IIUM Munazarah: Mencitrakan Budaya

Mengundi ketika Pilihan Raya Kampus UIAM 2014.
(Gambar: Bahagian Komunikasi Korporat, UIAM)
Saya masih ingat lagi; pada hari kedua saya menjadi pelajar baru ijazah dasar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) (4 Februari), saya diberi amanah oleh Kelab Debat dan Pengucapan Awam Bahasa Arab UIAM (IIUM Munazarah) untuk menjadi Ketua Penerangan. Dalam kebanyakan organisasi, Ketua Penerangan adalah antara jawatan yang terkanan dan terpenting. Kadangkala, Ketua Penerangan diletakkan di bawah sekali dalam hireraki jawatankuasa tertinggi. Benarlah, bukan mudah untuk menjalankan tugas seperti ini, lagi-lagi bagi saya yang 'masih terlalu hijau' di UIAM Gombak.

Pada kebiasaan, yang ditugaskan untuk menjadi Ketua Penerangan dalam mana-mana organisasi bukanlah orang yang calang-calang. Hanya mereka yang mempunyai rekod cemerlang dan yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang, terutamanya dalam bidang tadbirurus, hubungan diplomatik serta komunikasi dan multimedia benar-benar layak untuk menyandang jawatan berkenaan. Hal ini demikian kerana, tugas utama Ketua Penerangan adalah untuk mengendalikan urusan berkaitan aktiviti media dan citra berterusan antara organisasi dan klien, di samping untuk menggerakkan diplomasi antara kedua pihak yang terlibat.

Walaupun IIUM Munazarah hanyalah organisasi berskala kecil, IIUM Munazarah bagi saya seakan-akan sebuah parti. IIUM Munazarah juga, pada hemat saya, merupakan sebuah organisasi yang berprestij, berdiri seiring dengan kelab-kelab debat dan organisasi elit yang lain dalam Universiti. Sebagai yang berkenaan, saya boleh mengesahkan perkara ini kerana IIUM Munazarah, sejak penubuhannya pada Disember 2004, telah berjaya merealisasikan lebih daripada apa-apa yang pernah disasarkan sebelum ini, sekaligus mendapat tempat yang tersendiri di dalam dan di luar Universiti, di persada negara dan antarabangsa.

Lebih daripada itu, IIUM Munazarah, sejak penubuhannya, telah berjaya melahirkan ramai siswazah yang mampu berdebat dan berpidato dalam bahasa Arab dengan cemerlang, yang menguasai pelbagai kemahiran insaniah dengan jayanya, dan seterusnya mendapat tempat dalam pasaran negara dan antarabangsa dalam pelbagai bidang di pelbagai sektor. Sebagai sebuah pasukan, kami optimis bahawa akan lahirnya ramai lagi peneraju yang akan menyertai golongan berkenaan di masa hadapan.

IIUM Munazarah, pada mulanya, diasaskan untuk mengangkat martabat bahasa Arab sebagai salah satu daripada enam bahasa dunia di persada negara, dan untuk memberi peluang yang seimbang dan fleksibel kepada warga Universiti untuk menguasai kemahiran berbahasa Arab dan kemahiran insaniah berkaitan melalui debat dan pengucapan awam. Namun, pada masa kini, IIUM Munazarah telah memainkan peranannya lebih daripada itu, terutamanya dalam menyahut hasrat Universiti dan hasrat negara.

Secara tidak langsung, IIUM Munazarah menyumbang secara mikro dalam rangka melahirkan masyarakat berminda kelas pertama, selain untuk melahirkan masyarakat yang cakna akan isu-isu semasa berkaitan dengan ekonomi, sosial dan politik dalam dan luar negara. Perkara ini dikuatkan lagi dengan hasrat Universiti sendiri dalam Pelan Strategik UIAM 2013-2020, dalam teras Pembangunan Mahasiswa secara Holistik, untuk melahirkan pendebat dan pemidato bertaraf dunia, dengan menyedari hakikat yang sama sejak lama.

Meski untuk mencapai semua halatuju tersebut bukanlah mudah, IIUM Munazarah, dengan dukungan dan sokongan daripada pelbagai individu dan organisasi di pelbagai peringkat, telah merangka dan menggerakkan pelbagai strategi demi memastikan semua halatuju mampu dicapai pada sasaran yang ditetapkan. Latihan berterusan berjaya menjadi asas kukuh strategi yang digerakkan, selain daripada penganjuran dan penglibatan dalam pelbagai aktiviti yang menguatkan lagi asas strategi. Setelah mengharungi pelbagai cabaran, dengan kekuatan yang lebih terarah kepada masa hadapan yang cemerlang, Alhamdulillah, sepanjang tahun operasi 2014, beberapa rekod signifikan telah berjaya dicapai.

