadikan timbal balik, melainkan dengan pinta kepadaNya. Mudah-mudahan Ilahi mengurniakan mereka semua dengan ganjaran yang berganda-ganda. Yakinlah, Dia akan tetap menolong hamba-hambaNya selama mana mereka menolong saudara-saudara mereka.

Kepada setiap insan yang mendapat kesannya, mudah-mudahan diberi kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi saat-saat sukar ini.

Cukuplah halaman-halaman hitam putih sebagai pengajaran buat kita semua.

Yakinlah, suatu hari nanti, hari yang mendung kelabu pasti akan kembali cerah berwarna-warni. Mudah-mudahan dengan izinNya.

Dalam pada itu, janganlah dilupakan lembaran berwarna-warni yang telah tercipta selama ini.

Saya cukup girang, sesungguhnya, kerana terpilih untuk bermukim di sebuah desa yang kaya, di lereng Bukit Tabur dekat ibu negara. Melihat keluar di awal pagi, seolah-olah berada di tanah tinggi ibu pertiwi sendiri.

Yang lebih menggembirakan, apabila diri ini kini menjadi sebahagian daripada Maktab Perguruannya. Sudah nampak jalan pendidikan di hadapan, moga Yang Menentukan Segalanya menyampaikan. Mudah-mudahan.

Sepanjang tahun, saya cuba mengusahakan apa adanya berbekalkan tenaga yang dijana oleh Yang Maha Kaya. Tetap dengan semangat waja bahawa “erti hidup pada yang memberi” sesungguhnya.

Sebab itulah, saya tetap bersama debat dan pengucapan awam bahasa Arab untuk tahun keempat seumur hidup, dan tahun ketiga bersama universiti ini.

Debat Maal Hijrah punya memorinya yang tersendiri. Begitu jugalah dengan Debat Musleh dan Debat Sekolah-sekolah.

Tidaklah pula dilupakan kepada Badan Dakwah yang saya sertai, sama ada atas nama tanahair mahupun atas nama maktab. Kerana setia, sesukar manapun, saya tetap bersama, meski bukanlah pada setiap masa.

Saya berikrar untuk tetap bersama, meski sebahagian daripada ahli pasukannya telah keluar untuk memimpin para guru pelatih di sini secara keseluruhannya.

Lebih daripada itu, saya tidak mampu sasarkan mahupun ikrarkan apa-apa lagi.

Sebabnya, setiap kita punya cita dan cinta yang saling tak sama. Cita dan cinta yang dahulu menemukan, akhirnya memisahkan.

Akhirnya, tiada apa-apa lagi yang tinggal melainkan diri saya sendiri.

Tapi, kenyataan itu salah. Meski diri ini berseorangan, mesti ada sahaja yang menemani dari jauh mahupun dekat. Saya berterima kasih kepada semua yang sudi. Terharu, sesungguhnya.

Ayahbonda dan adik-beradik tetap menemani lebih daripada sekadar dengan doa, sokongan dan dorongan meski berada jauh berpuluh, beratus mahupun beribu batu, di ibu pertiwi sana.

Tidak kurang juga dengan sanak-saudara di serata negara.

Para pendidik pelbagai bidang kebitaraan, tanpa mengira lelah, tetap untuk membantu menyampaikan ilmu dan hikmah kepada semua anak mahupun adik didik mereka.

Semua warga kerja, terutamanya di universiti ini, tetap bersama halatuju agama, nusa dan bangsa, untuk memudahkan urusan semua, sambil menggerakkan negara melalui apa jua bidang kerja. Amanahnya penuh beretika.

Saudara-saudara sastera, lebih-lebih lagi di kampung halaman sana, tetap dengan bunga-bunga bahasanya, mengindahkan negara dengan mewarnakan dan menghijaukan seni dan budaya, bahasa dan sastera. Tidak mengapa menjadi mikro asalkan berjiwa makro.

