Ke Arah Masyarakat Keguruan Berteraskan Keperibadian al-Murabbi al-Amin

Masyarakat pada hari ini terlalu mengagungkan institusi pendidikan mengatasi kedudukan para pendidik. Begitulah ucapan Presiden Kolej Dar al-Hikmah, Dato' Dr. Siddiq Fadzil, ketika memperkatakan Konsep Murabbi dalam Islam pada Seminar Pendidikan Kebangsaan 2014 Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM/IIUM). Walaupun pahit, begitulah hakikat yang seharusnya kita terima.

Seminar sehari tersebut dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (BEDSA) IIUM dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). Seminar tersebut, secara ringkasnya, berjaya menampilkan insan-insan yang bersemangat waja dalam bidang pendidikan, seperti Dr. Rosemaliza Mohd. Kamaluddeen, Sdr. Muhammad Fazril Mohd. Saleh, Sdr. Muhammad Nazri Rijal dan ramai lagi, untuk membentangkan isu-isu yang berkaitan dengan pembangunan pendidikan pada masa kini dan cara untuk menanganinya.

Menurut beliau, sepatutnya yang diangkat lebih tinggi kedudukannya adalah para pendidik kerana fungsi mereka yang sudah zaman-berzaman menjadi rujukan kepada masyarakat. Lihatlah, seorang pendidik tidak setakat semata-mata menyampaikan segala ilmu yang dimilikinya dan dipelajarinya dahulu. Seorang pendidik, sebenarnya, mempunyai peranan lebih daripada itu, dalam rangka mewujudkan masyarakat madani, terutamanya dari sudut pembangunan bakat dan karekter.

Namun, marcapada kini, tambah Dato' Siddiq lagi, kewujudan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) telah memberi impak negatif kepada bidang pendidikan dan falsafah Murabbi itu sendiri. Begitu juga dengan tindak-tanduk ekonomi terhadap pendidikan, seperti yang dipersetujui oleh para perwakilan. Hal ini demikian kerana, kuasa seorang pendidik semakin hari semakin berkurangan mengikut zaman.

Asalnya, pendidik adalah sumber ilmu dan hikmah yang memandu masyarakat. Akan tetapi, kehadiran ICT merancakkan lagi tugas ICT itu sendiri untuk menjadi pusat sumber ilmu. Kesannya, pendidik hanyalah menjadi perantara dan pemudahcara sahaja, dan bukan lagi tempat rujukan kerana segala rujukan ilmu sudah disimpan oleh kehebatan ICT. Padahal, pada zaman dahulu, pendidik adalah lebih daripada menjadi pusat sumber ilmu, selain daripada buku-buku terbitan pendidik itu sendiri, yang sebahagiannya wujud sehingga ke hari ini.

Perkara ini disokong oleh Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Kulliyyah Pendidikan, UIAM, Dr. Mastura Badzis, yang memandang sistem pendidikan pada hari ini semakin teruk, terutamanya dalam rangka melaksanakan penambahbaikan. Beliau meluahkan kebimbangan berdasarkan teori psikologi, sekiranya 'generasi Z' terlalu didedahkan dengan perkasas ICT, mereka berisiko menghidap masalah Nature Deficit Disorder (NDD), sejenis penyakit mental yang mengakibatkan seseorang tidak mengenali alam semulajadi.

Namun begitu, Dato' Siddiq yakin bahawa sentuhan seorang pendidik amat berharga, tiada tara nilainya. Meski dengan wujudnya ICT yang semakin hari semakin canggih, sentuhan guru tetap punya karismanya yang tersendiri, yang tidak dapat diambil alih oleh kecanggihan ICT. Dalam erti kata lain, walau apa pun yang akan berlaku, pendidik harus dan akan tetap di posisinya menjunjung amanah keilmuan, menggerakkan masyarakat berwawasan ke arah keredhaan.