Antara kejayaan yang terbesar yang pernah direkodkan kali ini termasuklah penganjuran dan penyertaan sebagai tuan rumah kali kedua dalam Kejohanan Debat Bahasa Arab antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sempena Maal Hijrah 1436, satu-satunya kejohanan debat bahasa arab antara IPT peringkat kebangsaan yang dianjurkan di Malaysia pada tahun ini. Kejayaan itu lebih bermakna apabila UIAM berjaya mengekalkan kejuaraan bagi Kategori Terbuka.

Kejayaan IIUM Munazarah dalam Pertandingan Debat Bahasa Arab sempena Festival Bahasa Arab Universiti Malaya 2014 telah menambahkan pula rekod cemerlangnya. Kejayaan itu tidak mencukupi melainkan dengan usaha berterusan yang dimainkan oleh IIUM Munazarah dalam memberi peluang kepada seluruh warga merentasi jurang perbezaan untuk bersama dalam arena perdebatan bahasa Arab walaupun hanya untuk seketika.

IIUM Munazarah berjaya menganjurkan dua siri Liga Debat, masing-masing pada sekitar April dan November, yang menarik penyertaan sekurang-kurangnya 60 orang peserta daripada pelbagai Kulliyyah. IIUM Munazarah juga, sebagai penggerak kerjasama, telah berjaya menggerakkan Kejohanan Debat Sekolah-sekolah Seluruh Malaysia kali ke-12 dan Kejohanan Debat Pelajar Antarabangsa Musleh kali ke-6 secara teknikal.

IIUM Munazarah juga berjaya menjalinkan kerjasama dan mengekalkan hubungan diplomatik dengan pelbagai pihak. Usaha ini digiatkan berlandaskan hasrat untuk 'Berkasih Sayang dalam Perbezaan, Bersatu dalam Kepelbagaian' seperti yang diilhamkan oleh negara-negara Asia Tenggara. Buktinya, pada April yang lalu, IIUM Munazarah mengadakan lawatan ke DQ untuk membina hubungan strategik yang baru dengan DQ dalam bidang debat dan pengucapan awam bahasa Arab. Walaupun begitu, usaha demikian tidak setakat di situ sahaja.

Usaha tersebut digiatkan lagi menerusi saluran media. Sepanjang tahun 2014, IIUM Munazarah berjaya mendapat liputan yang memberangsangkan di media cetak dan elektronik. Pada Mei yang lalu, IIUM Munazarah bersiaran dari Radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM.FM), Kuala Lumpur, untuk memperkenalkan debat bahasa Arab kepada Malaysia. Lanjutan daripada itu, IIUM Munazarah bekerjasama pula dengan akhbar al-Atheer untuk menjadi media rasmi bagi Kejohanan Debat Bahasa Arab antara IPT sempena Maal Hijrah 1436. IIUM Munazarah juga telah berjaya bekerjasama dengan al-Hijrah Media Corporation (TV al-Hijrah) untuk mempromosikan kejohanan yang sama.

Agar seluruh ahli IIUM Munazarah mempunyai kesedaran terhadap politik kampus, IIUM Munazarah merasa terpanggil untuk turun bersama-sama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan semua persatuan pelajar yang lain untuk menyumbang ke arah masa depan kampus yang lebih baik. IIUM Munazarah berjaya menyertai perbincangan terkait pengasasan Dewan Pemimpin Pelajar Universiti yang digagaskan sejak sekian lama oleh MPP, di samping berjaya melaksanakan promosi perpaduan merentasi jurang perbezaan antara seluruh warga.

Semua kejayaan ini tidak akan tercapai melainkan dengan usaha jitu yang dimainkan oleh semua warga kerja dan ahli IIUM Munazarah, serta dengan kerjasama yang dijalinkan secara murni dengan semua pihak berkepentingan secara langsung mahupun tidak langsung. Saya, secara peribadi, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas itu semua. Semoga Allah SWT memberi ganjaran yang setimpal atas segala usaha yang disumbangkan dan atas segala kerjasama yang dijalinkan dalam memastikan segala objektif tercapai.

Sebagai yang berkenaan, saya ingin katakan bahawa saya telah berjaya menggerakkan bidang tugas saya setakat kemampuan yang ada. Saya juga gembira kerana mendapat sokongan dan dokongan daripada pelbagai pihak di pelbagai peringkat. Saya setinggi-tingginya menghargainya. Sebagai insan biasa, saya ingin memohon maaf kerana saya bukanlah yang sempurna, selalu sahaja ada yang tidak kena dan yang tidak sepatutnya dilakukan. Mudah-mudahan itu semua diampunkan oleh Yang Maha Esa.

Terima kasih, IIUM Munazarah, kerana memberikan saya kepercayaan sebegini rupa. Mudah-mudahan IIUM Munazarah kekal berjaya mencapai halatujunya, teguh meneruskan perjuangannya, gagah di persada jayanya. Cukuplah Allah menjadi Sebaik-baik Penolong Hamba-hambaNya.

Comments