PRK UIAM 2014: Selamat Buat Majlis Tercinta

Saya beruntung kerana menjadi sebahagian daripada warga Taman Ilmu dan Budi sejak Jun 2012. Jikalau saya katakan saya orang baru, sudah ada yang menyusul di situ selepas saya. Sebaliknya, andaikan saya kata saya orang lama, ramai pulalah yang sudah mendahului sebelum saya. Maka, pada hemat saya, saya adalah dari kalangan kedua-dua golongan tersebut. Saya sudah disusuli di depan dan akan menyusul di belakang. Begitu juga yang lain. Benarlah, yang patah akan tumbuh, yang hilang akan berganti.

Pilihan Raya Kampus (PRK) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) 2014 bermula dengan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Majlis Perwakilan Pelajar (SRC) pada 5 November, diikuti dengan perisytiharan PRK pada 7 November dan penamaan calon pada 15 November; dan diakhiri dengan pengundian pada 20 November dan pengumuman keputusan pada hari yang sama. Selesainya PRK, maka lengkaplah senarai 23 ahli SRC Kampus Gombak dan 13 ahli SRC Kampus Kuantan yang terpilih dari kalangan 60 orang yang dicalonkan di kedua-dua kampus.

Tahniah saya ucapkan kepada semua calon dan semua wakil calon atas kesungguhan yang ditunjukkan sepanjang PRK berlangsung. Tahniah juga buat seisi Universiti atas tanggungjawab yang dimainkan sehingga PRK berlangsung dengan jayanya. Tahniah juga kepada semua yang terpilih mewakili konstituensi masing-masing. Hati kecil saya berharap, agar semua telah selesai mengucapkan selamat sesama sendiri, bermaaf-maafan, saling berlapang dada, dan kembali kepada suasana persaudaraan sepatutnya. Itulah yang saya sering war-warkan akhir-akhir ini: Berkasih Sayang dalam Perbezaan, Bersatu dalam Kepelbagaian.

Selesainya pula Syura (mesyuarat pembentukan) SRC pada hari ini (26 November), maka selesailah proses peralihan kuasa daripada yang lama kepada yang baru, dan tertubuhlah semula Majlis tercinta setelah 'berehat' selama 21 hari sejak AGM SRC. Ucapan selamat ditujukan kepada Majlis yang bermula semula serta-merta. Saya optimis bahawa Majlis kali ini akan terus menjadi 'sahabat sejati' kepada seluruh mahasiswa, yang akan mensinergi semula aspirasi dan falsafah Universiti supaya bersifat lebih mesra warga.

Rentetan itu, ingin saya katakan: Sepanjang saya bersama UIAM, saya sudah berada di bawah naungan 3 kali Majlis. Saya berterima kasih kepada mereka semua atas segala-gala yang mereka perjuangkan selama ini. Mudah-mudahan itu semua dibalas oleh Allah SWT dengan ganjaran yang berlipat kali ganda. Ucapan yang sama turut ditujukan kepada Majlis Penyelarasan Pelajar Asasi (FSCC) yang menaungi semua mahasiswa peringkat persediaan UIAM. Saya telah dinaungi oleh 2 kali FSCC.

Sebagai pengakhiran, suka saya nyatakan bahawa kita harus meneruskan apa-apa yang ada dalam usaha memastikan Universiti terus maju ke hadapan, tercapai visi dan misinya, terjana falsafahnya dan terjenama semula imejnya supaya lebih mesra warga, kekal unggul dalam negara dan di astaka antarabangsa. Saya melihat ke hadapan, bahawa kita semua mampu melakukan yang terbaik dengan cara kita. Teruskanlah; mudah-mudahan Allah akan mengurniakan taufik dan hidayah kepada kita semua untuk meneruskan apa-apa yang kita ada di sini.

Comments