Oleh hal yang demikian, Dato' Siddiq menyarankan kepada semua agar menjadi pendidik yang memiliki hikmah dan mempunyai rasa kasih sayang. Perkara ini bertepatan dengan definisi Murabbi yang dibentangkan oleh (Profesor Madya Dr.) Yedullah Kazmi (1999, hlm. 209) bahawa, “Murabbi adalah seorang insan yang tidak setakat berpengetahuan luas dan bijaksana, tetapi juga yang soleh, baik hati dan bertimbang rasa.” Menyedari hakikat sedemikian rupa,kita disarankan mencontohi Rasulullah SAW, satu-satunya Murabbi yang menggabungkan dua alam kehidupan, iaitu alam ilmu dan alam budi (Ibid., hlm. 209-210).

Maka benarlah gagasan “Unleashing the Ideal of al-Murabbi al-Amin” (Mencetuskan Ideal al-Murabbi al-Amin) yang diterakan oleh pemimpin pelajar baharu Kulliyyah Pendidikan, UIAM, sebaik sahaja mereka memulakan tugas mereka. Gagasan tersebut dicanangkan tepat pada waktunya dan sesuai dengan matlamatnya. Agar mudah difahami, ideal, menurut Oxford Dictionaries (t.th.) dan Collins English Dictionary (t.th.), ditakrifkan sebagai seseorang atau sesuatu yang disifatkan mewakili kesempurnaan. Dalam hal ini, mereka meneladani hasrat Islam agar menjadi pendidik yang memiliki keperibadian al-Murabbi al-Amin, iaitu Rasulullah SAW. Begitu pula yang diterangkan oleh Profesor Madya Dr. Adnan Abdul Rashid ketika memperkatakan Pendidikan Bersifat Kenabian dan Tanggungjawab Murabbi.

Selayaknya Rasulullah SAW digelar al-Murabbi al-Amin kerana sebab-sebab yang kita semua sudah sedia maklum dan jelas mengenainya. Semua sudah maklum bahawa Baginda adalah contoh teladan yang terunggul (al-Quran, 33:21), menjadi rahmat kepada sekalian alam (al-Quran, 21:107). Sebab pertama, sifat Baginda sendiri yang berkasih sayang sesama sahabat Baginda (al-Quran, 41:29). Sebab kedua, kecemerlangan Baginda dalam menguruskan krisis perletakan batu Hajar al-Aswad di Kaabah melibatkan ketua-ketua Kabilah.

Hasil daripadanya, menurut Dr. Adnan, terlahirlah pendidikan bersifat kenabian yang sepatutnya diamalkan dan dijadikan contoh oleh umat Islam. Pendidikan bersifat kenabian menjurus kepada tiga aspek, iaitu tauhid, akhlak dan pengurusan kendiri. Sistem ini setara dengan sistem pendidikan yang diamalkan pada zaman Rasulullah SAW, apabila Baginda menyampaikan dakwah berdasarkan kepada fasa penurunan wahyu yang diberi pengkhususan mengikut zaman, dimulakan dengan aqidah dan kemudian diikuti dengan ibadah dan akhlak.

Kesimpulannya, seminar ini merumuskan beberapa harapan tinggi. Antaranya, betapa pendidikan pada masa kini memerlukan kepada penambahbaikan berskala besar dari segi sistem dan metodologi pendidikan. Selain itu, betapa seorang bakal guru perlu pandai menggunakan peluang yang ada dengan membuat pilihan yang tepat demi kelangsungan pengurusan kendiri dan pembangunan masyarakat sekeliling.

Oleh sebab itulah, ada gesaan daripada seminar tersebut agar Falsafah Pendidikan Negara dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 diperhalusi dan diperbaharui semula agar hasrat untuk melahirkan masyarakat berminda kelas pertama mampu dicapai dengan lebih efektif berdasarkan gerak kerja dan strategi yang lebih efisien. Kita optimis, sekiranya reformasi (mahupun transformasi) pendidikan berjaya digerakkan menurut matlamat yang ada, kita mampu menjadi lebih daripada menjadi masyarakat madani pada suatu hari nanti. Cukuplah Allah menjadi Sebaik-baik Penolong Hamba-hambaNya.

Comments