'Adik-beradik', sahabat-sahabat dan rakan-rakan, di setiap tempat dan ketika, tetap dengan cahaya cerah mereka, mencerahkan hari-hari dengan penuh setia.

Muhammad Ikmal Hakim, di kala meniti tiap hari dan tiap saat bersamanya, tetap dengan ketekunannya, menjejak puncak jaya, tanpa melupakan setiap yang setia di sisinya. “Terima kasih kerana menyayangi apa adanya.”

Abdullah Izzat dan Abdullah Izzuddin tetap dengan sedaya upaya menemani hari yang gelita, agar kekal tertawa bahagia, meski ada sahaja yang memerlukan mereka.

Wan Siti Fadzlina tetap mengambil berat akan diri ini di kebanyakan masa, lebih-lebih lagi ketika menuntut ilmu bersamanya. Sama jugalah dengan 7 orang lagi sahabat sepasukan, dan puluhan lagi.

'Abang' Hasyim Nawwaf tetap menerima biarpun kini sudah naik takhta Presiden dalam kalangan warga pelatih pendidikan di sini. Di kebanyakan waktu dulu, beliaulah yang setia di sisi, terutamanya dalam pengajian. Mamduh Nuaim tidak dilupakan, yang menuruti jejak abang keduanya.

Mohd. Danial Aiman, meski baru bersua, tetap dengan jiwa persaudaraannya. Hebat. Tak mengapa andai selalu jauh di mata, kerana beliau selalu dekat di jiwa.

Demikianlah juga Husni yang tetap setia dengan sumpah perajuritnya. Luas pengalamannya meski usia masih muda. Saya bukanlah seperti dirinya.

Demikianlah juga Mohammad Ehsan, mantan Naib Presiden saya, yang kini tetap dengan jiwanya yang signifikan. Debatlah tempat kami bertemu dan bersatu sampai ke saat ini.

Entah berapa lagi nama yang ingin meniti di bibir, tapi langsung sudah tidak mampu menyebutnya. Terlalu banyak.

Mereka semua sudah menjadi segalanya. Merekalah yang memberi sokongan dan dorongan; ilmu dan hikmah; doa dan harapan.

Saya sedar, saya berjaya bukan kerana usaha dan doa sendiri, tetapi kerana pertolongan orang lain berbentuk yang sama. Semoga Allah memberi ganjaran kepada mereka semua dengan rezeki yang tidak disangka-sangka.

Terima kasih, semua, kerana menyayangi apa adanya; lebih-lebih lagi buat setiap insan yang sudah selalu di sisi, meski jauh dari penglihatan.

2015. Saya tidak punya apa-apa impian melainkan yang tetap: Untuk memperbaiki diri sendiri di pelbagai aspek, di pelbagai tempat dan ketika; agar tetap berguna kepada masyarakat, agama, bangsa dan negara; agar tetap menjadi mukmin yang soleh dan musleh; agar tetap menggapai redhaNya.

Selama ini, saya adalah seorang manusia biasa. Seperti kalian, saya tidak mampu lari daripada dosa dan noda. Daripada Allah dipohonkan sebanyak-banyak keampunan dan keredhaan; dan buat semua, saya mohon: Saya minta maaf. Banyak-banyak.

Kita sudah berada di hujung, melambai tangan untuk 2014. Hari itu, kita sudah pun melambai tangan untuk 1435 terlebih dahulu. Kita melambai tanpa apa-apa iringan, melainkan dengan harapan dan doa.

Semoga Allah kekal memimpin dan mempermudahkan tapak langkah kita untuk mencapai segala yang dicita.

Semoga Allah kekal menyatukan hati kita semua, menolak tepi segala jurang beza.

Semoga Allah kekal memberikan kekuatan, lantas menolong kita dalam segala urusan kita.

Semoga Allah kekal merestui kita semua dengan rahmat, keampunan dan kasih sayangNya.

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak, Selangor
27-30 Disember 2014

Comments